Feel-Good Productivity Bab 4: Menghalau Kabus Ketidakpastian (Uncertainty)

Feel-Good Productivity Bab 4: Menghalau Kabus Ketidakpastian (Uncertainty)

Berapa kali kita pernah duduk di hadapan skrin, tahu ada kerja penting yang perlu disiapkan, tetapi entah bagaimana tangan lebih rela membuka media sosial, memeriksa notifikasi, atau mencari kerja-kerja kecil yang tidak penting? Pada waktu seperti itu, kita mudah menuduh diri sendiri sebagai malas, lemah disiplin, atau tidak cukup bersemangat.

Namun, selalunya masalah sebenar bukan di situ.

Sering kali, kita menangguh bukan kerana kita tidak mahu bergerak, tetapi kerana kita tidak benar-benar jelas tentang apa yang perlu dibuat.

Ada sesuatu yang kabur di hadapan kita. Tugas itu wujud, tetapi bentuknya masih samar. Kita tahu ia penting, tetapi tidak tahu dari mana harus bermula.

Kita rasa tertekan, tetapi tidak tahu apa sebenarnya yang membuatkan kita kaku.

Inilah yang boleh disebut sebagai kabus ketidakpastian (the fog of uncertainty).[1]

Apabila kabus ini turun, otak kita mula melihat kerja sebagai sesuatu yang mengelirukan, berat, dan sukar ditembusi.

Lalu, seperti biasa, otak memilih jalan yang paling mudah untuk melindungi diri: mengelak, menangguh, dan menunda ke masa lain.

Bukan kerana kita jahat atau malas, tetapi kerana ketidakpastian menjadikan tindakan terasa menakutkan.

Sebab itu, untuk mengatasi tabiat menangguh, kita tidak boleh hanya bergantung pada motivasi semata-mata. Kita juga tidak boleh berharap bahawa disiplin yang lebih keras akan sentiasa menyelamatkan kita.

Kedua-duanya mungkin membantu buat seketika, tetapi jika punca sebenar masih kabur, kita akan kembali tersekat pada tempat yang sama.

Yang kita perlukan sebenarnya ialah sesuatu yang jelas.

Dalam bab ini, kejelasan itu datang melalui tiga soalan yang sangat penting: Mengapa? Apa? dan Bila?

Nota Penulis

Tulisan ini lahir daripada kefahaman, pembelajaran, dan pengolahan saya terhadap Bab 4, “Uncertainty”, dalam buku Feel-Good Productivity karya Ali Abdaal. Inti utama daripada bab tersebut saya susun semula dan saya huraikan kembali dalam bahasa yang lebih mudah difahami dan dihayati.

Untuk gambaran yang lebih menyeluruh tentang buku ini, saya sudah himpunkan inti utamanya dalam tulisan Kena Gembira Dulu, Barulah Produktif! Ini Apa Saya Belajar Dari Buku Ali Abdaal.

Jika mahu membaca bahagian sebelumnya, saya sudah huraikan Bab 3 dalam tulisan Feel-Good Productivity Bab 3: Manusia Sebagai Sumber Tenaga (People).

1. Tanya “Mengapa?” (Ask “Why?”)

Langkah pertama untuk menghalau kabus ialah mencari semula sebab yang paling dalam di sebalik sesuatu tugasan.

Ramai orang gagal bermula bukan kerana mereka tidak mampu, tetapi kerana mereka tidak benar-benar terhubung dengan tujuan kerja itu.

Mereka tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi mereka tidak cukup jelas mengapa ia penting.

Tanpa sebab yang kuat, tugas akan terasa seperti beban semata-mata. Dan apabila halangan kecil datang, semangat pun cepat patah.

Dalam dunia ketenteraan, ada satu idea yang sangat berguna: seorang askar bukan sekadar perlu tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi juga mengapa sesuatu misi itu penting.[2]

Sebabnya mudah. Dalam medan sebenar, rancangan sering berubah. Keadaan di lapangan jarang berjalan seperti yang digariskan di atas kertas.

Jika seseorang hanya tahu langkah teknikal, dia akan mudah buntu apabila keadaan berubah.

Tetapi jika dia benar-benar faham tujuan besar di sebalik misi itu, dia masih boleh menyesuaikan cara tanpa kehilangan arah.

Begitu juga dalam hidup kita.

Apabila kita faham tujuan besar sesuatu kerja, kita menjadi lebih tahan terhadap gangguan, perubahan, dan kegagalan kecil.

Kita tidak terlalu bergantung pada satu cara yang kaku. Kita tahu apa yang sedang diperjuangkan, lalu kita lebih mudah mencari jalan lain apabila jalan pertama tertutup.

Bayangkan seseorang sedang menulis artikel. Jika dia hanya berfikir, “Aku perlu siapkan artikel ini malam ini,” tugasan itu mudah terasa berat.

Tetapi jika dia sedar bahawa tulisan itu sebenarnya bertujuan mendidik, membantu, atau menerangkan sesuatu yang penting kepada pembaca, kerja itu mula terasa lebih bermakna.

Dan apabila ada halangan, dia tidak cepat mengalah. Dia akan mencari jalan lain untuk terus bergerak.

Kadangkala, tenaga untuk bertahan tidak datang daripada hal teknikal semata-mata. Ia datang daripada tahu tujuan sebenar.

Masalahnya, tujuan besar itu tidak selalu kelihatan dengan serta-merta. Kadangkala kita sendiri tidak jelas mengapa kita mahu melakukan sesuatu.

Sebab itu, kita perlu menggali lebih dalam.

Salah satu cara paling mudah ialah dengan bertanya “mengapa?” beberapa kali berturut-turut.[3]

Soalan pertama biasanya hanya memberi jawapan permukaan. Tetapi apabila kita terus bertanya, kita mula bergerak ke lapisan yang lebih dalam.

Sebagai contoh, seseorang berkata, “Aku mahu mulakan podcast.”

Mengapa?
“Mahu berkongsi ilmu.”

Mengapa mahu berkongsi ilmu?
“Sebab aku mahu bina kredibiliti.”

Mengapa kredibiliti itu penting?
“Sebab aku mahu orang lebih percaya pada apa yang aku tawarkan.”

Mengapa itu penting?
“Sebab aku mahu bina sesuatu yang benar-benar memberi nilai dan boleh menyara hidup aku.”

Apabila kita menggali begini, kita mula nampak sama ada sesuatu tugasan itu benar-benar bersambung dengan tujuan besar kita, atau hanya kerja sampingan yang nampak sibuk tetapi sebenarnya tidak begitu penting.

Kadangkala, selepas beberapa lapisan “mengapa”, kita sedar bahawa kerja yang sedang kita fikirkan itu sebenarnya tidak perlu pun dilakukan.

Dan itu sendiri ialah satu bentuk kejelasan.

2. Tanya “Apa?” (Ask “What?”)

Selepas kita jelas tentang mengapa sesuatu perlu dilakukan, kita masih belum selesai. Ramai orang tetap tersekat walaupun sudah ada tujuan yang baik.

Kenapa?

Kerana tujuan yang besar masih terlalu abstrak jika tidak diterjemah menjadi tindakan yang jelas.

Kita tahu apa yang kita mahu capai, tetapi kita tidak tahu langkah pertama. Kita tahu ia penting, tetapi kita tidak tahu bentuk kerja yang perlu dibuat sekarang.

Dalam keadaan seperti ini, otak tetap akan rasa terbeban. Tujuan ada, tetapi jalannya masih berkabus.

Jadi selepas bertanya “mengapa?”, kita perlu bertanya “apa sebenarnya yang perlu aku buat sekarang?”

Selama ini ramai orang dibesarkan dengan idea tentang matlamat SMART.

Ia berguna dalam banyak keadaan, tetapi ada satu masalah: kadangkala ia terlalu menekankan hasil akhir, lalu membuat kita cepat rasa tertekan.

Kita menjadi terlalu sibuk memikirkan destinasi sehingga hilang tenaga untuk memulakan perjalanan.

Dalam bab ini, alternatif yang dicadangkan ialah matlamat NICE — iaitu matlamat yang lebih mesra jiwa, lebih dekat dengan tindakan sebenar, dan lebih membantu ketika kita sedang tersekat.[4]

  • Near-term bermaksud dekat dan tidak terlalu jauh. Jangan fikir terlalu jauh ke depan jika itu hanya membuat kita cemas. Fokus pada apa yang boleh dibuat hari ini atau minggu ini.
  • Input-based bermaksud tumpukan perhatian kepada usaha yang boleh dibuat, bukan semata-mata hasil akhir. Daripada berkata, “Aku mesti siapkan semuanya hari ini,” lebih baik kita berkata, “Aku akan tulis 500 patah perkataan hari ini.”
  • Controllable bermaksud matlamat itu benar-benar berada dalam kawalan kita. Kita tidak boleh mengawal sama ada sesuatu video akan viral atau tidak. Tetapi kita boleh mengawal sama ada kita benar-benar menekan butang “publish”.
  • Energising pula bermaksud matlamat itu tidak membunuh jiwa kita. Kalau boleh, suntik sedikit unsur yang membuat proses itu terasa lebih ringan, lebih hidup, atau sekurang-kurangnya lebih tertanggung.

Apabila sesuatu tugasan dipecahkan seperti ini, ia mula berubah daripada sesuatu yang menakutkan kepada sesuatu yang boleh disentuh.

Dan apabila kerja menjadi lebih jelas, otak tidak lagi terlalu cenderung untuk melarikan diri daripadanya.

Walaupun kita sudah ada matlamat yang lebih jelas, satu masalah masih tinggal: kita sering terlalu optimistik tentang halangan.

Kita fikir kita akan mula esok. Kita rasa kita akan ada masa nanti. Kita yakin minggu depan akan lebih lapang. Tetapi apabila hari itu tiba, kita masih juga belum bergerak.

Sebab itu, sebelum kita bermula, ada baiknya kita berhenti sejenak dan bertanya: kalau seminggu dari sekarang aku masih juga belum mula, apa yang mungkin menjadi puncanya?

Inilah idea di sebalik Kaedah Bola Kristal, atau pre-mortem.[5]

Cuba bayangkan seolah-olah kegagalan itu sudah berlaku. Kemudian tanyakan kepada diri sendiri:

  • Apa tiga sebab utama mengapa aku masih belum mula?
  • Adakah kerana aku terlalu letih selepas kerja?
  • Adakah kerana telefon sentiasa berada di tangan?
  • Adakah kerana tugasan itu masih terlalu kabur?

Apabila kita meramalkan halangan dari awal, kita memberi peluang kepada diri sendiri untuk bersedia.

Kita bukan lagi menunggu masalah datang, tetapi menghadapinya sebelum ia sempat merosakkan momentum.

Contohnya, jika kita sedar TikTok ialah halangan utama, maka kita boleh letakkan telefon di bilik lain sebelum mula bekerja.

Jika kita tahu kita terlalu letih pada waktu malam, mungkin kita perlu buat kerja itu pada waktu pagi.

Jika kita tahu tugasan masih kabur, mungkin kita perlu pecahkannya lagi kepada langkah yang lebih kecil.

Kadangkala, keberanian untuk bermula lahir bukan kerana kita yakin semuanya akan berjalan lancar, tetapi kerana kita sudah pun bersedia menghadapi apa yang mungkin menghalang.

3. Tanya “Bila?” (Ask “When?”)

Ini ialah bahagian yang sering dipandang remeh, tetapi sebenarnya sangat penting.

Ramai orang sudah tahu mengapa sesuatu kerja itu penting. Mereka juga sudah agak jelas apa yang perlu dibuat.

Tetapi mereka masih belum bergerak kerana satu perkara: mereka tidak pernah benar-benar memutuskan bila kerja itu akan dilakukan.

Mereka berkata, “Nanti aku buat.”

Atau, “Kalau ada masa lapang aku mula.”

Masalahnya, masa lapang jarang datang dengan sendiri. Ia perlu dicipta.

Jika kita tidak memberi satu tugasan itu tempat yang jelas dalam hidup kita, besar kemungkinan tugasan itu akan terus tinggal sebagai niat yang baik, bukan tindakan yang nyata.

Salah satu cara paling berkesan untuk memastikan sesuatu kerja benar-benar berlaku ialah dengan menetapkan satu pencetus yang spesifik.

Dalam bentuk paling mudah, ia berbunyi begini:

Jika X berlaku, maka aku akan buat Y.

Ini dipanggil implementation intentions.[6]

Kaedah ini sangat berguna kerana ia mengurangkan keletihan membuat keputusan.

Kita tidak lagi perlu berunding dengan diri sendiri setiap kali mahu bermula. Keputusan itu sudah dibuat lebih awal.

Dan apabila pencetus itu datang, kita hanya perlu ikutinya.

Sebagai contoh:

  • “Selepas aku habiskan kopi pagi, aku akan buka draf artikel.”
  • “Atau, sebaik sahaja aku duduk di meja kerja, aku akan tulis selama sepuluh minit.”
  • “Atau, setiap kali selesai solat Isyak, aku akan semak satu bahagian tugasan.”

Apabila sesuatu tindakan diikat kepada rutin yang sedia ada, ia menjadi lebih mudah untuk berlaku.

Kita tidak lagi bergantung kepada semangat. Kita membina satu laluan automatik ke arah tindakan.

Dan itulah yang sering kita perlukan ketika motivasi sedang rendah.

Selepas itu, ada satu lagi kaedah yang nampak terlalu mudah, tetapi sebenarnya sangat berkuasa: letakkan kerja penting itu terus dalam kalendar.

Ramai orang menganggap kalendar hanya untuk mesyuarat, janji temu, atau urusan rasmi.

Sedangkan jika sesuatu kerja itu benar-benar penting, ia juga patut diberi rumah dalam jadual hidup kita.

Inilah maksud time blocking.[7]

Daripada hanya menyimpan kerja dalam kepala atau dalam senarai tugasan, kita menetapkan dengan jelas bila masa itu akan berlaku. Bukan secara kabur, tetapi secara nyata.

Contohnya, jam 9 hingga 10 pagi untuk menulis. Jam 8 hingga 8.30 malam untuk membaca dan menyusun nota. Jam 3 petang hingga 4 petang untuk menyiapkan laporan.

Ada orang berasa kaedah ini terlalu ketat. Mereka takut hidup menjadi terlalu tersusun. Tetapi sebenarnya, sedikit struktur sering memberi lebih banyak kebebasan, bukan kurang.

Apabila kita tahu masa kerja sudah tersedia, kita tidak lagi perlu membawa beban keputusan itu sepanjang hari.

Dan apabila masa rehat juga diberi tempat, hati menjadi lebih tenang kerana hidup tidak terasa seperti kerja semata-mata.

Kalau mahu bermula, tidak perlu terus terlalu besar. Cukup blok satu slot kecil untuk tugas yang paling selalu kita tangguh.

Kemudian, bila sudah biasa, kita boleh mula menyusun hari atau minggu dengan lebih terancang supaya kerja penting, keluarga, rehat, dan kehidupan peribadi semuanya mendapat tempat yang seimbang.

Kesimpulan

Tabiat menangguh kerja bukan semestinya tanda kita malas. Selalunya, ia adalah tanda bahawa ada sesuatu yang masih tidak jelas dalam kepala kita.

Kita tidak cukup jelas mengapa kerja itu penting. Kita tidak cukup jelas apa yang patut dilakukan. Dan kita tidak cukup jelas bila tindakan itu benar-benar akan berlaku.

Apabila tiga perkara ini tidak dijelaskan, otak kita melihat tugasan sebagai ancaman yang samar.

Lalu kita pun menangguh. Bukan kerana kita tidak peduli, tetapi kerana ketidakpastian membuatkan tindakan terasa berat.

Sebab itu, jalan keluar daripada penangguhan selalunya bukan dengan memarahi diri sendiri. Ia bermula dengan memberi kejelasan kepada diri sendiri.

  • Tanya semula: mengapa ini penting?
  • Tentukan dengan jujur: apa langkah kecil yang benar-benar perlu dibuat?
  • Dan putuskan dengan nyata: bila ia akan dilakukan?

Apabila kabus itu mula menipis, kita tidak lagi perlu memaksa diri terlalu keras. Kita hanya perlu melihat jalan di hadapan dengan lebih jelas.

Dan selalunya, apabila jalan itu sudah jelas, kaki akan lebih mudah melangkah.

Nota kaki

  1. Dalam bab ini, penangguhan dihuraikan sebagai kesan “fog of uncertainty”, iaitu keadaan apabila seseorang tidak benar-benar jelas apa yang perlu dilakukan. Abdaal mengaitkannya dengan fenomena yang disebut saintis sebagai uncertainty paralysis iaitu apabila ketidakpastian dan kerumitan membuat kita kaku untuk bertindak. ↩︎
  2. Bahagian ini berpijak pada konsep commander’s intent, iaitu kejelasan tentang tujuan, keadaan akhir yang diinginkan, dan tugas-tugas penting sesuatu misi. Abdaal menunjukkan bahawa apabila “why” jelas, seseorang lebih mudah menyesuaikan “how” apabila keadaan berubah. ↩︎
  3. Di sini, Abdaal menyesuaikan kaedah The Five Whys daripada Sakichi Toyoda. Dalam bentuk asalnya, kaedah ini digunakan untuk mencari punca sesuatu masalah; dalam bab ini, ia juga digunakan untuk menilai sama ada sesuatu tugasan benar-benar berbaloi dilakukan atau tidak. ↩︎
  4. NICE goals dihuraikan sebagai matlamat yang Near-term, Input-based, Controllable, dan Energising. Tujuannya ialah menggantikan matlamat yang terlalu tertumpu pada hasil akhir dengan matlamat yang lebih dekat, lebih realistik, dan lebih menghidupkan tenaga. ↩︎
  5. Kaedah ini dibina daripada idea pre-mortem atau prospective hindsight iaitu membayangkan seolah-olah kegagalan sudah berlaku, lalu mengenal pasti lebih awal apa yang mungkin menyebabkan kita gagal bermula. Dalam bab ini, Abdaal menerangkan bahawa cara ini membantu kita menjangka halangan dan bersedia menghadapinya sebelum momentum rosak. ↩︎
  6. Implementation intentions ialah pencetus tindakan dalam bentuk “Jika X berlaku, maka aku akan buat Y.” Abdaal merujuk kajian Peter Gollwitzer serta intervensi di Boston yang menunjukkan bahawa apabila seseorang menetapkan bila sesuatu akan dibuat, kemungkinan untuk mereka benar-benar melakukannya meningkat dengan ketara. ↩︎
  7. Time blocking dihuraikan sebagai meletakkan tugas yang penting terus ke dalam kalendar. Dalam bab ini, Abdaal menegaskan bahawa struktur bukan mengurangkan kebebasan, tetapi sebenarnya memberi lebih banyak kebebasan kerana hidup disusun mengikut keutamaan, bukan semata-mata reaksi terhadap apa yang datang. ↩︎

Leave a Comment