Bagaimana Iman & Nilai Islam Boleh Mengembalikan Keseimbangan Hidup Kita?

nilai islam dan iman dalam kehidupan

Cabaran terbesar penganut agama Islam adalah bagaimana menjadikan agama ini masih relevan dalam dunia moden pada hari ini.

Adakah nilai islam mempunyai fungsi pada zaman ini?

Adakah ia boleh menyahut cabaran-cabaran besar dunia moden untuk semua manusia — sama ada penganut agama atau pun tidak?

Dengan merendahkan martabat manusia hanya kepada kewujudan fizikal dan biologikal di mana idea survival of the fittest mendorong kepada kemajuan dan inovasi..

… maka tidak hairanlah jika produktiviti pada zaman moden ini intipatinya hanyalah sekadar ‘proses memaksimumkan potensi manusia untuk mencapai matlamat yang diingini dalam sesuatu perkara’ sahaja.

Dalam mengejar harta kekayaan dan kejayaan di mana kerja, keluarga dan percutian yang semuanya dinikmati dari hasil ‘menjadi produktif’, kita boleh kehilangan makna hidup kita sendiri.

Namun, bolehkah Iman mengembalikan keseimbangan kedua-duanya (produktiviti dan kehidupan bermakna) dalam hidup kita?

Hidup adalah perjalanan, peluang dan kepercayaan.

Nilai-nilai (values) yang mengawal hidup kita ini akan memberikan kesan kepada hasil perjalanan ini.

Nilai-nilai ini bermula dengan kepercayaan kita

Paradigma pemikiran serta idea-idea yang terhasil di dalam minda sedar atau separa sedar, yang memberikan arahan kepada tingkah laku kita.

‘Aku adalah sebagaimana hamba-Ku berfikir tentang-Ku’ adalah kenyataan Tuhan yang memberikan panduan kepada kita.

Ia mengajar kita bahawa takdir kita adalah bergantung pada cara kita berfikir dan bertingkah laku.

Kewujudan yang bermakna adalah kehidupan yang berteraskan harapan, memberikan sumbangan dan produktiviti.

Ulama besar Islam, Ibnu Qayyim telah bercakap tentang ‘tidak menyerah diri kepada takdir tetapi melawan takdir menggunakan takdir yang lain’.

Paradigma pemikiran seperti ini memberikan kita harapan dan keyakinan bahawa:

— melakukan perubahan adalah tidak mustahil.

Perubahan adalah sebahagian daripada takdir kita.

Kita perlu mempunyai kekuatan Islam yang bertransformasi sebagai tonggak kepercayaan, nilai-nilai dan etika.

Produktiviti yang menyeluruh terletak pada tunas perubahan dalam hidup kita dan dunia di sekeliling kita.

Produktiviti dalam Islam adalah bersifat pelbagai dimensi, holistic, seimbang dan bergabung jalin (integrated).

Hubungan Islam dan Produktiviti

Bagi menerangkan pandangan Islam tentang produktiviti dan relevannya dengan dunia moden, kita perlu bercakap tentang dua perkara ini:

  • Pertamanya, kita perlu memahami bahawa teori produktiviti pada zaman moden ini adalah hasil impak masyarakat hari ini.
  • Keduanya, kita perlu menjelaskan apa yang Islam tawarkan dalam menyelesaikan sebahagian cabaran produktiviti ini.

MARI MEMAHAMI SEJARAH SAINS PRODUKTIVITI MODEN DAN KESANNYA KEPADA MASYARAKAT HARI INI

Asal usul sains produktiviti moden terletak pada asas falsafah Tamadun Barat.

Asas ini terdiri daripada:

  1. Ketuanan akal dan sains yang digasak oleh zaman pencerahan (The age of enlightenment and reason).
  2. Pemisahan antara gereja dengan pentadbiran negara (atau sekularisme) serta impaknya kepada tindakan mengetepikan agama daripada memainkan peranan aktif dalam masyarakat.
  3. Mengejar materialisme sebagai suatu cara dan matlamat akhir yang digunapakai dalam sistem kapitalisme, yang bermula semasa Revolusi Industri.

Dengan memahami asal usul ini asasnya membolehkan kita memahami bagaimana terwujudnya sains produktiviti moden yang tersebar pada hari ini.

Ketika Zaman Pencerahan muncul pada pertengahan kurun ke-17 dan awal kurun ke-18, fokus utamanya adalah untuk  membatalkan segala idea yang tidak boleh dibuktikan dengan sains. 

Perkara ini juga di keruhkan lagi dengan hubungan Barat yang tidak senang dengan kedudukan gereja dan agama.

Para intelektual Barat yakin bahawa untuk menjadikan umat manusia maju dan berkembang, agama dan kerohanian seharusnya diketepikan supaya manusia boleh menggunakan akalnya untuk kemajuan ekonomi dan sosial.

‘kebebasan’ yang baru dijumpai inilah yang telah membawa kepada kebangkitan negara moden dan kapitalisme.

Produktiviti kemudiannya menjadi sains tersendiri, bermula dengan Frederick Winslow Taylor (1865 – 1915) yang mungkin merupakan tokoh pertama dalam sains pengurusan (management science).

Dia begitu taksub dengan cara bagaimana mengembangkan kecekapan manusia dengan mendokumenkan cara-cara untuk memperbaiki produktiviti dan mengekstrak output yang lebih daripada para pekerja di kilang.

Ini kemudiannya diikuti dengan memberikan fokus kepada produktiviti organisasi, serta bagaimana struktur dan sistem boleh dinaik taraf kecekapannya.

Pada tahun 1980-an hingga 2000, kemajuan teknologi berlaku dengan pesat.

Sekarang, kita hidup dalam fasa di mana fokusnya adalah untuk memperbaiki produktiviti manusia:

  • Pertamanya, memahami manusia secara fizikal, emosional, dan neurologikal;
  • Dan keduanya, mengkaji pelbagai cara untuk mengembangkan potensi serta produktiviti manusia menggunakan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan robot.

Setakat ini, semua kemajuan ini kelihatan positif untuk masyarakat.

Individu, organisasi, dan kerajaan-kerajaan telah mendapat manfaat besar daripada peningkatan produktiviti ini, sama ada dari segi bayaran gaji individu, keuntungan organisasi, atau kemakmuran ekonomi sesebuah negara.

Walaupun kita telah mencapai pelbagai kemajuan yang ketara dalam pelbagai bidang, kita tidak boleh menafikan bahawa ia tidak datang dengan percuma.

Daripada impak terhadap alam sekitar, jurang pendapatan antara kaya dengan yang miskin, kepada penyakit sosial yang khusus kelihatan pada masyarakat moden (pecahnya institusi keluarga, penyakit, gaya hidup bandar dan lain-lain).

Kesan-kesan negatif ini menyebabkan kemajuan yang dicapai dalam produktiviti dan tamadun manusia, mula dipersoalkan.

Lihat sahaja hilangnya hutan-hutan yang diakibatkan oleh pembalakan yang tidak terkawal, atau pekerja-pekerja kilang yang bekerja dalam keadaan tidak selamat selama berjam-jam lamanya bagi memuaskan kehendak masyarakat moden yang selamanya tidak pernah puas..

.. atau apabila orang yang bekerja dalam industri perkhidmatan bekerja lebih waktu bagi mengaut pendapatan lebih untuk firma-firma mereka, hanya untuk memuaskan para pelanggan di seluruh dunia.

Tekanan ke arah produktiviti yang lebih tinggi ini telah menyebabkan kita hidup dalam keadaan yang sentiasa terkejar-kejar (rat race life).

Keadaan ini sangat sukar dan dalam banyak kes, ia membawa kepada kos sara hidup yang lebih tinggi (melalui bil kesihatan dan kebajikan sosial), melangkaui lebih dari apa yang kita sedari.

Ya, kita telah berjaya melonjakkan produktiviti tetapi kita juga telah HILANG tiga perkara:

  1. Matlamat kita
  2. Nilai kita
  3. Dan jiwa kita.

Sebagai manusia, kita melayan diri kita dan orang lain  seperti mesin tidak berjiwa  yang tujuan mewujudannya hanyalah untuk bekerja.

Kita fokuskan kepada apa yang membaikpulih fungsi tubuh (nutrisi, kecergasan, dan tidur) dan juga minda (fokus, kreativiti, dan penjagaan masa) tetapi kita mengabaikan nilai-nilai yang memberikan nutrisi kepada jiwa rohani kita.

Walaupun artikel ini menerangkan tentang asal usul produktiviti moden, ini tidak bermakna yang manusia di seluruh dunia yang mengikuti model produktiviti ini faham..

Pemahaman kita tentang produktiviti dan kesejahteraan manusia telah terpisah daripada agama serta nilai kita, walaupun sejarah menunjukkan model produktiviti Islam telah terbukti menyuluh umat pada zaman kegemilangan tamadun Islam.

Islam datang dengan membawa nilai serta panduan yang boleh diaplikasikan secara sukarela oleh seseorang dan menyerahkan dirinya kepada Allah serta sunnah Nabi Muhammad SAW.

Pengaplikasian ini mempunyai manfaat besar, bukan sahaja terhadap individu, bahkan juga masyarakat seluruhnya.

Apakah Nilai Yang Ditawarkan Oleh Islam?

Nilai Islam seperti amanah, siddiq (kebenaran), dan ihsan membantu kita untuk tetap teguh dalam kebenaran serta menyanjung tinggi nilai moral.

Nilai-nilai lain termasuk adil, rahimah, dan rifq atau kelembutan.

— semua nilai-nilai ini membantu mengekalkan maruah manusia.

Di sinilah Islam merangsang pengikutnya untuk mempunyai kompas moral (Internal moral compass) yang menunjuk ajar mereka dalam setiap pekerjaan atau perbuatan.

Dan ini bukan sekadar teori.

Sejarah Islam dan tradisinya dipenuhi dengan banyak contoh tentang kepatuhan terhadap nilai etika di pelbagai lapisan masyarakat.

Lihatlah kisah khalifah Umar bin Abdul Aziz yang telah menerima kedatangan tetamu dari satu negeri yang jauh.

Ketika mereka berbicara tentang keadaan orang Islam, api pelita di dalam biliknya itu dibiarkan menyala.

Namun bila perbincangan bertukar kepada isu peribadi seperti isu kekeluargaan, khalifah memadamkan api pelita tersebut dan mereka berbual dalam keadaan gelap.

Tetamu tersebut terpesona dengan tingkah laku khalifah lalu bertanyakan mengapa beliau bertindak sedemikian.

Khalifah memberikan respons dengan berkata bahawa beliau telah membeli lampu tersebut dengan duit yang digunakan daripada Penbendaharaan Umat islam, jadi dia hanya menggunakan pada hal yang berkaitan dengan umat, bukannya untuk manfaat peribadi.

Ini bukanlah kisah terpencil seorang lelaki.

Sebuah tamadun terbina di atas asas nilai-nilai Islam yang mulia ini.

Penutup: Hanya Nilai Islam Yang Akan Menjaga Kita Sebagai Manusia

Ketakwaan tidak dapat dicapai melalui kontrak undang-undang atau denda yang tinggi..

… namun ia datang dari dalam, yang hanya dapat diciptakan oleh agama yang kuat dan lengkap seperti Islam.

Malang sekali, dalam mengejar produktiviti berasaskan material, manusia yang mempunyai jawatan dan kuasa mengenepikan nilai-nilai seperti ini dengan memerah produktiviti secara maksimum daripada para pekerja sehingga mengorbankan kehidupan peribadi dan keluarga mereka.

Ini mungkin bermanfaat untuk jangka masa pendek tetapi dalam jangka masa panjang, ia hanya akan membawa kerosakan dalam organisasi atau projek.

Fakta utama di sini adalah:

Semakin banyak kita mengamalkan nilai Islam, semakin banyak kebolehan dan kecemerlangan manusia yang dapat kita cungkil, merangsang produktiviti mereka dan yang paling penting, mengekalkan kehormatan kita sebagai insan.

Artikel ini dipetik daripada buku The Productive Muslim tulisan Mohammed Faris.

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Discover more from Inchenaim

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading