Teknik Asas Cara Menggayakan Gewang Soft Plastic

cara teknik menggayakan soft plastic
Gewang soft plastic jenis minnow merupakan umpan killer buat siakap merah!

Antara gewang yang boleh dinobatkan paling killer adalah gewang soft plastic.

Mengapa?

Kerana hampir semua ikan boleh diperangkap olehnya.

Ia juga menjadi umpan yang mujarab untuk ikan yang sudah culas dengan gewang lain.

Tetapi tidak ramai pemancing yang menggunakan gewang lembut ini lantaran tidak pasti teknik yang sebenar menggayakannya dengan efektif.

Saya yakin, jika anda sudah mengetahui kunci permainan dan mendapat feel yang sebenar, anda pasti addicted dengannya.

Kaedah Menggayakan Gewang Soft Plastic

Tidak dinafikan, mempersembahkan umpan soft plastic secara umumnya adalah kaedah pancingan yang sangat perlahan.

Oleh itu, ia sangat memerlukan kesabaran yang tinggi.

Tidak ramai pemancing yang sanggup bertahan dengannya sebelum memperoleh hasil pertama.

Dalam artikel ini saya akan menerangkan teknik asas cara permainan gewang soft plastic yang terbukti berkesan:

1. Karauan Lurus

kaedah menggunakan umpan gewang soft plastic

Kebanyakan orang mempunyai perasaan skeptikal terhadap teknik ini bila menggunakan umpan soft plastic.

Menggunakan gewang lembut tidaklah serumit yang disangka.

Malah, ia sebenarnya adalah teknik yang berkesan untuk memerangkap ikan yang sedang aktif.

Contohnya apabila anda sedang melihat ada pemangsa yang sedang galak mengejar ikan kecil (feeding frenzy).

Jadi mengapa harus membuang masa membiarkan gewang soft plastic kita jatuh ke dasar?

Untuk kaedah ini, anda boleh mengarau secara perlahan, sederhana dan laju.

gewang terbaik soft plastic

Penggunaan jig head dan gewang soft plastic minnow yang berekor pendayung (paddle tail) adalah pilihan yang sesuai.

Ia semudah lontar, tarik dan kekalkan kelajuan karauan bila anda merasai getaran ekor gewang tersebut.

Kaedah ini juga boleh digayakan dengan karauan super slow mimik ikan yang sedang leka dan cuai.


2. Retrieve & Drop

kaedah menggayakan gewang soft plastic

Bagaimana kaedah ini?

Lontar dan tunggu gewang soft plastic jatuh ke dasar.

Kemudian karau tali anda dengan kelajuan biasa sebanyak 2-3 pusingan dan biarkan gewang tersebut turun jatuh ke dasar kembali.

Dalam kaedah ini, apa yang paling penting adalah memilih berat jig head yang tepat berdasarkan kawasan padang pancing.

Objektif yang ingin dicapai adalah tempoh masa jatuhan umpan ke dasar sekitar 1-2 saat.

Biarkan soft plastic berada di dasar selama 1-2 saat, untuk merangsang ikan membuat serangan.

soft plastic
MJ ini diumpan dengan teknik retrive & drop (ZMan Minnow)

Gunakan jig head yang berat untuk air yang dalam, dan jig head yang lebih ringan untuk air yang lebih cetek.

Selain itu, faktor tali yang tebal juga akan menambah tempoh umpan untuk jatuh ke dasar.

Teknik ini boleh digunakan dengan kaedah Carolina Rig.

Biasanya ikan akan menyerang ketika umpan sedang jatuh berkibaran atau semasa mendarat pada permukaan dasar.


3. Kaedah Lift & Drop (Angkat & Jatuhkan)

menggayakan gewang soft plastics

Kaedah ini lebih kurang sama dengan teknik diatas, tetapi perbezaan utamanya adalah; pergerakan soft plastic dijalankan oleh rod, bukannya reel.

Buat lontaran dan biarkan gewang soft plastic anda jatuh ke dasar.

Kekalkan rod anda pada kedudukan jam 9, kemudian angkat rod anda ke kedudukan jam 11.

Kemudian letakkan kembali rod anda pada kedudukan asal (jam 9) dan buat karauan untuk menegangkan tali.

Semasa rod anda kembali ke kedudukan asal, umpan soft plastic anda seharusnya akan dapat mencecah dasar dalam jangka masa 1-2 saat.

Kekalkan umpan di dasar selama 1-2 saat (atau lebih) untuk merangsang ikan membuat serangan.

Kaedah ini sesuai digunakan untuk mencari ikan yang suka membuat serang hendap.

Serangan biasanya berlaku bila gewang anda hendak meninggalkan dasar.

memancing siakap merah dan kerapu - Zerek
Penggunaan gewang soft plastic seperti Zerek Live Shrimp mudah memerangkap kerapu dengan kaedah Lift & Drop

4. Seretan Dasar

menggunakan gewang soft plastic

Memang mudah untuk memerangkan ikan bila mereka sedang aktif dan berselera.

– Tetapi bagaimana jika ikan sedang moody?

Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan “fokus pada bahagian dasar”

Dengan kaedah ini, ia akan cover kawasan dengan lebih luas dan mengelakkan kebarangkalian untuk terlepas tempat persembunyian ikan.

Tujuannya agar umpan anda disedari oleh pemangsa.

Dengan menyeret umpan disepanjang dasar, ia akan membuatkan debu-debu di dasar berterbangan, mimik ikan kecil, cacing atau udang dengan mencari makan.

Dalam kaedah ini, berhenti (pause) adalah kuncinya.

Serangan biasanya berlaku semasa kita menghentikan umpan.

Untuk kaedah ini, saya lebih gemar menggunakan gewang soft plastic yang bersifat terapung seperti Z-Man MinnowZ, dimana ekornya akan terjungkit ke atas seolah-olah ikan sedang mencari makan.

Apa yang paling penting adalah penggunaan jighead yang betul.

Jika jighead terlalu berat, ia akan mengorek dasar. Jika terlalu ringan pula, gewang akan mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke dasar.

Rujukan

Jika anda tidak pasti tentang pemilihan jighead yang sesuai, baca artikel mengenai kaedah memilih jig head untuk gewang soft plastic

Apa yang penting, penggunaan matakail weedless adalah wajib untuk mengelakkan sangkut.

Objektif kita dalam teknik adalah mempersembahkan soft plastic mengikut pelakuan sebenar hidupan tersebut.

Sebagai contoh, cacing tidak boleh berenang.

Oleh itu, anda perlu memberi pergerakan paling semulajadi di permukaan dasar.

Bagaimana melakukan kaedah ini?

Lakukan balingan dan tunggu sehingga umpan jatuh ke dasar.

Mulakan karauan dengan kaedah ini:

  1. Hujung joran direndahkan.
  2. Tarik gewang soft plastic tersebut dengan joran dalam jarak 10-20 cm dan berhenti.
  3. Ulangi proses diatas sehingga mendapat sambaran.

Tempoh henti (pause) bergantung kepada aktiviti ikan.

Jika ikan tidak aktif, tempoh henti mungkin boleh dipanjangkan sehingga 10 saat.

Ya, kaedah ini lama dan membosankan, tetapi ini adalah caranya jika ikan terlampau mengunci mulut.

Kadangkala jika anda menggunakan soft plastik berupa udang (Zerek Live Shrimp contohnya), anda boleh membuat sedikit jentikan kecil (twitch) untuk mengetuk dasar.

Ia seolah-olah mengetuk pintu rumah dan membuat provokasi terhadap ikan untuk menyerang!


5. Jentikan (Twitching) dan Sentakan (Jerking)

aksi gewang soft plastic

Kaedah ini bagus untuk mengesan ikan yang aktif dengan cepat.

Henjutan kecil / jentikan dengan karauan sederhana akan membantu umpan meneroka kawasan luas dengan lebih cepat. Kadangkala teknik ini berkesan bila semua teknik lain gagal.

Jika anda menggayakan aksi twitching ini pada permukaan dasar, ia akan menyebabkan selut dan pasir pada dasar naik ke atas dan meniru aksi seperti ikan cedera.

cara menggunakan gewang soft plastic
Anak GT memang pantang melihat gewang soft plastic yang terkinja-kinja bila digayakan dengan teknik twitching

Strike biasa berlaku diantara jentikan atau sentakan.

Kadangkala serangan juga berlaku bila umpan dihentikan (pause).

Untuk teknik ini, saya menyarankan penggunaan gewang soft plastic jenis ekor pendayung (paddle tail) yang turun ke dasar secara perlahan-lahan.

Jentikan dan henjutan kecil (jerking) akan mengaktifkan aksi eratik, iaitu meniru kelakuan ikan yang sedang cedera.

Tips Casting Menggunakan Gewang Soft Plastic Ringan

 menggayakan soft plastic kecil dan ringan

Untuk melontar dan memainkan SP yang ringan dengan lebih berkesan, lebih baik gunakan set kekili mendatar (spinning).

Padankan berat dan kuasa peralatan dengan saiz SP yang ingin dilontar serta padankan dengan kekuatan spesies sasaran.

Gunakan tali sulam, dengan perambut fluorocarbon yang berukuran sama dengan panjang joran.

Ikuti tips penting berikut:
  • Guna joran yang panjang, ringan dan berhujung lembut tetapi kuat pada pangkalnya. Joran yang sensitif adalah kritikal.
  • Jangan terlebih isi tali sulam pada gelendung kekili.
  • Elakkan penggunaan cili, gegelung cincin dan aksesori kecil lain apabila memasangnya – sebolehnya biar ringkas.
  • Untuk menambah aksi gewang, gunakan tali dan perambut yang sehalus mungkin, tetapi biarlah realistik dengan keadaan padang pancing.
  • Mata kail hendaklah ekstra tajam untuk memastikan penembusan – terutama jika dipasang secara kalis sangkut.
  • Elakkan jig head yang berteras mata kail tebal – teras halus lebih baik
  • Gunakan kaedah yang tepat dengan situasi semasa padang pancing anda
  • Sentiasa perhatikan tali anda. Kadangkala ikan suka mengutip umpan semasa tali kendur.
  • Sabar itu penting. Hehe ????

Penutup: Lakukan eksperimen anda

Lima kaedah yang dinyatakan diatas adalah panduan asas untuk belajar menggukan gewang soft plastic.

Sebenarnya tiada cara yang betul atau salah menggunakan umpan jenis ini, semuanya akan datang dari pengalaman dan eksperimen (trial and error).

Sentiasalah meneroka potensi spot kegemaran anda. Gunakan kaedah berbeza ataupun gabungkan beberapa teknik.

Cuba cari kaedah terbaik untuk merangsang ikan untuk menyerang gewang.

Apa yang paling penting adalah bersabar.

Membina rentak dan mendapatkan feel permainan soft plastic memang memerlukan sedikit masa. Anda perlu tabah.

InsyaaAllah, anda pasti ‘ketagih’ setelah berjaya membuka kunci rahsia disebalik gewang yang killer ini.

Semoga bermanfaat!

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

36 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Poji
Poji
2 tahun yang lalu

Terima kasih… info yang sangat berguna. Dah lama cuba untuk guna SP ni tapi belum berhasil lagi. huhu

Reuben
Reuben
2 tahun yang lalu

Pernahkah anda mendengar tentang teknik memancing midstrolling?
Video: https://www.youtube.com/watch?v=Ce__HF1_tUQ&ab_channel=DSTYLEMOVIE

Last edited 2 tahun yang lalu by Reuben
wan
wan
2 tahun yang lalu

salam tuan…sy nk tanya sesuai tak kalau guna sp utk kolam air masin guna carolina rig?

Zainodin 22
Zainodin 22
4 tahun yang lalu

menarik:: info yg tinggi menafaatnya. I know

abu 'asim
abu 'asim
5 tahun yang lalu

Adakah soft plastik sesuai untuk pancingan ikan sebarau @ ikan yang menghuni kawasan air deras?