
Dalam setiap baris tulisan, sebuah titik selalunya menandakan satu pengakhiran.
Namun, dalam tatabahasa kehidupan, sebuah titik hanyalah tanda berhenti seketika sebelum kita memulakan perenggan yang baru.
Selagi nafas masih dipinjamkan, tidak ada akhir yang benar-benar muktamad di dunia ini.
Segala-galanya adalah sebuah kitaran yang berulang.
Seperti siang yang setia menyerahkan tugasnya kepada malam, hanya untuk kembali bersinar beberapa jam kemudian.
Kita sering menyangka bahawa perancangan yang rapi adalah jaminan kepada kejayaan.
Kita susun strategi, kita ambil kira setiap risiko, namun kegagalan tetap menerjah masuk tanpa mengetuk pintu. Ia datang tanpa amaran, merobek pelan yang telah kita atur dengan titisan peluh dan doa.
Adakah itu bermakna kita sudah sampai ke penghujung? Mungkin tidak.
Kegagalan selalunya muncul bukan untuk menghentikan langkah kita, tetapi untuk memberitahu bahawa jalan yang kita pilih itu mungkin mempunyai “tembok” yang tidak terlihat.
Apa yang boleh kita lakukan hanyalah mencuba yang terbaik, dan selebihnya, menerima bahawa kegagalan itu sendiri adalah sebahagian daripada proses pembentukan jiwa.
Kita mungkin sering mendengar bahawa sejarah adalah guru yang terbaik.
Benar, sejarah mengajar kita tentang siapa kita hari ini.
Namun, sekadar mengenang sejarah tanpa melakukan apa-apa tindakan adalah satu kerugian yang besar.
Apabila berdepan dengan kegagalan, seharusnya kita memilih untuk menjadi seperti pohon yang meluruhkan daunnya apabila tiba musimnya.
Perhatikan sebatang pohon.
Apabila musim luruh tiba, ia tidak berpaut mati-matian pada daun-daun yang sudah menguning. Ia tidak meratapi kehilangan kehijauannya.
Sebaliknya, ia membiarkan daun itu gugur satu demi satu ke bumi.
Mengapa? Kerana pohon itu tahu, untuk bertahan hidup dalam musim sejuk yang mencabar, ia perlu melepaskan beban yang lama.
Jika pohon itu berkeras untuk mengekalkan daun yang sudah mati, dahan-dahannya akan patah dihimpit salji.
Begitulah gambaran hati kita. Jika kita masih lagi duduk diam dan “berpegang” pada kegagalan masa lalu, penyesalan akan berkumpul di dalam hati, lalu menjadi beban yang melemahkan seluruh semangat kita untuk tumbuh semula.
Haruki Murakami pernah menulis tentang fasa “ribut” dalam hidup ini:
“Once the storm is over, you won’t remember how you made it through… But one thing is certain. When you come out of the storm, you won’t be the same person who walked in.”
Kita Bukanlah Batu..
Hanya batu sahaja yang duduk diam pada satu-satu tempat, membiarkan dirinya ditumbuhi lumut dan kekal statik walaupun dunia di sekelilingnya sudah berubah.
Kita manusia, tidak diciptakan sebegitu. Kita dikurniakan hati yang mampu merasa dan akal yang mampu mencari arah baru apabila satu jalan sudah tertutup.
Hidup ini terlalu panjang untuk kita tersekat dengan hanya satu pilihan sahaja.
Kegagalan yang kita hadapi hari ini mungkin adalah “titik” yang bakal menemukan kita dengan sesuatu yang lebih bermakna.
Mungkin Tuhan sengaja meluruhkan impian lama kita supaya ada ruang untuk impian yang lebih besar tumbuh di dahan yang sama.
Buya Hamka pernah berpesan dengan sangat tenang:
“Tugas kita bukanlah untuk berhasil. Tugas kita adalah untuk mencoba, kerana di dalam mencoba itulah kita menemukan dan belajar membangun kesempatan untuk berhasil.”
Selagi masih ada hayat, selagi itulah ada harapan.
Jangan biarkan kegagalan semalam menjadi lumut yang mematikan gerak kerja kita hari ini.
Luruhkanlah penyesalan itu. Biarkan ia menjadi baja buat masa depan kita. Cari jalan lain, cari peluang lain, dan beranikan diri untuk melakukan sesuatu yang berbeza.
Kerana selagi kita tidak menjadi kaku seperti batu, kita akan sentiasa mempunyai peluang untuk kembali “berpucuk” dan berkembang.
Ingatlah, sebuah titik bukan selalunya sebuah penamat.
Kadangkala, ia adalah syarat utama untuk kita memulakan sebuah cerita yang jauh lebih hebat..
