
Dalam dunia yang mengagungkan budaya hustle, kita sering diajar satu idea yang meyakinkan, tetapi sebenarnya merosakkan, iaitu jika kita tidak berasa penat, maknanya kita masih belum cukup berusaha. Lalu kita mula mengambil terlalu banyak tanggungjawab, mengisi jadual hingga padat, dan memaksa diri bergerak laju sepanjang masa.
Pada awalnya, semua ini kelihatan seperti semangat. Tetapi lama-kelamaan, ia bertukar menjadi keletihan yang senyap. Kita masih bekerja, tetapi hati mula lesu. Kita masih bergerak, tetapi jiwa mula berat.
Di sinilah banyak orang tersilap faham tentang burnout.
Kita membayangkannya sebagai sesuatu yang hanya berlaku kepada mereka yang bekerja terlalu keras dalam kerjaya yang sangat menekan. Padahal, burnout juga boleh datang apabila hidup mula terasa tidak tertanggung kerana kita sentiasa memecut, sentiasa berkata ya, dan sentiasa gagal memberi ruang kepada tenaga kita untuk pulih.[1]
Dalam bab ini, penyelesaiannya bukanlah bekerja dengan lebih agresif. Sebaliknya, ia datang melalui satu kebijaksanaan yang nampak berlawanan dengan arus semasa: lakukan lebih sedikit, supaya kita boleh capai lebih banyak.




