Memahami & Mendalami Falsafah “Think Like A Fish”

think like a fishPernahkah anda terlihat atau terdengar tagline “Think Like a Fish”?

Seingat saya, kali pertama saya melihat perkataan “think like a fish” adalah pada paket pembungkusan produk jenama Storm pada beberapa tahun yang lepas.

Walaupun saya tidak ambil serius sangat pada waktu itu, namun ia sedikit sebanyak membuatkan hati saya terdetik – apakah yang dimaksudkan dengan “berfikir seperti ikan” itu.

  • Bagaimanakah berfikir cara ikan?
  • Bukankah mereka hanya haiwan yang mempunyai otak yang ringkas?

Persoalan-soalan ini agak memeningkan saya.

Memang sukar untuk faham tanpa contoh yang jelas.

Namun dengan berlalunya masa dan saya semakin meningkat dewasa..

… serta menghabiskan banyak masa dengan memancing, akhirnya saya rasa saya dapat “menangkap” apa maksud sebenar disebalik kata-kata hikmat ini.

Kemahiran Think Like A Fish

think like a fish
Tapah 53kg oleh Sifu Mart Det. Bukan senang untuk mencapai peringkat sebegini. Hanya mereka yang berpengalaman dan mahir saja dapat merealisasikan tangkapan sebegini.

Dua perkara yang membezakan pemancing mahir dengan yang lain adalah;

— mereka sering melakukan eksperimen dan pemerhatian.

Pertama, pemancing yang mahir tidak dapat menahan diri dari melakukan banyak kajian.

Sama ada melalui eksperimen di lapangan pancing atau dengan pembacaan, lalu menapis semua maklumat penting, dan kemudian mengubahsuai teknik mereka untuk meningkatkan kadar kejayaan.

Ia mungkin sekecil-kecil perkara yang membawa perbezaan (contohnya saiz mata kail, cara ikatan atau jenis tali perambut).

Dan perkara ini sentiasa diselaraskan semasa sesi memancing untuk mengimbangi perubahan keadaan.

Kedua, pemancing mahir sentiasa memerhati dan menyesuaikan diri dengan semua perkara yang berlaku disekitar dirinya.

Mereka akan mengubah tingkahlaku mereka berdasarkan apa yang mereka lihat dan mereka rasa, atau cuba mengatasi masalah yang timbul dalam suasana yang dinamik.

Saya akan memberi beberapa contoh untuk pemahaman yang lebih jelas berkaitan dengan falsafah “think like a fish”


1. Fahami Tabiat Pemburuan Ikan Pemangsa

Kebanyakan haiwan pemangsa lebih suka dengan kerja mudah.

Fenomena ini boleh diterangkan dari hubungkait antara penggunaan tenaga dan tenaga yang bakal diperolehi.

kegagalan mata kail

Jika penggunaan tenaga lebih besar diperlukan untuk mendapatkan makanan itu berbanding tenaga yang bakal diperolehi, ikan terutama ikan besar tidak akan mengejar mangsanya dengan serius.

Ikan pemangsa jarang menyerang ikan kecil yang telah mengesan kehadirannya, atau ikan kecil yang mengekalkan jarak tertentu dari pemangsa.

Pemburuan di habitat semulajadi bukanlah mudah, kebarangkalian untuk terlepas sia-sia adalah tinggi dan membazirkan banyak tenaga.

Oleh itu, ia tidak berbaloi dengan pelaburan tenaga yang bakal dilakukan.

Maka yang boleh kita lakukan dengan maklumat ini?

Cuba wujudkan suasana seolah-olah wujud makanan mudah buat ikan pemangsa.

Apa yang pemangsa suka serang ialah tiga perkara:

  • Aksi mangsa panik
  • Aksi mangsa cedera
  • Aksi di mana si mangsa tidak perasan kehadiran pemangsa.

Situasi-situasi ini adalah sasaran yang mudah bagi mereka.

Ikan pemangsa pasti tidak akan melepaskan peluang ini.


2. Ikan Pemangsa Suka Tempat Teduh & Gelap

kawasan teduh persembunyian ikan

Mengapa ikan suka berada di tempat teduh?

Banyak pemangsa menggunakan teduhan untuk mendapat kelebihan, kerana ikan di tempat teduh dapat melihat ikan yang berada dalam cahaya matahari kira-kira 2.5 kali lebih jauh.

Ia ibarat kita berada di dalam terowong yang gelap dan melihat ke tempat yang cerah.

Oleh itu ia menjadi kawasan strategik untuk ikan ‘skodeng’ mangsanya dan membuat serang hendap.

Prinsip utama dalam mencari spot ikan adalah:

Ikan akan selalu mencari tempat yang menawarkan perlindungan dan kawasan yang boleh memberikan sumber makanan.

Ini adalah sifat semulajadi semua haiwan.

Artikel lanjut mengenai topik ini: Kenapa Ikan Pemangsa Suka Menyerang Dari Kawasan Teduh?


3. Penyebab Ikan Menyerang Gewang

Apa yang menyebabkan ikan menyerang gewang walaupun rupanya seperti badut?

Malah gewang yang langsung tidak sama dengan apa-apa hidupan, juga tetap berkesan.

Contohnya spinnerbait dan buzzbait.

think like a fish

Ada tiga sebab ikan menyerang gewang, iaitu:

  1. Sebab ikan laparlah.
  2. Sebab reaksi ikan yang ingin mempertahankan wilayah
  3. Sebab ingin tahu (curiga).

Pernah dengar tentang ‘sindrom cat basah?’

Cuba anda gantungkan penanda ‘cat basah‘ pada sesuatu objek dan letakkan objek itu di tempat orang lalu lalang.

Kemudian perhatikan berapa ramai orang yang melalui kawasan itu akan cuba menyentuh permukaan objek tersebut.

Mereka akan membelek jarinya sekadar untuk mengesahkan betulkah cat itu basah?

Kebanyakkan orang pasti begitu.

Kesan psikologi ini bukan sahaja berlaku kepada manusia, tetapi juga kepada haiwan. (dalam kes ini, ikan)

Jika ikan telah curiga terhadap sesuatu objek dan berminat untuk memeriksanya dengan lebih lanjut, ia akan menyerang objek itu untuk sekadar mengesahkan “betul ke objek ni bukan benda hidup”

Oleh kerana sifat ikan yang menyerang benda asing ini:

— maka kita boleh mengambil kesempatan ini dengan sekurangnya-kurangnya dengan menggunakan gewang mimik saiz, warna dan aksi mangsa sebenar mereka.


4. Memahami Bagaimana Deria Ikan Berfungsi

Kita perlu tahu bahawa ikan mempunyai dua jenis deria, iaitu penglihatan (mata) dan getaran (garisan lateral).

garisan lateral ikan
Garisan lateral adalah bahagian dimana deria sensitif ikan terkumpul untuk mengesan sebarang getaran

Kedua-dua deria ini amat penting kepada ikan kerana keadaan air yang sentiasa berubah-ubah.

Di dalam air yang jernih, kebanyakan ikan bergantung kepada penglihatan visual.

Sebaliknya, bila air keruh dan berlumpur, ikan akan bergantung kepada garisan lateral untuk mengesan mangsa.

Tumpuan deria mereka akan tertumpu kepada bayang dan getaran.

Perkara ini sangat penting untuk kita menentukan gewang mana yang sesuai digunakan.

Sama ada gewang senyap atau bergemerincing.


5. Memanipulasi Psikologi Ikan

pencil bait sebarau

Berapa kali anda pernah mengalami situasi dimana ikan hanya mengikuti gewang anda dan berpatah balik setelah gewang itu sampai ke tebing?

Mengapa ikan tersebut enggan menghentam gewang tersebut?

Kita perlu tahu bahawa:

Ikan bukanlah makhluk yang cerdik, tetapi ia tidaklah terlalu bodoh untuk diperangkap dengan mudah.

Kita jangan lupa ikan juga dikurniakan apa yang dipanggil “gerak hati” atau firasat.

Firasat ini sangat penting dalam survival hidup ikan kerana mereka bergantung kepadanya untuk mengesan sebarang bahaya.

Gewang yang menggoda yang dipadankan set casting yang tepat yang tepat hanyalah separuh cerita.

Langkah seterusnya kita perlu berusaha  merangsang psikologi  ikan sehingga ia tidak ragu-ragu untuk menghentam gewang yang dihulurkan.

Cuba perhatikan dalam video di bawah bagaimana Sifu Roob Ganesan memperdayakan Blackbass dengan gewang permukaan.

 

When u watch that wave emerge out of the blue. It is sure to send adrenaline into your bloodstream.
Full video at YouTube : roob ganesan
#dravefishing #guerrero115 #papuanblackbass #kotekasportfishing #topwater #fishingvideo #blackbass #lunkers #bassfishing

Posted by Roob Ganesan on Monday, 17 September 2018

Mengapa Roob Ganesan semakin melajukan pergerakan gewang disaat ikan tersebut datang mengejar?

Jawapannya adalah:

— kerana perbuatan tersebut akan mencetuskan kesan psikologi terhadap ikan tersebut bahawa mangsa (gewang) yang dikejar itu sedang berusaha untuk melarikan diri.

Jadi ikan tersebut tidak akan berfikir panjang lagi untuk menghentam gewang itu sebelum ia terlepas dari jangkauannya.


6. Kepentingan Pasang-Surut Lautan Kepada Ikan

Tanpa kehadiran air, adalah mustahil untuk hidupan marin untuk menjalankan proses hidup.

Apabila air pasang datang membanjiri kawasan daratan, kawasan yang ditenggelami akan menjadi lantai lautan

kepentingan pasang surut lautan

Pelbagai jenis hidupan kecil marin muncul dari lubang persembunyian mereka pada waktu ini.

Ikan pemangsa sangat arif dengan perkara ini.

— Ia ibarat loceng makan bagi mereka.

Mereka akan mengikuti aliran air pasang ini untuk memakan hidupan-hidupan kecil ini di kawasan yang ditenggelami air tersebut.

Air pasang besar akan membawa lebih banyak ikan lebih dekat ke pantai untuk mencari makan kerana arus yang lebih kuat akan mendedahkan makanan dari dasar laut.

Lebih tinggi air pasang, maka lebih tinggilah air laut akan membanjiri pantai dan batu-batu yang ada di tebing – menyeret makanan ke laut yang mana ia tidak dapat dicapai sebelum ini.


7. Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Mood Ikan

Sebagai hidupan, ikan juga tidak dapat dari terganggu dengan fenomena-fenomena alam yang berlaku di sekeliling mereka.

Terdapat dua faktor yang selalunya menjejaskan mood ikan:

  1. Tekanan Barometrik
  2. Suhu Air

Saya akan menjelaskan secara ringkas perkara ini agar mudah difahami:

A) Bagaimana Tekanan Barometrik Menjejaskan Ikan?

Tekanan barometrik (atau tekanan atmosfera) memberi pengaruh yang besar terhadap sikap dan perangai ikan.

Ikan mengesan perubahan tekanan melalui pundi udaranya.

Tekanan barometrik

Ikan yang mempunyai pundi udara yang yang kecil (contohnya ikan pelagik seperti Tenggiri dan Belitong) selalunya tidak terlalu terjejas oleh perubahan tekanan barometrik berbanding dengan ikan berpundi udara besar.

Ini kerana ikan yang berpelampung udara kecil mempunyai ketumpatan badan yang hampir sama dengan air di persekitarannya.

Mereka tidak dapat mengesan perubahan tekanan secara mendadak. Jadi, tahap keselesaan mereka tidak berubah secara drastik.

Bagi ikan yang berpundi udara besar pula (contohnya Jenahak dan Kerapu), mereka lebih sensitif terhadap kejatuhan tekanan udara.

Ini kerana berlaku tekanan yang kurang pada pundi udaranya.

Apabila kurangnya tekanan yang menekan pundi udara, maka pundi udara ikan tersebut akan mengembang sedikit.

Apabila pundi udara mengembang, ikan tersebut akan mula rasa tidak selesa.

Mereka cuba melegakan ketidak-selesaannya dengan bergerak ke paras terdalam atau dengan menyerap gas ekstra di dalam pundi udaranya.

Akibat mengalami tekanan anatomi dan fisiologi, ikan-ikan ini tidak mengendahkan soal makan lagi.

Mereka lebih memikirkan cara untuk mencari suatu kedalaman di mana mereka boleh menyeimbangkaan tekanan pelampung udaranya dan mula berasa selesa semula.


B) Bagaimana Suhu Air Menjejaskan Ikan?

Apakah kaitan suhu air dengan ikan?

— Sebabnya adalah kerana ikan adalah makhluk yang berdarah sejuk.

Maka suhu persekitaran-lah yang akan mempengaruhi suhu mereka.

Kebanyakkan ikan akan aktif mencari makan apabila suhu ngam-ngam berada dalam julat keselesaan mereka.

Dan apabila suhu air jatuh mendadak menjadi sejuk, kebanyakkan spesis ikan umumnya akan menjadi pasif.

Oleh itu, mereka cenderung untuk mendiam diri, berhijrah ke tempat lain yang mempunyai suhu dalam julat keselesaan mereka.

Untuk pemahaman lanjut mengenai topik ini, rujuk artikel: Teori Thermocline: Kenapa Ikan Tidak Makan Umpan Bila Suhu Air Sejuk?

Penutup: Berfikir Seperti Ikan Bukannya Mudah

Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk tunjuk pandai.

Saya juga masih dalam proses pembelajaran.

Tetapi tujuan penulisan ini adalah sekadar untuk berkongsi apa yang saya faham mengenai konsep think like a fish ini.

Selain daripada point-point yang dinyatakan diatas, jika kita benar-benar mahu “think like a fish”, maka kita perlu bersedia untuk melaburkan banyak masa.

Membaca penulisan teknikal berkaitan memancing adalah permulaan yang baik untuk membina asas pengetahuan.

Tetapi, ia masih tidak boleh menggantikan kepentingan meluangkan masa di padang pancing bersama seseorang yang berpengalaman (sifu).

Ya, teori itu penting, tetapi ia mesti disusuli dengan praktikal agar kita dapat memahami realiti sebenar.

Dan kemudian pasti kita akan mula untuk “berfikir seperti ikan”

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments