Bagaimanakah kepercayaan kita wujud?
Jika anda seperti kebanyakan orang lain, anda mungkin lebih suka untuk percaya dan yakin kepada pengalaman hidup bertahun-tahun dan maklumat yang anda sedia ada.
Tapi ramai yang tidak sedar bahawa secara realitinya, kita semua terdedah kepada satu masalah rumit yang dikenali sebagai comfirmation bias. (pandangan berat sebelah)
Kita cenderung untuk membayangkan bahawa kepercayaan kita selama ini adalah rasional, logik dan tepat.
Tetapi hakikatnya, ia hanyalah idea-idea kita yang terbina berdasarkan kepada maklumat yang mendokong kepercayaan kita selama ini.
Dan mengabaikan maklumat yang bercanggah dengan kepercayaan kita yang sedia ada.
Sebagai contoh:
Individu A percaya bahawa hukum hudud adalah satu isu yang amat penting untuk dibangkitkan.
Oleh itu mereka hanya mencari dan membaca bahan berkaitan perlaksanaan, hujah dari al-Quran dan bagaimana keberkesanan hukum ini dalam mengurangkan jenayah secara drastik dan praktikal.
Hasilnya, individu A terus menerus untuk percaya dan semakin yakin dengan apa yang dia pegang selama ini.
Sementara itu, individu B tidak percaya hukum hudud adalah isu serius untuk dibangkitkan.
Mereka hanya mencari hujah dan bahan bacaan yang membincangkan mengapa hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan, mengapa para ulama’ telah silap dalam hal ini, dan menyuarakan isu lain yang dikatakan lebih penting seperti kestabilan ekonomi.
Hasilnya, individu B terus mempercayai dan semakin menyokong apa yang dia percaya selama ini. Baginya, ini adalah jihad yang lebih utama.
Kita boleh lihat betapa keyakinan yang dipegang oleh dua pihak ini sehingga berlaku perpecahan dalam landskap politik negara.
Orang melihat apa yang dia nak lihat, nak dengar apa yang dia suka.
Menukar pemikiran adalah lebih sukar daripada apa yang kita sangka.
Lebih banyak anda yakin bahawa anda mengetahui sesuatu dengan baik, maka lebih banyak anda akan menapis dan mengabaikan semua maklumat lain yang berlawanan dengan kepercayaan anda.
Kita boleh melihat corak pemikiran ini untuk hampir semua topik.
Jika anda baru sahaja membeli sebuah kereta Honda Civic dan anda percaya ia adalah kereta yang terbaik di pasaran, maka anda secara semulajadi akan membaca semua artikel yang anda temui tentang kereta tersebut, yang memuji kereta tersebut.
Dan pada masa yang sama, jika terdapat majalah menyenaraikan kereta yang lain sebagai pilihan yang terbaik, anda akan menolak dan menganggap bahawa editor majalah tersebut tak betul daripada apa yang anda pentingkan dalam sesebuah kereta.
Bukan kelaziman bagi kita sebagai manusia normal untuk menguji setiap perkara sama ada ia betul atau salah.
Sebaliknya, kita lebih cenderung untuk membuat kesimpulan sendiri, menganggapnya betul dan mencari maklumat yang kita percaya untuk menyokongnya.
Kebanyakan orang tidak mahu maklumat baru, mereka hanya mahu mengesahkan maklumat yang mereka sedia percaya.
Mencabar kepercayaan yang membuktikan selama ini kita salah?
Ini adalah sifat semulajadi manusia.
Tidak seronok untuk memikirkan bahawa selama ini kita telah salah.
Dan tiada manusia mahu kelihatan kalah.
Memang agak tidak menyenangkan membaca buku yang mencabar kepercayaan politik kita.
Atau mengingati kritikan terhadap pasukan bola sepak kegemaran kita.
Kadangkala kita rasa sangat sukar menerima bagaimana penganut agama lain cuba mencampuri urusan agama kita.
Adakah ini salah? Tidak.
Kita juga berhak mempertahankan apa yang kita yakini, kerana hidup ini bukan berlandaskan logik semata-mata.
Tinggalkan Komen Anda..