
Ramai orang bekerja keras, berfikir panjang, dan membuat keputusan dengan cermat. Namun selepas beberapa tahun, mereka tetap rasa kosong. Hidup bergerak. Banyak sasaran tercapai. Dari luar, semuanya nampak baik. Tetapi di dalam, hati masih tidak tenang.
Masalahnya bukan semata-mata kerana kita kurang berusaha. Kadang-kadang masalah sebenar lebih halus daripada itu. Kita boleh menjadi semakin cekap mengejar sesuatu yang sejak awal lagi bukan perkara paling penting dalam hidup kita.
Kita boleh jadi sangat pandai merancang, sangat disiplin bertindak, dan sangat mahir membuat keputusan.
Tetapi semua itu tetap tidak banyak membantu jika arah yang kita tuju sebenarnya salah.
Kita mungkin menang, tetapi menang pada permainan yang tidak patut menjadi permainan utama hidup kita.
Nota Penulis
Artikel ini ialah sebahagian daripada siri huraian buku Clear Thinking oleh Shane Parrish di Inchenaim. Jika tuan belum mengikuti siri ini dari awal, tuan boleh mulakan dengan halaman utama Clear Thinking untuk melihat gambaran besarnya.
Artikel ini menyambung perbincangan daripada bahagian sebelumnya tentang margin of safety, iaitu bagaimana kita menyediakan ruang keselamatan apabila hidup tidak berjalan seperti yang dijangka. Namun selepas itu, muncul satu soalan yang lebih besar: setelah kita semakin pandai berfikir dan membuat keputusan, apakah perkara yang sebenarnya patut kita mahu dalam hidup?
Keputusan Yang Berkesan Belum Tentu Keputusan Yang Baik
Di sinilah letaknya salah satu idea paling matang dalam bahagian akhir buku ini. Sesuatu keputusan boleh jadi berkesan, tetapi belum tentu baik.[1]
Keputusan yang berkesan mungkin membantu kita mendapat apa yang kita mahu sekarang. Tetapi keputusan yang baik membantu kita bergerak ke arah sesuatu yang benar-benar patut kita mahu dalam hidup.
Bezanya nampak kecil, tetapi sebenarnya sangat besar.
Kita boleh memilih kerja yang memberi gaji lebih tinggi, lalu keputusan itu nampak berkesan. Kita boleh memenangi satu pertengkaran, lalu keputusan itu nampak berhasil. Kita boleh membeli sesuatu yang menaikkan imej kita, lalu keputusan itu terasa seperti satu kemenangan. Namun soalan yang lebih penting ialah ini: selepas semua itu, adakah hidup kita benar-benar menjadi lebih baik?
Adakah hidup kita menjadi lebih tenang, lebih jujur, dan lebih dekat dengan perkara yang sebenarnya bernilai?
Ramai orang berhenti pada tahap pertama. Mereka hanya bertanya, “Bagaimana aku hendak dapatkan apa yang aku mahu?” Sedangkan soalan yang lebih penting ialah, “Apa yang patut aku mahu sebenarnya?”
Di sinilah clear thinking menjadi lebih dalam daripada sekadar teknik membuat keputusan. Ia bukan hanya soal memilih langkah yang paling bijak. Ia juga soal memastikan hidup kita bergerak ke arah yang betul.
Kerana itu, berfikir dengan jelas tidak cukup jika tujuan hidup kita sendiri masih kabur. Kejernihan fikiran boleh membantu kita bergerak dengan lebih cepat. Tetapi kalau arahnya salah, kita cuma akan sampai lebih cepat ke tempat yang tidak sepatutnya kita tuju.
Hidup Mula Sempit Apabila Kita Bermain Menurut Ukuran Orang Lain
Salah satu idea paling kuat dalam bahagian ini ialah tentang scoreboard hidup. Maksudnya mudah. Dalam hidup ini, kita sepatutnya menilai diri berdasarkan ukuran yang benar-benar kita percaya penting, bukan semata-mata ukuran yang dipinjam daripada orang lain.
Masalahnya, ramai antara kita tidak sedar pun bahawa kita sedang hidup menurut ukuran luar. Kita mula mengukur nilai diri melalui jawatan, gaji, pujian, pengaruh, atau sejauh mana hidup kita nampak berjaya di mata orang lain. Semua ini kelihatan biasa, malah sering dianggap normal. Tetapi apabila ukuran luar mula mengambil alih seluruh arah hidup, kita perlahan-lahan kehilangan pusat diri.
Kita mula membuat keputusan bukan kerana ia betul untuk hidup kita, tetapi kerana ia nampak menang di mata orang lain. Kita menerima beban yang tidak perlu kerana tidak mahu dilihat lemah. Kita mengejar sesuatu yang tidak kita perlukan kerana takut nampak tertinggal. Kita terus memegang cita-cita lama walaupun hati sendiri sudah lama tahu bahawa semua itu tidak memberi makna seperti yang kita sangka.
Akhirnya, penyesalan tidak semestinya datang kerana kita gagal. Kadang-kadang penyesalan paling berat datang apabila kita sedar bahawa kita berjaya dalam sesuatu yang sebenarnya tidak pernah benar-benar kita perlukan. Kita menang, tetapi bukan dalam perkara yang patut kita menangkan.
Bila Apa Yang Kita Kejar Sebenarnya Tidak Memberi Makna Yang Kita Harapkan
Dalam A Christmas Carol, Ebenezer Scrooge hidup dengan satu ukuran yang sangat jelas. Wang, kedudukan, dan kepentingan diri menjadi pusat hidupnya. Dari satu sudut, hidupnya nampak berjaya. Dia kaya. Dia berpengaruh. Dia tidak hidup susah.[2]
Tetapi apabila dia dipaksa melihat akibat hidupnya dengan lebih jujur, barulah jelas bahawa kejayaan seperti itu sebenarnya miskin. Kehadirannya tidak membawa kehangatan. Hidupnya tidak meninggalkan kasih. Dia ada banyak benda, tetapi hidupnya sendiri kering.
Pelajaran di sini sangat dekat dengan kita. Kualiti hidup kita banyak ditentukan oleh kualiti apa yang kita kejar. Kalau yang kita kejar cetek, hidup kita juga perlahan-lahan menjadi cetek.
Inilah yang sering berlaku apabila kita hidup dengan terlalu bergantung pada pencapaian luar. Kita fikir satu perkara akan menyelesaikan rasa tidak cukup dalam diri. Kereta baru. Rumah yang lebih besar. Telefon yang lebih mahal. Pangkat yang lebih tinggi. Pengiktirafan yang lebih luas.
Pada awalnya, memang ada rasa seronok. Tetapi rasa itu jarang kekal lama. Selepas itu, kita menyesuaikan diri. Apa yang dulu terasa besar mula nampak biasa. Apa yang dulu kita syukuri mula terasa tidak cukup. Kita pun mula melihat ke atas semula, mula membandingkan semula, dan mula mengejar semula. Kita terus berlari, tetapi tidak pernah benar-benar sampai.[3]
Di sinilah perangkapnya. Kita bukan sekadar penat bekerja. Kita penat kerana sentiasa mengejar sesuatu yang bergerak lebih laju daripada kepuasan hati kita sendiri.
Bagaimana Perkara Ini Muncul Dalam Hidup Seharian
Dalam dunia kerja, hal ini sering muncul apabila seseorang terlalu mahu dilihat penting. Dia pegang terlalu banyak tugasan, bukan kerana semuanya benar-benar perlu, tetapi kerana rasa “diperlukan” itu memberi kepuasan kepada dirinya.
Dari luar, dia nampak komited. Tetapi sedikit demi sedikit, hidupnya hilang ruang. Masa makin sempit. Tenaga makin habis. Orang yang dekat dengannya pula mula mendapat sisa.
Dalam sekolah pun sama. Kadang-kadang kita terlalu sibuk mahu memastikan kita sentiasa nampak aktif, berguna, dan menonjol. Semua program kita mahu masuk. Semua tugas kita mahu ambil. Semua perkara kita rasa perlu disambut. Lama-kelamaan, kita tidak lagi membezakan antara kerja yang benar-benar penting dengan kerja yang hanya membuat kita nampak penting.
Dalam keluarga, bentuknya lebih halus. Kita mahu nampak berjaya di mata saudara-mara, lalu kita berbelanja melampaui kemampuan. Kita mahu menjaga imej, lalu kita sanggup menanggung komitmen yang menyesakkan hidup bertahun-tahun. Kita bukan membeli kerana perlu. Kita membeli kerana tidak mahu terasa kalah.
Dalam hubungan pula, kita kadang-kadang lebih suka menang hujah daripada menjaga hati. Dalam perbualan suami isteri, dalam WhatsApp keluarga, atau dalam hubungan sesama adik-beradik, kita terlalu mahu membuktikan bahawa kita betul. Kita mahu menang pada saat itu. Tetapi beberapa tahun kemudian, yang tinggal bukan kemenangan itu. Yang tinggal ialah jarak, dingin, dan luka yang sukar dipulihkan.
Di media sosial, perkara ini jadi lebih laju dan lebih halus. Kita melihat potongan hidup orang lain, lalu tanpa sedar kita mula meminjam ukuran mereka. Kita rasa hidup sendiri lambat. Kita rasa rezeki sendiri kecil. Kita rasa pencapaian sendiri tidak cukup. Padahal yang kita lihat hanyalah sebahagian kecil daripada hidup orang lain, bukan keseluruhannya.
Namun hati tetap terkesan. Dari situlah kita mula menyusun hidup untuk kelihatan baik, bukan semestinya untuk benar-benar hidup dengan baik.
Semua ini menunjukkan satu perkara. Soalan tentang “apa yang patut kita mahu” bukan soalan besar yang muncul sekali-sekala. Soalan itu muncul dalam saat-saat biasa. Pada cara kita membelanjakan duit. Pada cara kita menerima tugasan. Pada cara kita melayan orang rumah. Pada cara kita menilai kejayaan sendiri. Pada perkara kecil yang kita pilih untuk dahulukan, hari demi hari.
Memento Mori Membantu Kita Melihat Hidup Dengan Lebih Jujur
Salah satu latihan fikiran yang sangat kuat dalam bahagian ini ialah memento mori. Secara ringkas, ia mengajak kita mengingati kematian. Bukan untuk menakutkan diri, tetapi untuk menjernihkan pandangan terhadap hidup.[4]
Apabila kita melihat hidup dari hujungnya, banyak perkara kecil mula jatuh nilainya. Keinginan untuk menang setiap hujah mula nampak remeh. Keperluan untuk sentiasa nampak hebat mula terasa meletihkan. Dendam yang disimpan lama-lama mula kelihatan tidak berbaloi. Banyak benda yang dulu nampak besar tiba-tiba jadi kecil.
Pada masa yang sama, perkara yang benar-benar penting mula kelihatan lebih terang. Masa. Kesihatan. Hubungan. Akhlak. Kehadiran kita untuk orang yang kita sayang. Kesan hidup kita kepada orang lain. Cara kita dikenang oleh mereka yang benar-benar hidup bersama kita.
Sebab itu, mengingati kematian bukan latihan yang gelap. Ia sebenarnya latihan untuk melihat hidup dengan lebih waras.
Bila kita benar-benar sedar bahawa hidup ini terhad, kita mula berhenti membazirkan diri pada perkara yang tidak layak menguasai hidup kita. Kita mula bertanya dengan lebih jujur: kalau hidup ini tidak panjang, mengapa aku masih menghabiskan terlalu banyak tenaga pada perkara yang sebenarnya tidak penting?
Di sinilah muncul satu pelajaran yang sangat matang. Hikmah lahir apabila kita menggunakan bayangan penyesalan masa depan untuk membimbing keputusan hari ini.[5]
Kalau kita tahu satu hari nanti kita akan menyesal kerana terlalu sibuk dengan kerja dan terlalu kurang hadir untuk keluarga, maka kebijaksanaannya ialah membetulkan hidup sekarang. Kalau kita tahu satu hari nanti kita akan menyesal kerana terlalu menjaga ego dan terlalu lambat meminta maaf, maka saat untuk berubah bukan esok. Saatnya ialah hari ini.
Salah Faham Yang Sering Berlaku Tentang Perkara Ini
Salah satu salah faham biasa ialah menganggap perbincangan tentang apa yang benar-benar penting ini sebagai sesuatu yang lembut, kabur, atau terlalu sentimental. Sebenarnya tidak. Ini ialah bahagian yang sangat praktikal.
Seseorang yang jelas tentang apa yang benar-benar penting akan membuat keputusan dengan lebih tersusun.
Dia tidak mudah dipancing oleh trend, tidak mudah dipaksa oleh tekanan sosial, dan tidak mudah menukar arah hidup semata-mata kerana orang lain nampak lebih laju. Dia lebih tenang kerana ukurannya jelas.
Salah faham kedua ialah menyangka bahawa menolak ukuran orang lain bermaksud kita tidak perlu bercita-cita tinggi. Itu juga tidak tepat.
Kita masih boleh berusaha, membina kerjaya, menambah pendapatan, dan mengejar kecemerlangan. Tetapi semua itu mesti duduk pada tempatnya. Ia bukan pusat hidup. Ia alat, bukan tujuan akhir.
Salah faham ketiga ialah menyangka bahawa bahagia akan datang apabila semua masalah selesai. Bahagian ini mengajar sesuatu yang lebih dewasa. Bahagia bukan hasil daripada hidup yang sempurna. Ia lebih dekat dengan hidup yang selari. Selari antara keputusan harian kita dengan nilai yang kita benar-benar percaya. Selari antara apa yang kita kejar dengan siapa kita mahu jadi.[6]
Apa Yang Patut Kita Ambil Daripadanya
Pelajaran utama bab ini sebenarnya sangat mudah untuk disebut, tetapi berat untuk dipikul. Tidak cukup untuk kita tahu cara membuat keputusan yang baik dari segi teknik. Kita juga mesti tahu hidup seperti apa yang sebenarnya mahu kita bina. Kita perlu bertanya dengan jujur: adakah apa yang sedang kita kejar benar-benar milik kita, atau sekadar warisan tekanan sosial, ego, kebiasaan, dan perbandingan?
Adakah kerja keras kita sedang membina hidup yang lebih bermakna, atau sekadar menambah lapisan pada hidup yang kosong di dalam?
Kadang-kadang clear thinking bukan bermula dengan jawapan yang lebih canggih. Kadang-kadang ia bermula dengan keberanian untuk mengakui bahawa ada matlamat lama yang perlu dilepaskan. Ada ukuran lama yang perlu dibuang. Ada jenis kemenangan yang tidak lagi patut kita hormati.
Bila kita jelas tentang apa yang benar-benar penting, banyak keputusan kecil akan menjadi lebih mudah. Bukan kerana hidup tiba-tiba jadi ringan, tetapi kerana hati sudah tahu arah.
Dan apabila arah itu betul, barulah kejernihan fikiran benar-benar menjadi nikmat.
Selepas semua perbincangan tentang default, kekuatan diri, safeguards, dan keputusan, kita akhirnya sampai kepada soalan yang paling sunyi tetapi paling menentukan: untuk apa semua ini kita bina?
Nota Kaki
Nota kaki berikut menghuraikan latar konsep dan rujukan yang menjadi asas kepada perbincangan dalam artikel ini, untuk pembaca yang ingin mendalami lebih lanjut.
- Dalam bahagian akhir buku ini, Parrish membezakan antara keputusan yang berkesan dengan keputusan yang baik. Keputusan yang berkesan boleh membawa hasil segera yang kita mahu, tetapi keputusan yang baik membawa kita kepada sesuatu yang benar-benar bernilai dalam hidup. Dalam konteks ini, beliau juga mengaitkan penyesalan dengan kegagalan hidup menurut ukuran yang benar-benar kita percaya. ↩︎
- Parrish menggunakan watak Ebenezer Scrooge untuk menunjukkan bagaimana seseorang boleh hidup menurut ukuran masyarakat, lalu mengejar wang, status, dan kepentingan diri sambil kehilangan perkara yang lebih bernilai. Pelajaran penting daripada kisah ini ialah hidup yang nampak berjaya dari luar belum tentu hidup yang benar-benar baik dari dalam. Parrish, Clear Thinking, bab 5.1, “Dickens’s Hidden Lesson.” ↩︎
- Dalam bahagian yang sama, Parrish mengaitkan pencarian status dan harta dengan kecenderungan manusia yang cepat menyesuaikan diri dengan pencapaian baru. Apa yang pada awalnya terasa memuaskan akhirnya menjadi biasa semula, lalu kita terdorong mengejar lebih lagi. Sebab itu, pencapaian luar sahaja jarang memberi kepuasan yang benar-benar kekal. ↩︎
- Bahagian Memento Mori memperkenalkan satu latihan mental yang sangat penting, iaitu melihat hidup dari hujung usia atau dari ambang kematian. Tujuannya bukan untuk menakutkan pembaca, tetapi untuk membantu kita menilai semula apa yang betul-betul penting, apa yang sebenarnya remeh, dan apa yang paling kita akan sesali jika tidak dibetulkan sekarang. ↩︎
- Dalam Life Lessons from Death, Parrish menekankan bahawa hikmah lahir apabila kita menukar bayangan penyesalan masa depan kepada panduan untuk tindakan hari ini. Maksudnya, kita tidak menunggu sehingga semuanya terlambat untuk sedar apa yang penting. Kita gunakan kesedaran itu sekarang, ketika kita masih sempat membetulkan arah hidup. ↩︎
- Bahagian akhir buku ini juga menegaskan bahawa kebijaksanaan sejati tidak lahir daripada mengejar kejayaan semata-mata, tetapi daripada pembinaan watak dan kesetiaan kepada apa yang benar-benar bernilai. Sebab itu, perbincangan tentang apa yang patut kita mahu akhirnya bukan sekadar tentang kebahagiaan, tetapi tentang arah hidup, nilai diri, dan siapa kita sedang jadi sedikit demi sedikit. ↩︎
