5 Sebab Utama Mengapa Gewang Beraksi Cacat Dan Tidak Cantik

gewang beraksi cacatPernahkah kita berasa kecewa apabila:

— gewang yang dilontar dengan penuh harapan, kembali kepada kita dengan renangan yang cacat?

Renangan gewang beraksi cacat bukan sahaja tidak menjerat ikan, malah mungkin menakutkan ikan-ikan di kawasan itu.

Mengapa perkara ini boleh terjadi?

Sebab Gewang Beraksi Cacat

Selalunya, kita semua lebih mementingkan komponen lain seperti rod dan reel berbanding item yang paling penting, iaitu gewang itu sendiri.

Dalam dunia mengilat, aksi renangan gewang-lah yang memberi impak terhadap kejayaan menggoda ikan.

Kebanyakkan gewang pada hari ini telah di fine-tuned dengan sempurna sejak dari kilang.

Namun masalahnya, apabila kita melakukan sedikit pengubahsuaian ia selalunya akan menjejaskan keseimbangan dan mencacatkan aksi renangan gewang tersebut.

Mari kita lihat lima faktor utama yang paling biasa menyebabkan gewang beraksi cacat:

1. Diameter Perambut

Ini adalah faktor yang paling utama.

Peningkatan diameter perambut akan menjejaskan keseimbangan gewang kerana ia mempengaruhi kadar tenggelam dan tahap kedalaman selaman gewang.

Semakin besar diameter perambut yang digunakan, semakin sukar gewang untuk mencapai tahap selaman yang disasarkan.

Ini kerana diameter perambut yang besar akan menambah lebih rintangan air.

Gewang akan mengambil masa yang lebih lama untuk mencapai kedalaman yang diperlukan sama ada secara trolling, karauan atau hanya dibiarkan tenggelam.

Bergantung pada jenis umpan, penambahan 30lb saiz perambut boleh menjejaskan kadar selaman gewang sehingga 5 saat, terutamanya dalam air yang mengalir.


2. Panjang Perambut

Walaupun diameter perambut lebih memberi kesan, namun panjang perambut juga turut mempengaruhi.

Maklumat ini berguna apabila kita cuba mensasarkan gewang kita menyelam ke dasar yang dalam di dalam arus yang laju, tanpa perlu mengurangkan saiz diameter perambut.

Kaedahnya adalah dengan memendekkan perambut tersebut.

Sebaliknya, perambut yang lebih panjang akan memberi kelebihan apabila kita ingin mengekalkan gewang kita diatas struktur bawah air.

Kuncinya adalah: 

— Perambut pendek mengurang daya seretan air (rintangan) dan membenarkan gewang menyelam lebih dalam.


3. Saiz Mata Kali & Split Ring

Menukar mata kail dan split yang lebih besar akan menambah berat dan lebih rintangan air kepada gewang.

Ini pasti akan memberi kesan terhadap aksi renangan semulajadi gewang itu.

Setiap kali membuat penukaran mata kail, pastikan kita menguji terlebih dahulu aksi renangan gewang tersebut.

Aksi gewang seharusnya tidak terjejas, atau sekurang-kurangnya masih boleh beraksi dengan baik.

Memasang mata kail terlalu besar ibarat memasang tayar super bike pada motor EX5.

Disinilah kita perlu menggunakan pertimbangan akal dalam menentukan mata kail dan split ring yang sesuai.


4. Jenis Perambut – Mono vs Fluorocarbon

Jenis tali perambut akan memberi kesan ketara terhadap kedalaman selaman gewang kita di dalam air.

Sebagai contoh, sifat fluorocarbon yang berketumpatan tinggi akan membuatkan gewang tenggelam lebih cepat dan kekal pada kedalaman tersebut lebih lama.

Sebaliknya, disebabkan oleh sifat terapung perambut monofilament, terutamanya yang diameter yang lebih besar, ia menyebabkan gewang sukar mencapai kedalaman yang dikehendaki.

Oleh itu, tali mono lebih sesuai untuk digunakan dengan gewang permukaan air kerana sifatnya yang terapung.

Nota:

Bacaan lanjut mengenai sifat-sifat dan berbezaan setiap jenis perambut boleh dirujuk pada artikel ini: Memilih Tali Pancing Terbaik: Braid VS Mono VS Fluorocarbon


5. Lubang Ikatan Bengkok

gewang abu garcia tormentor

Dengan berlalunya masa, pasti gewang kita akan mengalami kerosakan setelah bertahun-tahun berkhidmat.

Kerosakan-kerosakan ini lazimnya berlaku apabila kita gewang terhempas pada batu, tarikan kuat semasa gewang tersangkut atau akibat digigit ikan.

Salah satu tempat yang sering berlaku kerosakan adalah pada bahagian lubang ikatan gewang.

Bahagian ini mungkin bengkok dan terpulas ke kiri atau ke kanan.

Dan selalunya kerosakan pada bahagian ini akan menyebabkan gewang berenang cacat, senget dan tidak betul.

Namun kita boleh memperbaiki kerosakan ini dengan playar atau alat khas (lure tuner) dan menguji aksi renangan gewang itu sehingga ia kembali beraksi normal.

 

Penutup

Dalam dunia mengilat, perkara yang paling penting adalah aksi gewang itu sendiri.

Tiada guna jika kita memiliki joran dan reel tercanggih, tetapi gewang kita tidak mampu beraksi cantik untuk menggoda ikan.

Sebab itu penting untuk kita mengambil tahu beberapa perkara yang mungkin menjejaskan aksi gewang dan membuat memperbaiki kesilapan tersebut.

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Discover more from Inchenaim

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading