Feel-Good Productivity Bab 7: Memelihara Tenaga (Conserve)

Feel-Good Productivity Bab 7

Dalam dunia yang mengagungkan budaya hustle, kita sering diajar satu idea yang meyakinkan, tetapi sebenarnya merosakkan, iaitu jika kita tidak berasa penat, maknanya kita masih belum cukup berusaha. Lalu kita pun mula mengambil terlalu banyak tanggungjawab, mengisi jadual hingga padat, dan memaksa diri bergerak laju sepanjang masa..

Pada awalnya, semua ini kelihatan seperti semangat. Tetapi lama-kelamaan, ia bertukar menjadi keletihan yang senyap. Kita masih bekerja, tetapi hati mula lesu. Kita masih bergerak, tetapi jiwa mula berat.

Di sinilah banyak orang tersilap faham tentang burnout.

Kita membayangkannya sebagai sesuatu yang hanya berlaku kepada mereka yang bekerja terlalu keras dalam kerjaya yang sangat menekan.

Padahal, burnout juga boleh datang apabila hidup mula terasa tidak tertanggung kerana kita sentiasa memecut, sentiasa berkata ya, dan sentiasa gagal memberi ruang kepada tenaga kita untuk pulih.[1]

Dalam bab ini, penyelesaiannya bukanlah bekerja dengan lebih agresif.

Sebaliknya, ia datang melalui satu kebijaksanaan yang nampak berlawanan dengan arus semasa: lakukan lebih sedikit, supaya kita boleh capai lebih banyak.

Nota Penulis

Tulisan ini lahir daripada kefahaman, pembelajaran, dan pengolahan saya terhadap Bab 7, “Conserve”, dalam buku Feel-Good Productivity karya Ali Abdaal. Inti utama daripada bab tersebut saya susun semula dan saya huraikan kembali dalam bahasa yang lebih mudah difahami dan dihayati.

Untuk gambaran yang lebih menyeluruh tentang buku ini, saya sudah himpunkan inti utamanya dalam tulisan Kena Gembira Dulu, Barulah Produktif! Ini Apa Saya Belajar Dari Buku Ali Abdaal.

Jika mahu membaca bahagian sebelumnya, saya sudah huraikan Bab 6 dalam tulisan Feel-Good Productivity Bab 6: Mengatasi Inersia (Get Started).

Ali membawa satu contoh yang sangat menarik melalui LeBron James. Jika dilihat sekali imbas, kita mungkin menyangka pemain hebat sentiasa berlari dan memecut sepanjang permainan.

Tetapi LeBron tidak begitu. Sebahagian besar waktunya di gelanggang dihabiskan dengan berjalan, memerhati, membaca situasi, dan memelihara tenaga.

Dia tidak memecut pada setiap saat. Dia menyimpan tenaga untuk detik yang benar-benar memerlukannya.

Itulah pelajarannya. Produktiviti jangka panjang bukan tentang memaksa diri berlari sepanjang masa.

Ia tentang tahu bila perlu bergerak laju, bila perlu memperlahankan langkah, dan bila perlu berhenti seketika supaya kita masih punya tenaga untuk perkara yang benar-benar penting.

1. Lakukan Lebih Sedikit (Do Less)

Ramai orang menganggap produktiviti sebagai kebolehan berkata “ya” kepada semua peluang.

Namun, dalam realiti sebenar, produktiviti yang matang lebih banyak bergantung pada kebolehan berkata “tidak”.

Setiap kali kita menerima sesuatu yang kurang penting, kita sebenarnya sedang menolak sesuatu yang lebih utama.

Masalahnya, perkara yang kecil dan sederhana inilah yang paling mudah menyelinap masuk ke dalam hidup kita.

Ia tidak cukup besar untuk dianggap ancaman, tetapi cukup banyak untuk mencuri tenaga sedikit demi sedikit.

Tenaga kita tidak berbeza jauh daripada wang. Ia terhad, dan sebab itu ia perlu dilaburkan dengan bijak.

Salah satu cara paling berguna untuk melihat semula hidup kita ialah dengan membezakan antara dua jenis senarai.[2]

  • Yang pertama ialah senarai impian dan harapan, iaitu perkara-perkara yang ingin kita lakukan suatu hari nanti.
  • Yang kedua ialah senarai pelaburan aktif, iaitu perkara yang benar-benar sedang menerima masa, perhatian, dan tenaga kita sekarang.

Ramai orang mencampur adukkan kedua-duanya. Semua perkara terasa sama penting.

Semua projek mahu digerakkan serentak. Semua keinginan mahu diberi tempat dalam minggu yang sama.

Akhirnya, tenaga kita menjadi terlalu nipis. Kita tidak cukup hadir pada mana-mana satu perkara.

Sebab itu, pelaburan aktif perlu dihadkan. Bukan kerana kita tidak bercita-cita tinggi, tetapi kerana kita mahu cita-cita itu benar-benar bergerak.

Lebih baik beberapa perkara yang benar-benar hidup, daripada terlalu banyak perkara yang sekadar tergantung dalam kepala.

Jika kita terlalu banyak menyapu mentega pada terlalu banyak roti, akhirnya tiada satu pun yang terasa cukup.

Begitu juga dengan tenaga. Apabila ia tersebar ke terlalu banyak arah, hasilnya bukan kepelbagaian yang kaya, tetapi keletihan yang halus.

Berkata tidak bukan tindakan yang kasar. Dalam banyak keadaan, ia ialah bentuk penjagaan diri yang paling dewasa.

Masalahnya, ramai orang hanya melihat jadual masa depan dari kejauhan.

Bila ada undangan enam minggu lagi, kita rasa tentu nanti kita lapang. Bila ada projek baru bulan depan, kita rasa tentu nanti kita lebih bersedia.

Hakikatnya, hari esok sering tiba dengan kesibukan yang sama seperti hari ini. Inilah perangkap yang sangat mudah menjerat kita.

Sebab itu, satu penapis yang berguna ialah ini: jika sesuatu tawaran tidak membuat kita merasa “ya, ini memang aku mahu”, maka kemungkinan besar jawapan yang lebih sihat ialah “tidak”.[3]

Bukan semua peluang patut disambut. Bukan semua jemputan patut diterima. Bukan semua ruang yang terbuka perlu kita isi.

Ada kalanya, fokus yang sebenar datang apabila kita sanggup mengecewakan sedikit kehendak luar demi memelihara apa yang paling penting dalam hidup kita.

Dalam beberapa keadaan, keletihan seperti ini juga berkait dengan ketakutan untuk mengecewakan orang lain, sesuatu yang saya sentuh dalam tulisan Feel-Good Productivity Bab 5: Mencari Keberanian di Sebalik Ketakutan (Fear).

2. Tahan Gangguan (Resist Distraction)

Banyak tenaga kita sebenarnya tidak habis kerana kerja yang berat. Ia habis kerana gangguan yang berterusan.

Gangguan tidak semestinya besar. Kadangkala ia hanya bunyi notifikasi. Kadangkala hanya satu tab baru di browser.

Kadangkala hanya keinginan untuk “rehat sekejap” yang akhirnya membawa kita kepada dua puluh minit yang hilang tanpa sedar.

Masalahnya, setiap kali fokus kita bertukar, ada kos yang perlu dibayar.[4]

Fikiran perlu menyusun semula perhatian. Tenaga mental perlu dibakar semula untuk kembali masuk ke dalam kerja asal.

Apabila ini berlaku berulang kali, bukan sahaja kerja menjadi lambat, tetapi diri kita juga cepat penat.

Jika sebelum ini kita belajar mengurangkan geseran untuk memudahkan kerja baik, di sini logiknya diterbalikkan: tambah geseran pada gangguan.

Jangan jadikan gangguan terlalu mudah dicapai.

Jika media sosial sering mencuri perhatian, padamkan aplikasinya dari telefon semasa waktu bekerja.

Jika belum sanggup memadam, log keluar setiap kali selesai menggunakannya. Jika itu pun belum cukup, gunakan aplikasi blocker yang melambatkan akses beberapa saat.

Kadangkala, pause sepuluh saat sudah cukup untuk memecahkan impuls yang datang secara automatik.

Gangguan sering menang kerana ia terlalu dekat, terlalu pantas, dan terlalu mudah.

Maka penyelesaiannya juga mudah: jauhkan, lambatkan, dan susahkan sedikit laluan ke arahnya.

Walau bagaimanapun, kita perlu jujur: gangguan tidak akan pernah hilang sepenuhnya.

Akan ada hari kita tetap tersasar. Akan ada masa kita tetap tewas kepada rasa ingin memeriksa telefon, menatal sekejap, atau berhenti terlalu lama.

Bahaya sebenar bukanlah gangguan itu sendiri. Bahaya sebenar ialah apabila sekali tergelincir, kita terus menganggap seluruh hari sudah rosak.

Ini mentaliti yang sangat merugikan.

Jika kita terleka dua puluh minit di TikTok, itu bukan alasan untuk membuang seluruh hari.

Jika kita gagal fokus pada satu sesi kerja, itu bukan bukti bahawa kita memang tidak boleh berubah.

Yang penting bukan kesempurnaan, tetapi kebolehan untuk kembali ke landasan.

Dalam meditasi, apabila fikiran melayang, kita tidak diminta menghukum diri. Kita hanya diminta sedar, lalu kembali semula.

Produktiviti yang sihat juga begitu. Kita tidak perlu gagal dengan berputus asa. Kita hanya perlu membetulkan haluan dan mula lagi.

3. Ambil Lebih Banyak Rehat (Break More)

Dalam budaya kerja hari ini, rehat sering dilihat sebagai sesuatu yang hanya layak dinikmati selepas semua kerja selesai. Seolah-olah rehat itu hadiah. Seolah-olah ia perlu ditebus dengan keletihan.

Padahal, rehat bukan hadiah. Rehat ialah keperluan.

Kita sering lupa bahawa banyak kerja moden menuntut kawalan diri, fokus, dan tenaga kognitif yang tinggi.

Semakin lama kita bekerja tanpa henti, semakin menurun keupayaan kita untuk berfikir dengan baik, membuat keputusan yang jelas, dan menahan diri daripada kesilapan yang tidak perlu.

Kalau sesuatu itu penting, letakkan ia dalam kalendar.[5]

Prinsip ini bukan hanya untuk mesyuarat dan janji temu. Ia juga patut digunakan untuk rehat.

Jangan tunggu sehingga rasa penat menjadi terlalu kuat.

Jadualkan ruang berhenti lebih awal. Bangun dari kerusi. Jauhkan mata dari skrin. Beri otak peluang untuk menarik nafas.

Ada masa kita rasa, “Tak apa, aku teruskan dulu. Tengah ada momentum.”

Tetapi kadangkala momentum yang kita rasa itu sebenarnya cuma keletihan yang belum kita akui.

Rehat yang disengajakan tidak mematahkan produktiviti. Dalam banyak keadaan, ia menyelamatkannya.

Tidak semua gangguan itu merosakkan.

Ada gangguan yang bukan mencuri tenaga, tetapi memulangkannya.

Anak yang tiba-tiba datang memeluk kita ketika bekerja dari rumah. Rakan sekerja yang meletakkan secawan kopi di meja. Angin pagi yang masuk melalui tingkap. Satu perbualan ringkas yang menyentuh hati.

Thich Nhat Hanh pernah menggunakan idea awakening bell, iaitu loceng yang berbunyi dan mengajak seseorang berhenti sejenak, kembali hadir kepada saat itu, dan sedar bahawa hidup tidak boleh sentiasa dijalani dalam mod tergesa-gesa.[6]

Kita juga memerlukan “loceng” seperti itu.

Bukan semua gangguan mesti ditolak. Ada gangguan yang mengingatkan kita bahawa hidup ini lebih luas daripada senarai tugas.

Dan kadangkala, detik kecil yang nampak seperti sela itu sebenarnya yang memulihkan hati kita untuk terus bekerja dengan lebih baik selepas itu.

Kesimpulan

Produktiviti yang sihat bukanlah perlumbaan untuk melihat siapa yang paling penat. Ia ialah seni mengurus tenaga dengan lebih bijaksana.

Kita tidak perlu memecut sepanjang masa. Kita tidak perlu menerima semuanya. Kita tidak perlu membiarkan gangguan masuk sesuka hati. Dan kita tidak perlu menunggu rebah dahulu sebelum memberi diri sendiri hak untuk berehat.

Ada masanya kita perlu melakukan lebih sedikit supaya yang benar-benar penting boleh dilakukan dengan lebih baik.

Dalam jangka panjang, orang yang mampu bertahan bukan semestinya orang yang paling keras memaksa diri.

Selalunya, mereka ialah orang yang tahu bila perlu berkata tidak, bila perlu melindungi fokus, dan bila perlu memberi ruang kepada diri untuk pulih.

Kerana pada akhirnya, memelihara tenaga bukan tanda kita lemah.

Ia tanda kita mahu terus berjalan jauh.

Nota Kaki

  1. Dalam bahagian ini, burnout dihuraikan sebagai “occupational phenomenon” yang tidak semestinya bergantung pada jumlah jam bekerja semata-mata, tetapi pada bagaimana kerja itu mula terasa tidak tertanggung, tidak bermakna, dan melemahkan tenaga. Bab ini memfokuskan khusus kepada overexertion burnout, iaitu keletihan yang datang apabila kita melakukan terlalu banyak perkara, terlalu laju, tanpa cukup ruang untuk pulih. ↩︎
  2. Bahagian ini berpijak pada idea The Energy Investment Portfolio. Dalam buku, pembaca diajak membezakan antara senarai impian, harapan, dan cita-cita dengan senarai pelaburan aktif, iaitu projek yang benar-benar sedang menerima masa, perhatian, dan tenaga kita sekarang. ↩︎
  3. Di sini, bab ini menggunakan dua kerangka penting: prinsip Derek Sivers, “hell yeah or no”, dan konsep Juliet Funt tentang “six-week trap”, iaitu kecenderungan untuk berkata ya kepada sesuatu yang masih jauh di hadapan kerana kita menyangka masa depan akan jauh lebih lapang daripada realiti sebenar. ↩︎
  4. Bahagian ini merujuk dapatan bahawa manusia bukan sekadar lemah dalam multitasking, tetapi membayar kos apabila perhatian sentiasa bertukar. Dalam buku, Ali merujuk kajian Rachel Adler dan Raquel Benbunan-Fich tentang kesan multitasking terhadap prestasi. ↩︎
  5. Dalam bab ini, rehat dihuraikan bukan sebagai hadiah, tetapi sebagai keperluan. Ali merujuk kajian Tyler dan Burns tentang panjangnya rehat antara dua tugas yang memerlukan kawalan diri, serta dapatan Draugiem Group bahawa pekerja yang paling produktif sebenarnya mengambil masa rehat yang lebih banyak daripada yang disangka. ↩︎
  6. Bahagian ini dibina daripada idea Thich Nhat Hanh tentang “awakening bell”, yang mengajak seseorang berhenti seketika dan kembali hadir kepada saat semasa. Dalam bab ini, Ali menggunakannya untuk menjelaskan bahawa tidak semua gangguan merosakkan, sebahagiannya boleh memulangkan tenaga dan menyeimbangkan hidup. ↩︎

Leave a Comment