
Dalam artikel ini, saya akan kongsikan panduan asas tentang pasang surut lautan dan kesannya terhadap aktiviti memancing. Jika anda seorang pemancing baharu yang ingin memahami bagaimana memilih waktu terbaik memancing di kawasan sungai muara, pantai, atau kelong, artikel ini mungkin relevan untuk anda.
Saya akan cuba menyentuh sebanyak mungkin perkara asas yang anda patut tahu tentang pasang surut, supaya selepas membaca artikel ini, anda dapat membuat keputusan yang lebih tepat untuk turun memancing.
Untuk memudahkan anda, saya telah menyediakan pautan lompat (jumplink) pada bahagian isi kandungan. Anda hanya perlu klik pada link tersebut untuk melompat terus ke bahagian yang anda ingin baca dan fahami dengan lebih mendalam.
Jika anda mempunyai sebarang soalan atau perlukan penjelasan tambahan, sila tinggalkan pertanyaan anda di ruangan komen di bawah. Saya sedia membantu anda.
Isi Kandungan
- Apa Maksud Pasang-Surut Air?
- Kepentingan Air Pasang dan Surut kepada Hidupan Marin
- Bagaimana Pasang-Surut Mempengaruhi Arus?
- Beberapa Istilah Pasang-Surut Yang Perlu Diketahui
- Bagaimana Memilih Tarikh Yang Sesuai Untuk Turun Memancing?
- Waktu Terbaik Memancing Mengikut Lokasi
- Soalan Lazim (FAQ)
- Penutup: Menguasai ilmu Pasang-Surut Akan Menjadi Kunci Kejayaan
Apa Maksud Pasang-Surut Air?
Secara mudah, pasang surut ialah keadaan naik dan turunnya paras air laut secara berkala setiap hari. Ketika air laut naik ke paras tertinggi, kita panggil ini sebagai air pasang. Sebaliknya, bila air laut turun ke paras paling rendah, ini disebut air surut.
Proses ini berlaku secara konsisten dan boleh diramal, menjadikannya penting bagi aktiviti memancing.

Pasang surut terjadi disebabkan tarikan graviti yang kuat daripada bulan dan matahari terhadap bumi.[1]
Bulan, walaupun lebih kecil, mempunyai kesan tarikan yang lebih besar terhadap air laut kerana jaraknya yang dekat dengan bumi.[2]
Tarikan ini menyebabkan air laut membonjol, membentuk dua kawasan air pasang pada satu masa, satu di bahagian bumi menghadap bulan, dan satu lagi di bahagian bertentangan.

Apabila bumi berputar dalam masa 24 jam, kawasan-kawasan ini mengalami perubahan ketinggian air laut secara bergilir-gilir, menghasilkan pasang surut yang konsisten.
Di kebanyakan tempat termasuk Malaysia, pasang surut berlaku dua kali dalam sehari.
Maksudnya, dalam tempoh 24 jam, anda akan melihat dua kali air naik (air pasang) dan dua kali air turun (air surut). Lazimnya, jarak masa antara satu pasang ke pasang berikutnya kira-kira 12 jam dan 25 minit.[3]

Dengan memahami asas ini, anda boleh merancang masa yang lebih efektif untuk keluar memancing.
Kepentingan Air Pasang dan Surut kepada Hidupan Marin
Air pasang dan surut bukan sekadar fenomena alam yang berlaku setiap hari. Ia sebenarnya memainkan peranan besar dalam menentukan bila, di mana dan bagaimana hidupan air termasuk ikan akan bergerak dan makan.
Sebagai pemancing, memahami pergerakan pasang surut ini membolehkan kita merancang waktu terbaik untuk turun memancing. Ini kerana pergerakan air adalah pencetus utama kepada aktiviti makan ikan.[4]
Apabila air mula bergerak sama ada sedang pasang atau mula surut, ia membawa masuk dan membawa keluar banyak sumber makanan dari daratan ke laut, atau dari laut ke kawasan tebing.
Ketika air mula pasang, kawasan tebing, akar bakau, dataran lumpur, dan batuan yang sebelumnya kering akan mula dibanjiri air.
Kawasan ini dipenuhi dengan pelbagai bentuk makanan semula jadi seperti anak-anak udang, ketam kecil, cacing laut, siput dan hidupan mikro yang menjadi diet utama bagi banyak spesies ikan.
Ikan sangat peka terhadap perubahan ini. Bagi mereka, arus pasang naik ialah loceng waktu makan.[5]
Ikan akan mengikuti aliran arus masuk ini untuk masuk ke kawasan yang sebelumnya cetek, memburu makanan yang baru “muncul” bersama air pasang.

Selain makanan, air pasang juga penting bagi proses pembiakan. Banyak hidupan marin seperti ikan, ketam, udang dan siput menjadikan waktu air pasang sebagai masa mereka bertelur.
Arus pasang akan menghanyutkan benih dan larva ke kawasan akar bakau dan lumpur cetek, yang lebih selamat dan sesuai sebagai “nursery” semula jadi untuk anak-anak mereka membesar.[6]
Air pasang besar (biasanya berlaku semasa bulan penuh atau bulan baru) mempunyai arus yang lebih kuat dan membanjiri kawasan yang lebih luas.
Ini bermakna lebih banyak makanan akan terdedah dan dihanyutkan dan berpotensi menarik lebih banyak ikan pemangsa dari laut ke muara atau kawasan tebing.

Namun begitu, arus yang terlalu laju tidak sesuai untuk semua jenis ikan. Sesetengah ikan lebih suka berada di kawasan yang arusnya perlahan dan tenang.
Contohnya, ikan seperti mangrove jack dan siakap kadangkala lebih aktif semasa air kecil atau ketika arus mula surut dengan perlahan.[7]
Ringkasan Penting:
- Pergerakan air (arus) merangsang ikan untuk makan.
- Air pasang membawa makanan masuk ke kawasan cetek.
- Banyak ikan akan masuk ke tebing, sungai dan akar bakau untuk memburu.
- Air pasang juga memainkan peranan dalam kitaran pembiakan ikan.
- Tidak semua ikan suka arus laju. Sesetengah lebih aktif semasa arus perlahan.
Bagaimana Pasang-Surut Mempengaruhi Arus?

Pasang-surut bukan sekadar perubahan paras air laut semata-mata. Ia juga memainkan peranan besar dalam menentukan kelajuan arus air di kawasan memancing anda. Apabila air pasang atau surut, ia mencipta aliran air yang berbeza-beza kelajuannya, sekaligus mempengaruhi bagaimana ikan bertindak balas, sama ada aktif mencari makan atau pasif.
Secara umum, kelajuan arus yang terhasil daripada pasang-surut ini boleh dibahagikan kepada tiga situasi utama yang wajib diketahui oleh setiap pemancing:
1. Arus Lembut (Perlahan)
Ketika arus bergerak perlahan atau sederhana, ikan akan menjadi sangat aktif mencari makan. Ini kerana arus yang lembut memudahkan ikan berenang dan memburu tanpa perlu menghabiskan banyak tenaga.[8]
Dalam keadaan ini, ikan lebih cenderung mengejar umpan atau gewang anda kerana mereka dalam mod ‘cari makan’.
Apa maksudnya untuk kita?
- Potensi untuk mendapat strike adalah tinggi kerana ikan aktif.
- Gewang atau umpan anda lebih mudah dikesan dan disambar ikan.

2. Arus Mati (Tiada Pergerakan Arus)
Apabila arus sangat perlahan atau terhenti sepenuhnya (air mati), ikan biasanya kurang aktif. Keadaan ini berlaku kerana ikan mengambil peluang untuk berehat atau berlindung, kurang bergerak, dan tidak terlalu agresif mencari makan.[9]
Apa maksudnya untuk kita?
- Ikan menjadi pasif; kebarangkalian strike adalah rendah.
- Anda mungkin perlu lebih bersabar atau mencuba pelbagai teknik bagi mencetuskan reaksi ikan.
3. Arus Deras (Kuat)

Apabila arus sangat kuat atau deras, ikan akan cenderung berlindung di kawasan perlindungan seperti celahan batu, struktur kayu atau dasar sungai. Dalam situasi ini, ikan hanya akan keluar untuk mengejar makanan jika benar-benar lapar atau terdapat mangsa yang mudah disambar.[10]
Apa maksudnya untuk kita?
- Perlu mencari kawasan yang terlindung untuk memancing.
- Gunakan gewang atau umpan yang dapat menarik perhatian ikan secara lebih jelas dalam keadaan arus yang kuat.
- Memancing boleh jadi agak mencabar tetapi masih boleh membuahkan hasil jika anda memilih lokasi yang tepat.
—— ❈ ——
Memahami tiga situasi arus ini penting supaya anda dapat menyesuaikan strategi memancing anda dengan lebih bijak. Setiap situasi mempunyai kelebihan dan cabaran tersendiri. Dengan pengetahuan ini, anda mampu meningkatkan peluang kejayaan semasa memancing.
Beberapa Istilah Pasang-Surut Yang Perlu Diketahui

Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita kenali dahulu beberapa istilah penting berkaitan pasang surut air laut. Ini akan bantu anda lebih mudah membaca jadual pasang surut dan membuat keputusan bila masa terbaik untuk turun memancing.
1. Air Pasang Besar
Istilah ini juga dikenali sebagai spring tide dalam bahasa Inggeris. Ia berlaku semasa bulan penuh (full moon) dan bulan baru (new moon). Ciri-ciri utama air pasang besar ialah:
- Julat perbezaan antara air pasang dan surut sangat besar. Contohnya, air pasang boleh mencecah 2.5 meter manakala air surut mungkin serendah 0.3 meter.
- Arus menjadi sangat kuat.
- Air boleh naik lebih tinggi dari biasa.
- Banyak kawasan daratan seperti akar bakau dan batu-batuan ditenggelami.
Kelebihan yang wujud pada waktu ini adalah makanan semula jadi seperti udang, ketam kecil dan anak-anak ikan akan dihanyutkan air dan seterusnya menarik perhatian ikan pemangsa.
Kekurangan nyata yang wujud dalam keadaan ini adalah arus sangat kuat sehingga boleh menyebabkan gewang sukar dikawal, umpan cepat hanyut, dan ada spesies ikan yang pasif bila arus terlalu deras terutamanya di sungai yang kecil.
2. Air Pasang Kecil
Juga dikenali sebagai neap tide dalam istilah antarabangsa. Ia berlaku semasa fasa bulan separuh. Ciri-ciri utama air pasang kecil adalah seperti berikut:
- Julat perbezaan antara paras pasang dan surut sangat kecil. contohnya, air pasang hanya sekitar 1.3 meter dan air surut sekitar 0.8 meter.
- Arus sangat perlahan, kadangkala hampir tiada langsung.
- Paras air hampir tidak berubah banyak.
Kelebihan waktu pasang kecil adalah ia sangat sesuai untuk memancing di sungai-sungai kecil atau kawasan muara kerana ikan lebih mudah mengesan gewang atau umpan (arus tidak terlalu deras).
Dari segi kekurangannya pula adalah, pergerakan makanan semula jadi mungkin kurang aktif, jadi kita perlu menyesuaikan teknik pancingan dengan baik.
Memahami Tidal Coefficient
Jika anda pernah menggunakan aplikasi jadual pasang surut seperti Nautide, anda mungkin pernah ternampak satu angka yang dipanggil sebagai tidal coefficient. Ini adalah satu nombor dalam julat antara 20 hingga 120 yang mewakili kekuatan perubahan paras air laut pada hari tersebut.

Apa maksud nombor ini?
Ia mewakili “kekuatan” julat pasang surut pada sesuatu hari. Semakin tinggi nombor, semakin besar julat perbezaan paras pasang dan surut, maka semakin kuatlah arus air pada hari tersebut.
Tidal Coefficient | Maksud |
---|---|
20 – 50 | Air kecil, arus lembut |
51 – 80 | Sederhana (neap ↔ spring) |
81 – 120 | Air besar, arus kuat |

Panduan Ringkas Membaca Tidal Coefficient:
- Hijau (20–50): Arus perlahan, sesuai untuk memancing di sungai kecil, kawasan paya bakau dan muara cetek. Ikan lebih mudah melihat dan menyambar umpan dalam keadaan arus tenang.
- Kuning (51–80): Arus sederhana. Sesuai untuk pelbagai lokasi termasuk sungai besar, kelong, pantai dan perairan separa terbuka. Ia adalah waktu ‘selamat’ untuk kebanyakan teknik memancing.
- Merah (81–120): Arus kuat dan deras. Lebih sesuai untuk pantai terbuka, laut dalam atau memancing spesies pelagik. Namun di sungai kecil, arus ini mungkin terlalu laju dan menyebabkan gewang hanyut atau ikan menjadi pasif.
🔎 Ingin tahu lebih lanjut bagaimana tidal coefficient boleh digunakan untuk meramal arus dan memilih hari terbaik memancing?
Baca artikel ini: 👉 Tidal Coefficient: Panduan Lengkap Untuk Pemancing
Bagaimana Memilih Tarikh Yang Sesuai Untuk Turun Memancing?
Salah satu perkara paling penting dalam merancang trip memancing di kawasan pesisiran laut ialah memilih tarikh yang sesuai. Tarikh inilah yang akan menentukan keadaan pasang surut air, kekuatan arus, dan secara langsung mempengaruhi sama ada ikan aktif atau tidak pada hari tersebut.

Bagi pemancing baru, mungkin sukar untuk meneka hari yang sesuai. Tetapi dengan panduan ringkas ini, anda boleh mula membaca jadual pasang surut dengan lebih yakin.
Berikut ialah langkah paling mudah untuk menentukan tarikh yang sesuai:
Buka Aplikasi Jadual Pasang Surut
Gunakan aplikasi seperti Nautide, MyTide, atau laman web rasmi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Secara peribadi saya, lebih suka menggunakan laman web Tides4Fishing.com
Pastikan anda pilih lokasi yang betul (contohnya Kudat, Lahad Datu, Kota Kinabalu atau kawasan terdekat dengan lokasi memancing anda).
Lihat Beza Paras Air (Julat Air)

Perhatikan perbezaan antara paras air pasang dan paras air surut untuk sesuatu tarikh.
- Jika beza sangat besar (contohnya 2.5m ➝ 0.2m), itu menandakan air besar dan arus akan jadi deras.
- Jika beza kecil (contohnya 1.4m ➝ 1.1m), itu menandakan air kecil dan arus akan perlahan.
Tips: Pilih tarikh dengan julat air sederhana (contohnya antara 0.8m – 1.5m) jika anda baru belajar, kerana arus lebih stabil dan senang mengawal umpan atau gewang.
Kenalpasti Waktu Air Mula Bergerak
Arus mula bergerak biasanya sekitar 2 jam sebelum dan selepas perubahan air pasang atau surut. Ini adalah waktu paling sesuai untuk memancing kerana ikan lebih aktif memburu makanan.
Contoh:
- Jika air mula pasang jam 6:00 pagi, waktu ideal untuk memancing ialah sekitar jam 4:00 pagi – 8:00 pagi.
- Jika air mula surut jam 2:00 petang, maka waktu terbaik ialah 12:00 tengah hari – 4:00 petang.
Dalam laman web tides4fishing atau aplikasi Nautide, anda boleh lihat perubahan paras ini secara grafik, dan ada juga yang siap tunjukkan waktu maximum high dan minimum low. Gunakan ini sebagai panduan.
Dengan mengamalkan langkah 1–2–3 ini, anda akan mula mahir meramal waktu terbaik turun memancing, walaupun tanpa pengalaman panjang.
Waktu Terbaik Memancing Mengikut Lokasi

Memilih tarikh yang tepat untuk memancing adalah salah satu faktor utama yang membezakan antara trip yang berjaya dan trip kumpau. Banyak pemancing yang sudah mahir akan membuat rujukan kepada jadual pasang surut sebelum merancang perjalanan mereka kerana air menentukan bukan sahaja lokasi boleh dimasuki, malah tahap aktiviti ikan.
Dalam bahagian ini, kita akan lihat bagaimana untuk memilih hari yang sesuai berdasarkan 3 situasi biasa memancing: di muara & sungai kecil, di pantai terbuka, dan di kelong atau di jambatan.
Memancing Di Muara & Sungai Kecil
Untuk memancing di kawasan muara, terutamanya sungai yang kecil, pilihlah hari-hari ketika air pasang kecil (neap tide) dan tidal coefficient sederhana antara 50 hingga 70. Ini menandakan aliran arus yang perlahan dan stabil, sangat sesuai untuk memancing di sungai-sungai kecil dan kawasan muara yang sempit.[11]
Kenapa?
- Sungai kecil sangat sensitif dengan pergerakan air. Jika arus terlalu deras (air besar), ikan menjadi pasif dan sukar mengesan gewang atau menyambar umpan.
- Dalam keadaan arus sederhana hingga perlahan, spesies seperti MJ, blackbass dan siakap lebih mudah diperdaya.
- Paras air juga lebih stabil dan selamat untuk aktiviti bot kecil.
Penting untuk melihat kepada julat perubahan paras air antara pasang dan surut. Jika perbezaannya melebihi 2.0 meter, arus yang terhasil mungkin terlalu deras untuk sungai sempit.

Ini sering berlaku ketika spring tide, di mana perbezaan paras air yang besar (walaupun tidal coefficient mungkin kelihatan kecil atau sederhana) boleh menghasilkan aliran arus yang sangat kuat.
Perlu diingat, nilai tidal coefficient hanyalah panduan umum secara global — ia tidak semestinya mencerminkan kekuatan arus sebenar di lokasi kita (local hotspot), terutama di kawasan kecil dan terlindung seperti sungai muara.[12]
Memancing Di Pantai (Surfcasting)
Cadangan terbaik: Fokus pada waktu air pasang besar (spring tide), dengan tidal coefficient antara 85 hingga 110.
Kenapa?
- Ketika pasang besar, lebih banyak air membanjiri kawasan pantai, menyebabkan ikan datang lebih hampir ke tebing.
- Kawasan seperti pasir mendatar, muara terbuka dan kawasan cetek akan lebih aktif kerana arus yang membawa makanan semula jadi.
Sebaiknya rancanglah untuk tiba di lokasi sekurang-kurangnya 1 hingga 2 jam sebelum air pasang penuh.
Waktu ini memberi ruang untuk anda membuat persiapan, dan yang paling penting, membolehkan anda mula memancing ketika arus mula aktif meningkat. Fasa air sedang naik ini (rising tide) adalah waktu di mana banyak spesies ikan menjadi lebih aktif, terutamanya jika anda merancang untuk memancing dari petang hingga ke malam.
Namun, berhati-hatilah jika memancing ketika air terlalu tinggi atau terlalu surut. Dalam keadaan ini, arus boleh menjadi terlalu perlahan (menyebabkan ikan kurang aktif) atau terlalu deras (menyukarkan persembahan umpan dan mengganggu kestabilan setup pancing).
Keadaan ini sangat bergantung pada bentuk pantai dan konfigurasi geografi kawasan memancing.
Memancing Di Kelong & Jambatan
Waktu terbaik untuk memancing di kelong dan rumah tambatan biasanya adalah ketika arus sederhana ke besar, dengan bacaan tidal coefficient sekitar 70 hingga 100. Pada julat ini, arus cukup kuat untuk menggerakkan makanan semula jadi di sekitar kawasan kelong, namun tidak terlalu deras sehingga menyukarkan penggunaan umpan dasar atau perambut ringan.
Kenapa?
- Arus sederhana hingga besar membantu membawa makanan ke sekitar kelong, menjadikan kawasan sekeliling lebih aktif dengan ikan pelagik dan dasar.
- Ikan seperti talang, cencaru, kerapu dan jenahak aktif ketika air bergerak.
Jika arus terlalu deras (coef melebihi 100), kadangkala sukar untuk mengekalkan umpan di dasar. Oleh itu, pilih waktu sebelum atau selepas puncak arus.
Semak laporan pasang surut sekitar lokasi kelong dengan lebih teliti. Walaupun tidal coefficient besar, tetapi jika julat pasang hanya 1.5–2.0 meter, arus mungkin masih boleh dikendalikan.
Dengan memahami keadaan pasang surut dan kesesuaian lokasi, anda boleh merancang trip memancing dengan lebih bijak. Jangan lupa juga semak faktor lain seperti cuaca, angin, dan kekeruhan air untuk hasil yang lebih baik.
Soalan Lazim (FAQ)

Jika anda baru mula mendalami ilmu pasang-surut, mungkin ada beberapa persoalan yang bermain di minda. Bahagian ini menghimpunkan soalan-soalan biasa yang sering ditanya oleh pemancing baru.
Jika anda ada soalan lain, jangan segan untuk tinggalkan di ruangan komen. Saya akan cuba tambah jawapannya dari semasa ke semasa.
Ketika bulan purnama (dan bulan baharu) Bulan, Matahari dan Bumi hampir selari. Tarikan graviti kedua‑dua jasad bergabung, menyebabkan bonjol air di permukaan laut lebih besar. Hasilnya julat pasang‑surut maksimum, fenomena ini dipanggil spring tide.
Air pasang besar (spring tide) berlaku sekitar bulan purnama/baharu; julat tinggi–rendah boleh melebihi 2 m dan arus cenderung kuat. Air pasang kecil (neap tide) berlaku ketika bulan separuh; julat perbezaan pasang-surut adalah kurang 1 m, arus perlahan dan lebih stabil. Ia waktu yang sesuai untuk sungai sempit.
Nilai 20‑50 = julat kecil, arus lembut (baik sungai bakau). 51‑80 = arus sederhana, ‘selamat’ untuk kebanyakan lokasi. 81‑120 = julat besar, arus deras; bagus untuk pantai terbuka tapi mencabar di sungai kecil. Gunakan nombor ini bersama julat paras air sebenar.
Hujan deras sering mengalirkan kelodak dan air tawar ke muara, menurunkan saliniti serta mengeruhkan air. Ikan predator mungkin kurang agresif. Jika tetap turun, disarankan guna gewang vibrate kuat atau umpan yang ada mengeluarkan bau.
Itu corak diurnal tide. Biasanya di kawasan tertentu bila kedudukan Bulan relatif menghasilkan satu bonjol air dominan. Julat tunggal ini selalunya besar, lalu arus boleh jadi kuat lebih lama.
Nautide Lite (iOS/Android) mudah digunakan dan memaparkan grafik pasang surut serta nilai tidal coefficient. Windy pula memaparkan bacaan angin dan juga turun menyertakan air pasang surut. Laman rasmi JUPEM juga menyediakan data pasang surut berdasarkan stesen tide seluruh Malaysia — pastikan pilih stesen terdekat dan semak graf paras air dengan teliti.
Ikan biasanya paling aktif sewaktu peralihan air, iaitu ketika air mula pasang atau mula surut. Ini kerana arus yang terbentuk pada waktu tersebut menggerakkan makanan semula jadi seperti udang, anak ikan dan organisma kecil lain, menjadikan ikan lebih galak memburu mangsa.
Ya, terutamanya jika anda memancing di muara atau sungai kecil. Waktu air kecil (neap tide) berlaku bila beza paras pasang dan surut kecil, menyebabkan arus perlahan. Dalam sungai yang sempit, ini lebih ideal kerana ikan mudah membaca gewang atau mengesan umpan tanpa gangguan arus kuat.
Walaupun pasang besar membawa banyak ikan masuk ke kawasan cetek, arus yang terlalu deras boleh menyukarkan ikan menyambar umpan. Di sungai kecil, arus kuat juga menyebabkan ikan jadi pasif. Jadi penting untuk seimbangkan antara pasang besar dan lokasi yang sesuai.
Penutup: Menguasai ilmu Pasang-Surut Akan Menjadi Kunci Kejayaan

Memahami pasang-surut bukan sekadar ilmu tambahan, tetapi ia sebenarnya kunci utama yang menentukan kejayaan setiap trip memancing anda.
Dengan mengenali asas bagaimana pasang-surut berlaku, kesannya terhadap lokasi memancing, dan bagaimana membaca jadual pasang-surut dengan betul, anda kini mampu memilih waktu terbaik untuk turun ke sungai mahupun pantai.
Ingat, tidak semua lokasi mempunyai ciri yang sama. Sesetengah tempat mungkin sangat produktif ketika air pasang besar, manakala sesetengah lagi lebih ideal ketika air pasang kecil.
Apa pun teknik memancing pilihan anda, sama ada casting, bottom fishing, trolling, atau surfcasting, pengetahuan ini pasti membantu anda membuat keputusan yang lebih baik dan merancang trip memancing yang lebih berjaya.
Semoga artikel ini memberi manfaat dan meningkatkan kefahaman anda mengenai dunia pasang-surut lautan. Jika anda ada soalan tambahan atau ingin berkongsi pengalaman peribadi, jangan segan untuk tinggalkan komen di bawah.
Selamat memancing dan semoga anda sentiasa memperoleh hasil terbaik!
Nota kaki
- Pasang surut laut berlaku disebabkan oleh daya tarikan graviti yang dikenakan oleh Bulan dan Matahari terhadap air laut di Bumi. Ketika Bulan berada hampir sebaris dengan Matahari (semasa bulan baharu atau bulan purnama), tarikan graviti gabungan ini menghasilkan spring tide, iaitu julat pasang surut yang besar. Sebaliknya, ketika Bulan berada pada sudut tegak terhadap Matahari (semasa bulan suku pertama dan ketiga), berlaku neap tide dengan julat yang lebih kecil. Rujukan: Tides and Water Levels, National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) ‒ [Pautan] ↩︎
- Kesan pasang surut lebih dipengaruhi oleh Bulan berbanding Matahari kerana tarikan graviti berkurang dengan kuasa dua jarak. Bulan berada jauh lebih hampir dengan Bumi (± 384,400 km), maka walaupun jisimnya kecil, tarikan graviti terhadap air laut adalah lebih besar. Rujukan: Cartwright, D.E. (1999). Tides: A Scientific History. Cambridge University Press. ↩︎
- Kebanyakan pantai mengalami semidiurnal tide, iaitu dua kali pasang dan dua kali surut dalam tempoh satu hari lunar (24 jam 50 min). Jarak purata antara dua pasang ialah kira-kira 12 jam 25 min. Rujukan: “Frequency of Tides – The Lunar Day”, NOAA Tide Tutorial [Pautan] ↩︎
- Kajian Eggertsen et al. (2016) mendapati arus pasang surut meningkatkan penghantaran mangsa (zooplankton, nekton kecil) dan menggalakkan ikan pelagik serta bentik (“benthic”) lebih aktif memburu pada fasa arus deras, menjadikan pergerakan air pencetus utama aktiviti makan ikan. Rujukan: Effects of tidal current-induced flow on reef fish behaviour and function on a subtropical rocky reef [Pautan]
↩︎ - Kaji selidik NOAA mendapati arus pasang yang naik mengumpul plankton dan ikan kecil, lalu menarik ikan lebih besar untuk memburu. Bagi banyak spesies, peningkatan arus ini berfungsi sebagai “loceng” waktu makan mereka. Rujukan: NOAA Ocean Service – The Importance of Monitoring the Tides and Their Currents [Pautan] ↩︎
- Kitaran pembiakan banyak gastropod intertidal dan krustasea diselaraskan dengan kitaran lunar dan amplitude pasang surut. Kebanyakan spesies melepaskan telur atau larva semasa spring tide (air pasang tinggi) supaya benih dihanyutkan ke kawasan bakau cetek dan terhindar pemangsa. Rujukan: ScienceDirect & National Library of Medicine (NIH) ↩︎
- Pengalaman pemancing di Australia menunjukkan mangrove jack paling aktif sekitar dua jam sebelum dan selepas surut ketika pasang kecil (neap tide) kerana arus lembut memudahkan mereka mengesan mangsa. [Hookup Magazine] ↩︎
- Arus pasang surut berfungsi seperti “konveyor” yang membawa plankton dan ikan kecil, membolehkan ikan menerkam mangsa dengan lebih mudah dan menjimatkan tenaga. Rujukan: How Tides Affect Fish Feeding Behavior ↩︎
- Kajian menunjukkan kebanyakan spesies ikan lebih gemar memburu mangsa sewaktu arus bergerak, bukan ketika arus mati (slack water). Apabila arus perlahan atau terhenti, ikan biasanya berehat atau berlindung dan kurang agresif mengejar umpan. Rujukan: How Tides and Currents Affect Anglers (FishTalk Magazine) ↩︎
- Studi Webb (1984) menunjukkan bahawa kebanyakan ikan di habitat berarus deras menggunakan teknik “station-holding” di belakang batu besar atau kayu terendam untuk mengurangkan seretan dan menjimatkan tenaga. Ikan hanya keluar memburu apabila mangsa terbawa ke dalam kawasan wake berarus rendah. Rujukan: Webb, P.W. (1984). Body form, locomotion and foraging in aquatic vertebrates. American Zoologist, 24(1), 107–120. ↩︎
- Banyak pemancing barramundi di Sungai Fitzroy, Australia, mendapati tempoh sekitar neap tide dan beberapa hari selepasnya menawarkan arus sederhana dan air lebih jernih, iaitu keadaan ideal untuk casting dan trolling di muara sungai kecil. Rujukan: Understanding Tides: How tides affect fishing (Fishing World Australia) ↩︎
- Tidal coefficient hanyalah angka umum. Arus sebenar di sesuatu lokasi dipengaruhi oleh kontur saluran, bathymetri dan hidrografi tempatan. Tidal datums adalah rujukan setempat dan tidak boleh diguna pakai di kawasan berlainan tanpa pengukuran khusus ↩︎
Tinggalkan Komen Anda..
Saya baru berjinak-jinak dlm aktiviti memancing, artikel ini banyak membantu. Terima kasih tuan.
saya suka penulisan tuan. tak banyak blog2 memancing begini.. terbaik utk tambah ilmu memancing.
Terima kasih banyak, tuan, atas sokongan dan kata-kata semangat! Saya gembira penulisan ini dapat membantu dan memberi manfaat. Semoga perkongsian ini terus menambah ilmu dan memeriahkan lagi dunia memancing kita. 🎣😊
Assalamualaikum tuan,kami amat mengalu alukan penulis blogger dan juga pemancing seperti tuan untuk menyertai kami,Kami sedang dalam proses pembangunan sebuah applikasi berlatarbelakangkan aktiviti memancing, rekreasi dan apa sahaja yang berkaitan dengan dunia perikanan dan kepelbagaian jenis air. open for public end of Februari 2024..www.trackers.my.
Walaikumsalam,
Bagaimana saya boleh sertai tuan sebagai penulis?
good job enchenaim!!
Terima kasih Pak Roob! ????
teruskan berkarya, aku lagi faham bila dalam bahasa melayu woi, walaupun aku boleh speaking ala ala tom cruise.
bende ni penting, tak boleh stop naim.
Baiklah Pak Roob. Terima kasih sebab beri semangat.
saya selalu memncing di Port Klang atau area Sepang , Kalau Port Klang saya pasti teori Tide4fishing tu bole guna pakai , tapi kalau mancing di Sepang , tiada pulak dalam list , jadi jadual Tide4fishing tu saya masih guna Klang jugak , tepat ke ? atau berapa radius dari Klang masih bole guna …
Masih boleh haji.