Salah satu perkara yang paling mengecewakan bagi seorang pemancing adalah kehilangan ikan akibat kegagalan mata kail.
Mengapa mata kail boleh patah dan bengkok?
Dan adakah kaedah atau teknik yang boleh dibuat untuk untuk mengurangkan kejadian kegagalan mata kail?
Selain daripada kecacatan logam, dua sebab utama kegagalan mata kail adalah disebabkan oleh tekanan berlebihan dan akibat stress corrossion cracking1 (bahasa mudahnya; Hakisan)
Untuk memahami istilah-istilah ini dan kepentingannya, adalah penting untuk terlebih dahulu memahami bagaimana mata kail dihasikan.
Setiap pengeluar mata kail mempunyai kaedah penghasilan tersendiri dan rahsia pembuatan ini jarang didedahkan.
Namun, proses ASAS untuk pembuatan mata kail adalah seperti berikut:
Menajamkan dawai logam untuk membentuk mata tajam
⇓
Potong untuk membentuk barb
⇓
Melenturkan wayar logam dengan mandrel
⇓
Potong wayar ke panjang yang dikehendaki
⇓
Bentuk tempat ikatan dengan melenturkan wayar dengan mandrel
⇓
Proses Pemanasan (annealing)
⇓
Proses Penyejukan (quenching)
⇓
Proses Tempaan
⇓
Menyadur mata kail
⇓
Menajamkan mata kali untuk kali kedua
Dalam proses pembentukan mata kail, dawai logam akan dibentuk menggunakan kaedah tekanan (stress) dan ketegangan (strain)
Akibatnya, struktur kristal logam berubah menjadi lebih kuat.
Setelah mata kail terbentuk, ia kemudian dipanaskan (annealing), dan disejukkan dengan pantas (quenching).
Ia kemudian menjalani proses tempaan lanjut untuk menguatkan ia dan menjadikan ia lebih tahan terhadap tekanan.
Tempaan adalah teknik pemanasan terkawal yang digunakan selepas mata kail disejukkan untuk membuatkan mata kail lebih tegar dengan mengurangkan kekerasan aloi.
Tujuan mengurangkan kekerasan adalah bertujuan untuk menjadikan logam tersebut tidak atau kurang rapuh (brittle)
Kawalan masa dan suhu yang tepat semasa proses tempaan adalah penting untuk mencapai sifat fizikal yang dikehendaki.
Suhu tempaan rendah hanya mungkin melepaskan tekanan dalaman (internal stress), mengurangkan kerapuhan sambil mengekalkan majoriti sifat keras logam.
Suhu tempaan yang lebih tinggi pula cenderung untuk mengurangkan lebih banyak sifat keras logam, mengorbankan beberapa ciri lain dan kekuatan tegangan (tensile strength) untuk meningkatkan keanjalan (elastik dan fleksible)
Hasilnya mata kail tidak rapuh (tidak mudah patah)
Setiap pengeluar akan menetapkan kriteria yang optimum bagi menentukan ciri-ciri mata kail dan mengawal proses pengeluaran ini dengan ketat agar mencapai hasil yang ditetapkan secara konsisten.
Jika kawalan proses tidak cukup ketat, maka mata kail boleh terbuka dengan mudah atau terlalu rapuh dan patah di bawah tekanan.
Mata kail ini diberi saduran (coating) selepas penyejukan dan mata kail ini juga mungkin diasah secara kimia.
Kadang-kadang, mata kail boleh menjadi lemah jika ia disejukkan terlalu cepat atau terlebih haba digunakan semasa proses tempaan (atau semasa proses coating).
Kita boleh mengetahui perkara ini bila mata kail sangat rapuh dan mudah patah apabila mata kail cuba dipulas ke ke luar.
Sebaik sahaja mata kail dibentuk, dipanaskan dan disejukkan: – struktur kristal logam mata kail menjadi akan menjadi tetap.
Jika mata kail dikenakan tekanan berlebihan, ia akan menyebabkan struktur kekisi kristal logam pecah.
Ini berlaku apabila hujung mata kail (hook point) berulang kali dipaksa menjauhi batang mata kail (hook shank), sama ada semasa pertarungan dengan ikan atau apabila gewang tersangkut pada reba dan pemancing menarik tali dengan kasar untuk membebaskannya.
Contoh paling mudah untuk fahami adalah cuba kita kita meluruskan klip kertas secara berulang-ulang.
Semakin banyak ‘kerja’ kita lakukan pada logam klip kertas itu, ia akan menjadi semakin rapuh.
Lama-kelamaan ia akan terlalu rapuh dan seterusnya patah.
Inilah yang berlaku pada mata kail kita bila kita bertarung dan mendaratkan ikan yang kuat dan besar secara berturut-turut menggunakan mata kail yang sama (atau gewang kita asyik tersangkut berulang kali)
Nasihat saya ialah sentiasalah menggantikan mata kail yang bengkok atau telah rosak.
Lupakan keinginan untuk memperbetulkan mata kail yang telah bengkok dengan playar jika kita betul-betul serius mengejar rekod.
Stress corrosion cracking adalah istilah yang menggambarkan pembentukan keretakan mikroskopik dalam logam dalam persekitaran yang menghakis.
Sebaik sahaja retakan tersebut terbentuk, kerosakan tersebut akan tersebar dengan cepat.
Dan dalam persekitaran yang sedikit menghakis, mata kail akan mudah gagal di bawah sedikit beban.
Perkara yang menakutkan mengenai stress corrosion cracking ini adalah:
– Mata kail itu boleh kelihatan berkilat dan baru namun realitinya dipenuhi oleh retakan-retakan mikroskopik.
Terdapat tiga faktor utama yang terlibat dalam stress corrosion cracking iaitu: –
- Bahan mudah terhakis
- Pendedahan kepada persekitaran yang menghakis (air masin)
- Mengenakan tekanan tegangan melebihi had
Jika mana-mana salah satu daripada faktor-faktor ini dapat disingkirkan, maka stress corrosion cracking menjadi mustahil.
Salah satu perkara yang paling mudah dilakukan untuk mengurangkan peluang stress corrosion cracking ialah dengan merendam mata kail dalam air sabun yang suam selepas setiap pulang dari trip dan mengeringkannya sebelum menyimpannya.
Jangan simpan mata kail dalam keadaan lembap, walaupun ia hanya digunakan di dalam air tawar.
Menyimpan mata kail atau gewang dalam keadaan lembab akan meningkatkan kemungkinan kegagalan mata kail dikemudian hari.
Perkara kedua yang perlu dilakukan adalah jangan menggunakan mata kail yang telah bengkok dari alignment asal.
Dalam imej di atas menunjukkan mata kail telah lurus dari bentuk asal
Memang kita rasa mata kail ini boleh dikembalikan ke bentuk asal menggunakan playar, tetapi itu adalah satu kesilapan.
Tekanan tegangan yang cukup kuat telah meluruskannya dan retakan mikroskopik mungkin telah terbentuk pada mata kail.
Apabila mata kail ini sekali lagi digunakan dalam persekitaran yang mengakis, akhirnya ia pasti akan gagal.
PERKARA YANG BOLEH DILAKUKAN UNTUK MENGURANGKAN KEGAGALAN MATA KAIL
Mata kail yang dibuat dengan logam nipis lebih cenderung untuk gagal dalam tekanan tinggi, jadi perkara yang logik dilakukan untuk mengurangkan kegagalan adalah dengan meningkatkan diameter logam.
Walau bagaimanapun, ini akan menambah berat mata kail dan ini akan menjejaskan persembahan renangan gewang.
Satu lagi perkara yang perlu kita dipertimbangkan adalah semakin tebal mata kail, maka semakin sukarlah ia untuk menembusi rahang ikan.
Untuk pemahaman mudah:
Jika diameter logam mata kail diganda dua, maka ia akan memerlukan empat kali lebih banyak daya untuk membuat penembusan pada titik yang sama.
Salah satu perkara yang biasa dilakukan untuk mengurangkan kegagalan mata kail pada gewang adalah dengan menggunakan dua split ring atau menggunakan kombinasi split ring dan swivel.
Menggunakan dua split ring pada mata tiga (treble hook) akan membolehkan mata kail berputar 360 darjah dan mengurangkan risiko ia terpulas.
Ini boleh mengurangkan tenaga tuilan (leverage power) yang dikenakan ikan terhadap mata kail semasa ia menggoncang kepalanya atau melompat.
Secara tidak langsung ia akan mengurangkan tekanan terhadap mata kail.
Ini penting apabila melawan pemangsa seperti Siakap.
Prinsip yang sama berlaku apabila swivel digunakan dengan kombinasi spit ring.
Ia bukan sahaja akan melindungi mata kail, tetapi ia akan mengurangkan kemungkinan mata kail terbuka atau terpulas semasa perlawanan.
Apabila memilih split ring sentiasa pastikan yang berkualiti tinggi, yang diperbuat daripada dawai terbaik dan catatkan nilai breaking strain yang dapat ditanggung.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, membersihkan gewang didalam air sabun yang suam dan mengeringkannya setiap kali pulang dari trip memancing di air masin adalah sangat penting untuk mengurangkan risiko stress corrosion cracking.
Menjadi amalan yang baik untuk TIDAK MENCAMPURKAN gewang yang telah digunakan dengan gewang lain dalam kotak yang sama.
Gewang yang basah pasti akan menjejaskan mata kail pada gewang lain jika dicampur aduk.
Menggunakan perambut kejutan yang lebih panjang, turunkan hujung rod apabila ikan melompat dan melonggarkan tekanan drag akan membantu mengurangkan risiko mata kail terpulas dan terbuka.
Selain itu, kita boleh gunakan hook cover sebagai langkah perlindungan tambahan kepada mata kail gewang kita.
Semoga perkongsian memberi manfaat!
Tinggalkan Komen Anda..