11 Tips Penting Memilih Reel Spinning Terbaik

reel spinningBagaimana hendak memilih reel spinning yang bagus?

Reel spinning yang bagus sepatutnya berkualiti dan berbaloi dengan harga.

Dan apa yang lebih penting lagi, ia harus dapat menjalankan tugas dengan baik.

Memanglah membingungkan jikalau hendak membeli barangan yang betul-betul bagus.

Walau bagaimanapun, saya akan memberi beberapa tips penting yang mungkin boleh membantu anda:

1. Cuba Dapatkan Keterangan Lisan

Tanyalah pengusaha atau operator kedai pancing tentang jenis kekili yang anda hajati.

Walau pun kebanyakkan daripada kita akan google dulu info sesuatu reel, namun pengalaman individu yang pernah menggunakan produk tersebut amatlah berguna.

Kebanyakan dari mereka tentu biasa turun memancing (memang sepatutnya) dan tahu perbezaan peralatan yang mereka gunakan.

Jika mereka dakwa tiada masalah pada kekili yang sesuai dengan kehendak anda itu, maka belilah model yang sama.


2. Lakukan Ujian Putaran

Semasa meneliti putaran pengayuh, sila tumpu perhatian terhadap sebarang kelonggaran cengkaman antara setiap gear.

Pastikan pengayuhnya tegap, mengarau lancar, tidak bergoyang, atau berlaku keketatan dan tersangkut-sangkut.

Pengayuh pada sesetengah reel mempunyai shaf gelincir dan skru kunci bertentangan, tetapi shaf sepatutnya cukup muat tanpa sebarang kelonggaran.

Pegang rotor gelendung dari berpusing, kemudian gerakkan pengayuh ke depan dan belakang untuk menyukat free-play (kelonggaran) antara gear.


3. Banyak Ball Bearing, Lebih Bagus?

Fenomena dalam reel terbaru ialah menyertakan banyak galas bebola.

Sebenarnya bilangan ball bearing dalam reel spinning bukanlah petunjuk kualiti atau ketahanannya.

Selalunya bearing yang ditempatkan dalam reka bentuk reel spinning yang kurang baik adalah dari bahan berkualiti rendah dan cenderung terhakis atau terdedah kepada kemasukan butiran pasir, garam dan air.

Jika semakin banyak bearing sebegini, lagi banyaklah masalah yang bakal timbul.

Cuba lihat gambarajah pecahan reel spinning yang disertakan dalam kotak reel anda.

Ianya patut diteliti dan ditanyakan soalan kepada operator kedai pancing tentang kualiti komponen tersebut, misalnya gear dan galas bebola.


4. Pastikan Ketat

Cuba pegang gelendung dengan sebelah tangan, dan tarik ia ke atas atau tekan ke bawah (jangan memaksa) untuk melihat sama ada wujudnya sebarang pergerakan yang longgar dalam shaf utama (sepatutnya tiada).

Banyak kali saya lihat reel spinning yang baru keluar dari kotak tidak diketatkan shaf utama dengan kemas pada galas pemutarnya.

Walaupun ianya boleh diketatkan dengan cuma separuh putaran pemutar skru, tetapi jika tidak diendahkan, boleh mengakibatkan reel kehilangan skru yang penting pada komponen dan gear-gear yang berputar.


5. Padankan Dengan Rod

Jika anda ingin padankan reel baru dengan sebatang joran lama (atau sebaliknya), bawalah joran anda ke kedai dan cuba pasang reel itu pada joran.

Inilah satu-satunya cara terbaik untuk memadankannya.

Kadangkala tapak reel spinning itu terlalu besar, lebar, runcing atau kecil untuk dimuatkan kemas pada joran.

Joran mungkin lebih panjang atau pendek dari yang anda jangka atau tidak sesuai langsung buat reel yang anda mahu beli (malah koordinasi warna pun tak ngam).


6. Menilai Faktor X

Jika anda tidak pernah mendengar jenamanya, itu bukanlah alasan untuk tidak ambil pusing.

Seperti yang saya katakan pada awal tadi, terlalu banyak jenama baru cuba menembusi pasaran dan ada barangannya yang cukup bagus dan ada juga yang ‘tak boleh pakai’.

Memang sukar untuk mengetahui kebaikan yang ia tawarkan.

Jadi, siasatlah betul-betul reel yang anda ingin beli, bukan sekadar untuk model yang dipamer sahaja.


7. Berkilau Tak Semestinya Emas

Ingat, reel baru yang berkilat bukanlah kekal sedemikian rupa selepas beberapa trip memancing.

Pengilang meletakkan plastik berplat logam berlebihan pada reel supaya ia kelihatan lebih cantik dan anggun, tetapi masalah hakisannya tetap meningkat.

Benda benda berkilat pada reel selalunya memerlukan lebih perhatian (seperti menggilap selepas terdedah pada air masin) supaya tidak rosak dan pudar.


8. Jika Tak Berfungsi Di Kedai, Ia Tidak Berfungsi Di Bot

Aksi lengan pengarau atau ‘bail arm’ reel spinning hendaklah positif dan tidak gagal bertindak balas semasa anda mengujinya berulang kali di kedai pancing.

Roda pemandu tali (arms roller) seharusnya berputar bebas dan anda hendaklah menguji butang anti balikannya (anti-reverse) beberapa kali untuk melihat sama ada ia sentiasa berfungsi atau tidak.

Jika anda tidak pasti dengan fungsi setiap tombol kecil dan sistem pada reel spinning, maka  tanyalah kepada pekedai.

Itulah sebabnya mereka berada di situ dan janganlah baru nak baca kertas keterangannya sesudah pulang.

Tiada orang anggap anda bodoh jika bertanya apakah fungsi tombol itu, tetapi bukankah lebih bodoh kalau reel dibawa kembali hanya semata-mata anda tak tahu bagaimana hendak menggunakannya?


9. Hakisan, Musuh Anda

Lihat segenap ruang atau celahan (gap), terutama antara badan reel dan di bawah rotor gelendung.

Saya pernah melihat reel spinning yang mempunyai celahan cukup besar yang membolehkan pasir memasukinya (Inilah antara sebab mengapa kita tidak digalakkan membuka komponen reel untuk memperbaikinya semasa pergi memancing).


10. Nikmatilah Bunyinya

Di bawah gelendung reel spinning terdapat palam penggera tegangan.

Cliker logam kecil inilah yang akan melagukan bunyi yang kita semua suka mendengarnya apabila ikan lari menggila.

Komponen ini serta spring di belakangnya hendaklah jenis logam (plastik tidak tahan lama) dan hendaklah diikat dengan skru, bukan klip.

Sesetengah pengilang menggunakan klip dan percayalah pada saya, jika ia tercabut walaupun tidak patah, ia tak akan kembali pulih seperti sediakala.

Lama-kelamaan anda terpaksa ganti spring atau bersihkan belakang palam, jadi ini hendaklah boleh dicapai dan boleh diganti.

Kesimpulannya, ambillah masa untuk memilih.

Cuba karau, mainkannya, lihat dengan teliti dan timbulkan persoalan.

Ia mungkin reel yang hanya berharga RM 100, tetapi ia tetap bernilai juga.

Justeru, kenalah tahu apa yang anda mahu.

Dengan mengetahui jawapan terhadap soalan-soalan ini, pemilihan reel spinning lebih mudah ditentukan.

Cuba timbulkan banyak persoalan, tidak kiralah berapa banyak yang anda rasa tahu jawapannya.

Era perubahan dan inovasi peralatan memancing kini sangatlah pantas.

Justeru, pilihlah dengan bijaksana.

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

2 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Min
Min
4 tahun yang lalu

Salam naim..tanya sikit..kalau spool boleh tarik ke atas dan bawah tu mcm mana..dari mula beli lg dah macam tu..mcm longgar shaft dia..memang something wrong kah?tapi elok ja kayuh..