Cara Berfikir Dengan Jelas Sebelum Membuat Keputusan Penting

Cara Berfikir yang jelas

Ada waktu dalam hidup kita apabila kepala terasa terlalu penuh, tetapi keputusan masih juga tidak nampak jelas. Kita sudah tanya pendapat orang, buat senarai baik dan buruk, baca itu ini, fikir siang malam, tetapi hati tetap berat. Yang bertambah hanyalah letih.

Keadaan seperti ini selalu berlaku pada keputusan yang besar. Sama ada mahu menerima tawaran kerja baharu, berpindah rumah, memilih sekolah anak, menukar hala tuju hidup, atau berhenti daripada sesuatu yang sudah lama kita pegang.

Kita rasa seperti sedang berfikir dengan bersungguh-sungguh. Padahal kadang-kadang kita cuma berpusing di tempat yang sama.

Di sinilah satu perkara penting perlu dibezakan. Banyak orang menyangka semua pilihan ialah keputusan. Padahal belum tentu.[1]

Ada pilihan yang lahir daripada kebiasaan, ada yang lahir daripada tekanan, ada yang lahir daripada rasa mahu cepat selesai.

Semuanya nampak seperti tindakan. Tetapi tidak semuanya lahir daripada pertimbangan yang benar-benar jelas.

Nota Penulis

Artikel ini ialah sebahagian daripada siri huraian buku Clear Thinking oleh Shane Parrish di Inchenaim. Jika tuan belum mengikuti siri ini dari awal, tuan boleh mulakan dengan halaman utama Clear Thinking untuk melihat gambaran besarnya.

Artikel ini menyambung perbincangan daripada bahagian sebelumnya tentang bagaimana kita membina perlindungan terhadap kelemahan diri. Selepas itu, barulah kita masuk ke satu lapisan yang lebih praktikal, iaitu bagaimana membuat keputusan penting dengan lebih jelas, lebih tenang, dan lebih sedar.

Memilih Belum Tentu Bermaksud Membuat Keputusan

Kita selalu menggunakan perkataan “pilih” dan “buat keputusan” seolah-olah dua perkara yang sama. Tetapi dalam hidup yang sebenar, bezanya besar.

Kita boleh memilih tanpa banyak berfikir. Kita pilih untuk diam. Kita pilih untuk bertangguh. Kita pilih untuk ikut sahaja apa yang orang lain mahu. Kita pilih jalan yang paling biasa, bukan kerana itu paling baik, tetapi kerana itu paling mudah. Semua ini ialah pilihan, tetapi belum tentu keputusan.

Keputusan ialah pilihan yang dibuat dengan sedar. Kita tahu apa yang sedang dipertaruhkan, kita jelas apa yang hendak dicapai, dan kita menimbang dengan sengaja sebelum melangkah. Ada unsur pertimbangan di situ. Ada jarak antara dorongan dan tindakan.

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi kesannya besar. Bila kita gagal membezakan antara sekadar memilih dengan benar-benar membuat keputusan, kita mudah menyangka kita sudah berfikir dengan matang. Padahal sebenarnya kita cuma mengikut arus keadaan.

Sebab itu tidak semua perkara perlu diberi layanan yang sama. Memilih menu makan tengah hari tidak sama dengan memilih komitmen kewangan lima tahun. Menjawab mesej WhatsApp tidak sama dengan menentukan haluan kerjaya.

Apabila akibatnya besar, kesannya panjang, dan sukar untuk dipatahkan semula, kita tidak boleh lagi sekadar ikut rasa. Kita perlu membuat keputusan dengan betul.

Fikiran Jelas Bermula Dengan Mengenal Pasti Masalah Sebenar

Dalam banyak keadaan, masalah terbesar bukanlah kita tidak tahu jawapan. Masalah terbesar ialah kita salah faham apa masalah yang sebenar.[2]

Ini berlaku lebih kerap daripada yang kita sangka. Dalam mesyuarat, orang terus meloncat kepada cadangan sebaik sahaja satu isu disebut. Dalam rumah tangga, kita cepat sangat mahu menentukan siapa yang salah. Dalam kerja, kita terburu-buru membaiki simptom yang nampak di permukaan. Kita sibuk, tetapi belum tentu kita sedang menyelesaikan perkara yang paling penting.

Sebuah keputusan tidak akan menjadi baik jika ia dibina di atas diagnosis yang salah.

Kalau kita salah faham masalah, kita mungkin kelihatan cekap, tetapi sebenarnya cuma laju bergerak ke arah yang tidak tepat.

Katakan seorang guru melihat murid semakin lemah dalam sesuatu topik. Masalah yang mula-mula nampak mungkin “murid malas” atau “murid tidak fokus”.

Tetapi apabila diteliti, mungkin masalah sebenarnya bukan di situ. Mungkin arahan tidak jelas sejak awal. Mungkin asas mereka sudah lama rapuh. Mungkin juga beban tugasan terlalu banyak sehingga mereka tidak tahu bahagian mana yang patut diberi perhatian dahulu.

Begitu juga dalam keluarga. Kadang-kadang kita fikir masalahnya ialah pasangan tidak memahami kita. Tetapi apabila diteliti, rupa-rupanya masalah sebenar ialah perkara penting sudah terlalu lama dipendam, lalu setiap perbualan kecil terus membawa sisa luka lama.

Satu soalan yang sangat membantu ialah ini: apakah yang perlu benar supaya masalah ini tidak wujud sejak awal?

Soalan ini memaksa kita berhenti merawat permukaan dan mula mencari akar masalah.

Kita selalu mahu cepat kepada penyelesaian. Tetapi orang yang pandai membuat keputusan tahu bahawa kerja paling penting datang lebih awal daripada itu.

Mereka meluangkan masa untuk memahami apa yang sebenarnya sedang berlaku. Mereka tidak membiarkan orang lain mentakrifkan masalah bagi pihak mereka.

Jangan Kurung Diri Dalam Dua Pilihan Sahaja

Selepas kita nampak masalah dengan lebih jelas, langkah seterusnya ialah melihat kemungkinan jalan keluar. Di sinilah ramai orang tersekat tanpa sedar.

Kita suka menyempitkan keadaan kepada dua pilihan sahaja. Terima atau tolak. Kekal atau berhenti. Lawan atau diam. Jual atau simpan. Seolah-olah hidup sentiasa datang dalam bentuk hitam atau putih. Padahal kebanyakan masalah yang matang jarang sekali sesempit itu.[3]

Bila kita terlalu cepat mengecilkan sesuatu kepada dua pilihan, selalunya itu petanda kita belum cukup memahami keadaan. Kita mahu cepat sampai ke jawapan, lalu kita memotong ruang berfikir yang sebenarnya sangat diperlukan.

Dalam dunia kerja, ini berlaku selalu. Seseorang mungkin rasa letih dan kecewa, lalu dia fikir pilihannya cuma dua: terus bertahan atau berhenti kerja.

Tetapi apabila dia duduk semula dengan lebih jelas, mungkin ada jalan ketiga.

Mungkin yang perlu diubah dahulu ialah sempadan kerja, cara berkomunikasi dengan ketua, pembahagian tugas, atau jangkaan yang selama ini tidak pernah dibersihkan.

Dalam kewangan keluarga juga begitu. Kita selalu fikir pilihannya cuma berjimat atau berhutang.

Padahal mungkin ada pilihan lain yang lebih waras, seperti menyusun semula komitmen bulanan, menangguhkan pembelian tertentu, menutup kebocoran kecil yang berulang, atau menambah sedikit sumber pendapatan tanpa menggoncang seluruh hidup.

Tujuan kita mencari lebih banyak pilihan bukan kerana semua pilihan itu akan dipilih. Tujuannya ialah supaya kita tidak menjadi tawanan kepada bingkai yang terlalu sempit.

Kadang-kadang pilihan ketiga itulah yang menyelamatkan keadaan. Kadang-kadang ia bukan jawapan akhir pun, tetapi ia membuka sudut yang sebelumnya tidak kita nampak.

Keputusan yang baik jarang lahir daripada imaginasi yang miskin. Ia lebih selalu lahir daripada keberanian untuk melihat bahawa keadaan kita mungkin tidak sesempit yang kita sangka.

Nilai Pilihan Dengan Ukuran Yang Betul

Selepas beberapa pilihan mula kelihatan, kita masuk ke tahap yang lebih halus, iaitu menilai pilihan-pilihan itu. Banyak keputusan rosak pada tahap ini, bukan kerana pilihannya tiada, tetapi kerana ukurannya kabur.[4]

Ramai orang menilai berdasarkan rasa semasa. Apa yang paling melegakan sekarang. Apa yang paling sedap didengar. Apa yang membuat kita nampak kuat di depan orang lain. Apa yang mengelakkan kita daripada rasa serba salah hari ini.

Tetapi ukuran seperti ini selalunya tidak cukup kukuh untuk memimpin keputusan yang besar.

Ukuran yang baik mesti lahir daripada matlamat yang jelas. Kita perlu jujur bertanya: apa yang sebenarnya paling penting dalam keputusan ini?

Jika kita memilih kerja baharu, apakah yang paling utama? Gaji, masa bersama keluarga, kestabilan, ruang berkembang, lokasi, atau kebebasan?

Kita tidak boleh meletakkan semuanya pada tempat pertama serentak. Dalam keputusan yang nyata, selalu ada satu atau dua perkara yang paling berat. Selagi kita tidak jujur tentang itu, kita akan terus keliru walaupun maklumat sudah banyak.

Di sinilah banyak orang tersangkut. Mereka mahu semua sekali. Mereka mahu pendapatan lebih tinggi, tekanan lebih rendah, masa lebih lapang, peluang lebih besar, risiko paling kecil, dan pengiktirafan paling tinggi. Apabila semuanya mahu dijaga serentak, keputusan menjadi lumpuh.

Satu lagi hal penting ialah maklumat yang kita gunakan. Dalam zaman yang penuh dengan pandangan, cabaran kita bukan kekurangan maklumat. Cabaran kita ialah tidak tahu maklumat mana yang benar-benar relevan.

Maklumat yang dekat dengan realiti selalunya lebih berguna daripada rumusan yang cantik tetapi jauh daripada pengalaman sebenar.

Jika mahu menilai sekolah, jangan hanya tengok brosur. Tanya ibu bapa yang benar-benar ada anak di situ.

Jika mahu menilai kerja baharu, jangan hanya tengok jawatan dan gaji. Fahami budaya kerja, ritma hariannya, dan jenis manusia yang akan kita hadapi.

Jika mahu menilai sesuatu keputusan keluarga, jangan hanya fikir apa yang ideal. Fikir juga apa yang benar-benar mampu ditanggung oleh jiwa, masa, dan tenaga kita.

Keputusan yang baik tidak lahir daripada maklumat yang paling banyak. Ia lahir daripada maklumat yang paling membantu untuk melihat apa yang benar-benar penting.

Ada Masanya Kita Perlu Berhenti Menimbang Dan Mula Melangkah

Selepas semua itu, sampai satu tahap kita perlu bertindak. Dan inilah bahagian yang paling susah bagi ramai orang.

Bukan kerana mereka tidak tahu apa yang patut dibuat. Selalunya mereka tahu, sekurang-kurangnya secara kasar. Yang menahan mereka ialah hal lain. Takut nampak silap. Takut melukakan orang. Takut hilang peluang. Takut menyesal. Takut meninggalkan sesuatu yang sudah lama dikenali walaupun ia sebenarnya tidak lagi sihat.

Ada juga orang yang terus mengumpul maklumat dengan harapan satu hari nanti semua kabus akan hilang. Tetapi dalam keputusan yang penting, kepastian penuh hampir tidak pernah datang. Jika kita tunggu sehingga semuanya terasa sempurna, selalunya keadaan akan membuat keputusan bagi pihak kita.

Di sini kita perlu membezakan jenis keputusan. Ada keputusan yang murah untuk dibetulkan jika tersalah. Ada keputusan yang mahal, besar, dan sukar untuk dipatahkan semula. Keputusan jenis pertama tidak perlu ditangguh terlalu lama. Tetapi keputusan jenis kedua memang patut diberi lebih banyak ruang sebelum dimuktamadkan.[5]

Namun berhati-hati juga. Menunggu yang bijak tidak sama dengan menangguh kerana takut. Ada orang yang menyangka mereka sedang berhati-hati, padahal mereka sebenarnya sedang melarikan diri daripada tanggungjawab untuk memilih.

Satu tanda yang berguna ialah ini. Apabila maklumat baharu sudah tidak lagi mengubah kefahaman kita dengan bermakna, apabila kita mula mengulang fikiran yang sama, atau apabila peluang yang baik mula terlepas kerana kita masih juga mahu “fikir lagi”, mungkin itu tanda bahawa masa menimbang sudah cukup.

Dalam hidup biasa, perkara ini sangat jelas. Membeli buku tidak sama dengan menandatangani pinjaman besar. Menukar susunan kerja harian tidak sama dengan berpindah bandar. Tetapi bercakap jujur tentang satu isu rumah tangga yang sudah lama dipendam juga tidak patut ditangguh terlalu lama, kerana kadang-kadang kos menunggu lebih besar daripada kos berbicara.

Keputusan yang matang bukan keputusan yang dibuat paling cepat. Ia juga bukan keputusan yang ditangguh paling lama. Ia ialah keputusan yang dibuat pada masa yang tepat, dengan kejelasan yang cukup.

Kesilapan Yang Sering Disangka Sebagai Clear Thinking

Ada beberapa perkara yang nampak seperti berfikir dengan matang, tetapi sebenarnya bukan.

Yang pertama ialah overthinking. Ramai orang menyangka mereka sedang berfikir dalam, padahal mereka cuma mengulang kebimbangan yang sama dengan ayat yang berbeza. Clear thinking tidak semestinya panjang. Ia cuma perlu jelas.

Yang kedua ialah bertindak terlalu cepat supaya nampak tegas. Ini sering disangka sebagai keberanian. Padahal kadang-kadang itu cuma cara ego menolak ketidakselesaan untuk duduk sekejap dalam ruang tidak pasti.

Yang ketiga ialah mengumpul terlalu banyak maklumat. Lebih banyak data tidak semestinya membawa lebih banyak kejelasan. Kadang-kadang ia cuma menambah bunyi.

Yang keempat ialah menyamakan aktiviti dengan kemajuan. Mesyuarat demi mesyuarat, perbincangan demi perbincangan, senarai pro dan kontra yang makin panjang, semuanya boleh membuat kita rasa sedang bergerak. Padahal belum tentu kita semakin dekat kepada keputusan yang lebih baik.

Dan yang kelima ialah membiarkan tekanan semasa menentukan ukuran kita. Kita mahu cepat selesai, maka kita pilih apa yang paling cepat menenangkan. Tetapi yang menenangkan hari ini belum tentu yang memelihara hidup kita esok.

Semua kesilapan ini mempunyai satu persamaan. Ia membuat kita rasa sedang bergerak, sedang berfikir, atau sedang berhati-hati, padahal kita mungkin cuma sedang mengelak daripada melihat keadaan dengan jujur. Clear thinking bukan tentang kelihatan bijak di luar. Ia tentang keberanian menyusun fikiran dengan tenang, walaupun jawapan yang muncul tidak semestinya yang paling mudah untuk diterima.

Apa Yang Boleh Kita Ambil Daripada Bab Ini

Berfikir dengan jelas sebelum membuat keputusan penting bukan soal menjadi orang yang paling pintar. Ia lebih dekat kepada disiplin menyusun fikiran mengikut urutan yang betul.

Kita perlu tahu beza antara sekadar memilih dengan benar-benar membuat keputusan. Kita perlu berani mendefinisikan masalah dengan tepat.

Kita perlu meluaskan pilihan supaya tidak menjadi tawanan kepada bingkai yang sempit. Kita perlu menilai dengan ukuran yang jelas.

Dan akhirnya, kita perlu cukup jujur untuk bertindak apabila masa untuk bertindak memang sudah tiba.

Apabila proses ini dijaga, hidup tidak semestinya terus menjadi mudah. Tetapi hidup menjadi kurang kusut.

Kita tidak lagi terlalu kerap membazir tenaga membaiki kerosakan yang lahir daripada tindakan tergesa-gesa. Kita juga tidak terlalu mudah dipaksa oleh keadaan, kerana kita belajar melihat sebelum melangkah.

Keputusan yang baik tidak menjamin hidup tanpa masalah. Tetapi keputusan yang dibuat dengan lebih jelas selalunya meletakkan kita pada posisi yang lebih baik untuk menghadapi apa sahaja yang datang selepas itu.

Dan walaupun proses membuat keputusan ini penting, ada satu hakikat yang tidak boleh kita lupakan. Masa depan tetap mengandungi perkara yang kita tidak nampak dan tidak mampu kawal sepenuhnya.

Sebab itu, selepas ini kita perlu melihat satu lagi sisi yang sangat penting, iaitu bagaimana membina ruang selamat apabila realiti tidak berjalan seperti yang kita jangka.[6]

Nota Kaki

Nota kaki berikut menghuraikan latar konsep dan rujukan yang menjadi asas kepada perbincangan dalam artikel ini, untuk pembaca yang ingin mendalami lebih lanjut.

  1. Dalam bahagian keputusan buku ini, Parrish membezakan antara choice dan decision. Tidak semua pilihan memerlukan pertimbangan yang sama, tetapi keputusan yang benar-benar penting menuntut kesedaran, timbang tara, dan penghakiman yang sengaja dilakukan. Perbezaan inilah yang menjadikan Part 4 sangat praktikal, kerana fokusnya bukan sekadar memilih, tetapi memilih dengan cara yang lebih baik. ↩︎
  2. Parrish menegaskan bahawa langkah paling kritikal dalam membuat keputusan ialah mendapatkan masalah yang betul. Cara kita mentakrifkan masalah akan membentuk perspektif semua orang dan akhirnya menentukan jenis penyelesaian yang muncul. Sebab itu beliau menekankan dua prinsip penting, iaitu ambil tanggungjawab untuk mentakrifkan masalah sendiri, dan cari punca akar, bukan sekadar merawat simptom yang kelihatan di permukaan. ↩︎
  3. Dalam bab Explore Possible Solutions, Parrish menunjukkan bahawa orang sering terlalu cepat bergerak daripada masalah kepada jawapan. Beliau menggalakkan kita membuka ruang untuk kemungkinan lain, termasuk membayangkan bagaimana sesuatu pilihan boleh gagal sebelum kita terlalu jatuh hati kepadanya. Nilai bahagian ini terletak pada keberaniannya memecahkan bingkai sempit yang membuat kita rasa seolah-olah hanya ada dua jalan di depan mata. ↩︎
  4. Dalam bab Evaluate the Options, penekanannya bukan pada mencari pilihan yang nampak paling canggih, tetapi pada membina ukuran yang jelas. Pilihan hanya boleh dinilai dengan baik jika kita benar-benar tahu apa yang paling penting, apakah maklumat yang relevan, dan sumber mana yang paling dekat dengan realiti sebenar. Tanpa ukuran yang jelas, keputusan mudah hanyut kepada rasa semasa atau pandangan yang paling lantang. ↩︎
  5. Dalam bab Do It!, Parrish membezakan keputusan berdasarkan dua perkara: sejauh mana kesannya besar, dan sejauh mana ia boleh dibatalkan semula. Daripada sini lahir satu disiplin penting, iaitu jangan lambat pada keputusan kecil yang murah untuk dibetulkan, tetapi jangan pula gopoh pada keputusan besar yang mahal jika tersilap. Kematangan dalam membuat keputusan banyak bergantung pada kebolehan membezakan dua jenis keputusan ini. ↩︎
  6. Bahagian selepas ini dalam buku bergerak kepada konsep margin of safety, iaitu ruang keselamatan yang dibina untuk menyerap gangguan, ralat, dan masa depan yang tidak berjalan seperti jangkaan kita. Ini penting kerana keputusan yang baik bukan hanya soal memilih jalan yang kelihatan betul hari ini, tetapi juga soal bersedia apabila esok tidak menjadi seperti yang kita rancang. ↩︎

Leave a Comment