Feel-Good Productivity Bab 6: Mengatasi Inersia (Get Started)

Feel-Good Productivity Bab 6: Mengatasi Inersia Untuk Mula Bergerak (Get Started)

Pernahkah kita duduk di hadapan senarai tugas yang panjang, tahu ada perkara penting yang perlu dilakukan, tetapi tubuh terasa berat dan fikiran seolah-olah enggan bergerak? Kita mahu mula, tetapi langkah pertama itu terasa jauh lebih sukar daripada yang sepatutnya.

Pada saat seperti itu, ramai orang cepat menyalahkan diri sendiri. Kita fikir kita malas, tidak cukup berdisiplin, atau sekadar tidak serius terhadap hidup.

Namun, selalunya masalahnya bukan pada sikap.

Masalahnya ialah inersia.[1]

Dalam fizik, Hukum Gerakan Pertama Newton menjelaskan bahawa objek yang pegun akan terus pegun, dan objek yang bergerak akan terus bergerak, selagi tiada daya yang cukup untuk mengubah keadaannya.

Menariknya, hukum ini juga sangat dekat dengan kehidupan kita.

Apabila kita sedang tidak membuat apa-apa, sangat mudah untuk terus tidak membuat apa-apa. Tetapi apabila kita sudah mula bergerak, jauh lebih mudah untuk terus bergerak.

Itulah sebabnya langkah pertama hampir selalu terasa paling berat.

Masalahnya bukan semata-mata kerana tugas itu susah. Selalunya, ia kerana kita sedang berdiri di kaki sebuah bukit kecil yang perlu didaki terlebih dahulu sebelum kita dapat menikmati cerun menurun di sebelah sana.

Tenaga yang paling besar bukan digunakan untuk mengekalkan gerakan, tetapi untuk memulakan gerakan itu.

Jadi, persoalannya ialah: bagaimana kita mahu melepasi bonggol awal ini?

Dalam bab ini, jawapannya datang melalui tiga langkah utama: kurangkan geseran, ambil tindakan, dan belajar menyokong diri sendiri.

Nota Penulis

Tulisan ini lahir daripada kefahaman, pembelajaran, dan pengolahan saya terhadap Bab 6, “Get Started”, dalam buku Feel-Good Productivity karya Ali Abdaal.

Untuk gambaran yang lebih menyeluruh tentang buku ini, saya sudah himpunkan inti utamanya dalam tulisan Kena Gembira Dulu, Barulah Produktif! Ini Apa Saya Belajar Dari Buku Ali Abdaal.

Jika mahu membaca bahagian sebelumnya, saya sudah huraikan Bab 5 dalam tulisan Feel-Good Productivity Bab 5: Mencari Keberanian di Sebalik Ketakutan (Fear).

1. Kurangkan Geseran (Reduce Friction)

Kadangkala kita gagal bermula bukan kerana kerja itu terlalu besar, tetapi kerana terlalu banyak geseran kecil menghalang langkah pertama.

Geseran ini boleh datang daripada persekitaran. Ia juga boleh datang daripada emosi.

Kalau kita mahu mula bergerak, tugas pertama kita bukanlah memaksa diri sekuat mungkin. Tugas pertama kita ialah menjadikan permulaan itu lebih mudah.

Persekitaran kita sangat menentukan apa yang terasa mudah dan apa yang terasa berat.

Ramai orang terlalu bergantung pada motivasi, sedangkan suasana persekitaran selalunya jauh lebih berkuasa.

Apabila sesuatu tindakan baik dijadikan pilihan yang paling mudah, kita lebih cenderung melakukannya tanpa perlu berperang terlalu lama dengan diri sendiri.

Bayangkan kita mahu membaca buku sebelum tidur, tetapi telefon sentiasa berada di sisi bantal.

Dalam keadaan begitu, tindakan yang paling mudah ialah membuka telefon, bukan membaca.

Tetapi jika kita letakkan buku di atas bantal sejak pagi, dan telefon diletakkan jauh sedikit, pilihan default kita mula berubah.

Begitu juga jika kita mahu menulis. Jika laptop sudah terbuka dengan fail draf yang sedia menunggu, langkah untuk mula terasa lebih ringan.

Jika semuanya masih tertutup, berselerak, dan perlu disusun dahulu, otak akan rasa kerja itu lebih berat daripada yang sebenarnya.

Dalam erti kata lain, jangan hanya bergantung pada niat.

Ubah suasana di sekeliling kita supaya tindakan yang baik menjadi lebih mudah, dan tindakan yang tidak kita mahu menjadi sedikit lebih menyusahkan.[2]

Kadangkala perubahan kecil seperti mematikan notifikasi, membersihkan meja, membuka tab kerja lebih awal, atau meletakkan bahan yang diperlukan dalam jarak tangan sudah cukup untuk mengubah nada seluruh hari.

Namun, bukan persekitaran sahaja yang boleh menghalang kita. Kadangkala masalah sebenar datang daripada emosi yang berat dan sukar diterangkan.

Ada hari-hari tertentu apabila kita memang “tidak ada hati”.

Bukan takut. Bukan keliru. Cuma rasa malas dan berat yang tebal. Dalam bahasa mudah, kita memang tidak larat hendak melayan kerja itu.

Dalam keadaan seperti ini, salah satu kaedah paling berkesan ialah Peraturan Lima Minit (The Five-Minute Rule).[3]

Caranya mudah. Beritahu diri sendiri:

Aku hanya akan buat kerja ini selama lima minit sahaja. Selepas itu, aku boleh berhenti.

Kaedah ini berkesan kerana ia memintas ketakutan terhadap komitmen yang besar.

Selalunya, yang menakutkan kita bukan kerja itu sendiri, tetapi bayangan bahawa kita perlu duduk berjam-jam, menanggung beban itu lama-lama, dan memaksa diri sampai habis.

Tetapi lima minit terasa lebih kecil. Lebih tertanggung. Lebih boleh diterima.

Dan anehnya, selepas kita benar-benar mula, banyak kali kita akan sedar bahawa kerja itu tidaklah seteruk yang dibayangkan.

Momentum mula wujud. Fikiran mula masuk ke dalam tugas. Lima minit pertama itu menjadi jambatan kepada gerakan yang lebih panjang.

Cuma ada satu syarat penting: kita mesti benar-benar membenarkan diri berhenti selepas lima minit jika mahu.

Kalau tidak, otak kita akan tahu bahawa kita sedang menipunya.

Dan apabila itu berlaku, kaedah ini akan hilang magisnya.

2. Ambil Tindakan (Take Action)

Selepas kita mengurangkan geseran, langkah seterusnya ialah berhenti berfikir terlalu lama dan mula bergerak.

Ramai orang bukan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Mereka hanya tidak berjaya menukarkan niat besar kepada tindakan kecil yang cukup jelas untuk dimulakan sekarang juga.

Di sinilah pentingnya satu sikap yang sangat berguna: bias untuk bertindak.

Orang yang produktif bukan semestinya lebih bersemangat daripada orang lain. Tetapi mereka lebih cepat menukar idea kepada tindakan yang nyata.

Apabila kita melihat sesuatu projek secara keseluruhan, ia mudah terasa menakutkan.

“Tulis artikel.”

“Siapkan laporan.”

“Mulakan rutin senaman.”

“Susun semula kewangan.”

Semua ini kedengaran besar. Dan apabila sesuatu terasa terlalu besar, otak cenderung untuk melarikan diri.

Sebab itu, apabila kita rasa tersekat, jangan fikir tentang keseluruhan projek. Tanya sahaja satu soalan:

Apakah langkah tindakan seterusnya yang paling kecil dan paling jelas?[4]

Bukan “siapkan semuanya”.
Bukan “jadi hebat hari ini”.
Hanya langkah seterusnya.

Jika kita menangguh untuk bersenam, langkah seterusnya mungkin cuma memakai stoking dan kasut sukan.

Jika kita menangguh untuk menulis, langkah seterusnya mungkin cuma membuka fail dan menulis satu tajuk.

Jika kita menangguh untuk belajar, langkah seterusnya mungkin cuma membuka buku pada halaman yang betul.

Ini nampak terlalu kecil. Tetapi di situlah kekuatannya.

Apabila tugasan besar dipecahkan menjadi tindakan yang sangat kecil, kita memberi peluang kepada otak untuk berkata, “Yang ini aku boleh buat.”

Dan selalunya, itu sudah cukup untuk memecahkan inersia.

Satu lagi perkara yang sangat membantu ialah melihat bukti bahawa kita benar-benar sedang bergerak.

Otak manusia suka kepada kemajuan yang dapat dilihat. Bila kita nampak sesuatu bertambah sedikit demi sedikit, kita rasa apa yang dibuat itu bermakna. Kita rasa sayang untuk berhenti. Kita mula mahu teruskan.

Sebab itu, menjejak kemajuan ialah satu strategi yang sangat kuat.

Jika kita menulis, kita boleh catat jumlah perkataan. Jika kita bersenam, kita boleh catat sesi yang berjaya dilakukan. Jika kita belajar, kita boleh tandakan topik yang sudah selesai. Jika kita membina tabiat baru, kita boleh guna aplikasi yang mudah untuk melihat konsistensi.

Perkara ini bukan sekadar untuk mengukur prestasi. Ia juga memberi satu bentuk galakan psikologi.

Apabila kita melihat kemajuan secara visual, kita mendapat bukti bahawa kita tidak lagi statik. Kita sedang bergerak ke hadapan, walaupun sedikit.[5]

Dan kadangkala, sedikit kemajuan itu sudah cukup untuk menyelamatkan kita daripada rasa bahawa semuanya sia-sia.

Kemajuan yang kecil tetapi jelas sering lebih berguna daripada semangat besar yang hanya datang sekali-sekala.

3. Sokong Diri Sendiri (Support Yourself)

Ada satu kebenaran yang agak menyedihkan tentang produktiviti: memulakan sesuatu itu satu hal, tetapi mengekalkan momentum ialah hal yang lain.

Ramai orang berjaya bermula dengan baik. Mereka rasa bersemangat, bergerak laju, dan melihat harapan baru.

Tetapi selepas beberapa hari atau beberapa minggu, gerakan itu mula perlahan. Momentum mula menipis. Inersia datang semula, kali ini dalam bentuk yang lebih senyap.

Sebab itu, untuk jangka panjang, kita perlukan lebih daripada teknik permulaan. Kita perlu belajar menyokong diri sendiri.

Manusia jauh lebih mudah mula bergerak apabila mereka tidak bergerak seorang diri.

Ada sesuatu tentang kehadiran orang lain yang membuatkan tindakan terasa lebih ringan.

Kadangkala kerana kita rasa ditemani. Kadangkala kerana kita tidak mahu mengecewakan orang lain.

Kadangkala kerana kita tahu ada seseorang yang akan bertanya, dan itu sudah cukup untuk membuat kita tidak mahu culas.

Di sinilah datangnya idea rakan akauntabiliti.

Seorang rakan akauntabiliti bukan sekadar orang yang bertanya, “Dah siap ke belum?” Dia ialah seseorang yang membantu kita kekal berada pada landasan. Seseorang yang tahu apa yang kita sedang cuba lakukan, lalu bersetuju untuk menyemak kemajuan kita secara berkala.

  • Itu boleh jadi rakan yang sama-sama mahu bersenam.
  • Boleh jadi sahabat yang juga sedang menulis.
  • Boleh jadi rakan sekerja yang sama-sama mahu lebih konsisten.
  • Boleh jadi sesi semak mingguan yang ringkas, mesej harian yang pendek, atau pertemuan berkala yang sederhana.

Yang penting bukan bentuknya, tetapi konsistensinya.

Apabila kita tahu ada orang lain yang sedang menunggu perkembangan kita, inersia menjadi sedikit lebih mudah ditolak.

Bukan kerana kita tiba-tiba menjadi rajin, tetapi kerana rasa tanggungjawab sosial mula bekerja bagi pihak kita.

Ini mungkin bahagian yang paling sukar diterima, tetapi juga antara yang paling penting.

Ramai orang menyangka cara terbaik untuk menjadi produktif ialah dengan lebih keras terhadap diri sendiri. Mereka fikir rasa bersalah akan menyedarkan mereka. Mereka fikir memarahi diri sendiri akan membuatkan mereka berubah.

Namun, dalam banyak keadaan, ia hanya membuat keadaan menjadi lebih teruk.

Apabila kita gagal bermula atau terlepas sasaran, kita mula menyeksa diri sendiri dengan label yang berat:

“Aku memang pemalas.”
“Aku tak pernah konsisten.”
“Aku memang tak boleh diharap.”

Masalahnya, rasa malu dan benci terhadap diri sendiri memakan tenaga mental. Ia tidak memberi dorongan untuk bangun semula.

Sebaliknya, ia membuat kita lebih lemah, lebih murung, dan lebih sukar untuk mula lagi esok.

Sebab itu, memaafkan diri sendiri bukan kelemahan. Ia ialah strategi untuk memutuskan kitaran itu.[6]

Apabila kita mengakui bahawa hari ini tidak menjadi, tetapi tidak terus menghukum diri secara berlebihan, kita memberi peluang kepada diri untuk bermula semula dengan hati yang lebih ringan.

Satu cara yang sangat membantu ialah kaedah Cari Kemenangan (Find the Win).

Caranya mudah:
jika hari ini sesuatu tidak menjadi, cari satu perkara lain yang tetap bernilai.

Contohnya:

“Aku tak sempat siapkan artikel hari ini, tetapi aku sempat duduk dan mendengar pasangan aku dengan betul.”

“Aku tak jadi bersenam pagi ini, tetapi aku berjaya tidur lebih cukup dan bangun dengan badan yang lebih segar.”

“Aku tak habis semak semuanya hari ini, tetapi aku berjaya menyusun ruang kerja supaya esok lebih mudah untuk mula.”

Kaedah ini tidak menafikan kegagalan. Ia cuma mengingatkan kita bahawa satu hari yang tidak sempurna masih boleh mengandungi sesuatu yang baik.

Dan kadangkala, itulah yang kita perlukan untuk menyambung semula gerakan esok pagi.

Kesimpulan

Inersia tidak memilih mangsa. Ia datang kepada semua orang, termasuk mereka yang kelihatan paling rajin dan paling berjaya.

Masalahnya bukan kerana kita tidak cukup kuat. Masalahnya ialah langkah pertama memang memerlukan lebih banyak tenaga daripada yang kita sangka.

Sebab itu, rahsia untuk mula bergerak bukan semata-mata bergantung pada kemahuan yang keras. Ia terletak pada kebijaksanaan kita mengurus permulaan.

Licinkan persekitaran, kecilkan komitmen awal, tentukan langkah seterusnya, jejaki kemajuan dan cari sokongan.

Dan apabila tersungkur, maafkan diri sendiri dan mula lagi.

Kerana pada akhirnya, sebaik sahaja kita berjaya melepasi bonggol pertama itu, segala-galanya akan terasa lebih ringan.

Yang paling sukar selalunya bukan kerja itu sendiri.

Yang paling sukar ialah bermula.

Nota Kaki

  1. Dalam bab ini, inersia dihuraikan sebagai blocker ketiga selepas uncertainty dan fear. Berpijak pada Hukum Gerakan Pertama Newton, bab ini menegaskan bahawa memulakan gerakan memang memerlukan lebih banyak tenaga berbanding mengekalkannya. ↩︎
  2. Bahagian ini dibina daripada idea mengurangkan environmental friction. Dalam buku, Ali membawa contoh kajian troli pasar raya di Belanda dan contoh gitar yang diletakkan di ruang tamu untuk menunjukkan bahawa pilihan lalai (default choices) boleh direka supaya tindakan yang baik menjadi lebih mudah. ↩︎
  3. The Five-Minute Rule dihuraikan sebagai kaedah memulakan tugas dengan komitmen yang sangat kecil. Bab ini menegaskan bahawa kaedah itu hanya berkesan jika kita benar-benar membenarkan diri berhenti selepas lima minit; kalau tidak, otak akan tahu bahawa kita sedang menipunya. ↩︎
  4. Bahagian ini berpijak pada saranan Tim Pychyl, yang menjawab penangguhan dengan satu soalan mudah: “What’s the next action step?” Dalam buku, Ali menunjukkan bahawa fokus pada langkah kecil yang jelas membantu menukar niat yang abstrak kepada tindakan yang boleh dibuat sekarang juga. ↩︎
  5. Dalam bab ini, Ali membawa contoh Brandon Sanderson yang menjejak jumlah perkataan hariannya untuk mengekalkan momentum. Beliau juga menyebut meta-analisis tahun 2016 yang mendapati bahawa menjejak kemajuan meningkatkan kemungkinan seseorang benar-benar mencapai matlamatnya. ↩︎
  6. Bahagian ini merujuk kajian Michael Wohl terhadap pelajar universiti, yang mendapati bahawa self-forgiveness membantu mereka melepaskan rasa malu dan rasa bersalah selepas menangguh, lalu menjadikan mereka lebih produktif untuk tugas seterusnya. Dalam bab ini juga, Ali mengaitkannya dengan kaedah Find the Win, iaitu memilih untuk meraikan kemenangan kecil, bukan menumpukan sepenuhnya pada kegagalan. ↩︎

Leave a Comment