Padu dan sering mengewakan pemancing!
Ikan bulan (tarpon) adalah spesis ikan muara yang seharusnya menjadi lesen bagi setiap pemancing.
Walaupun game fish ini di negara kita tidak mencapai saiz mega seperti saudaranya diluar sana, namun tentangan yang diberikan tidak kurang menarik.
Larian deras dan lompatan yang memukau pasti membuatkan kita tidak jemu dengan spesis ini.
Oleh itu, artikel kali ini akan cuba membincangkan dengan terperinci mengenai taktikal dan teknik menggoda spesis bermata besar ini menggunakan gewang secara berkesan.
1. Mari fahami habitat & tabiat ikan bulan
Untuk memburu ikan bulan, pertama sekali kita harus memahami sifatnya.
Ikan bulan adalah ikan yang menghuni kawasan muara, paya pakau atau kawasan takungan air yang mempunyai kadar kemasinan yang sesuai dengannya.
Ikan ini gemar bermain di kawasan terbuka dan berada berdekatan permukaan air.
Tabiatnya gemar mengambil udara sambil mempamerkan sisik berkilat.
Oleh itu, ia akan memudahkan kita mengesannya.
Namun jangan disangka ikan ini mudah digoda.
Kadangkala ia akan terus menghilangkan diri bila menyedari ada pemancing cuba memburunya. Ia ikan yang mudah culas.
Kadangkala juga, ia hanya “jual mahal” dan buat bodoh terhadap gewang.
Oleh itu kita harus rajin menukar gewang untuk mencari apa yang membuka seleranya.
2. Gewang yang sesuai untuk casting ikan bulan
Disebabkan ikan gemar bermain di berdekataan permukaan, maka jenis gewang yang efektif untuk menggoda ikan bulan adalah:
- Popper kecil
- Sesudu
- Minnow
- Soft plastic
- jig mikro
Oleh kerana ikan ini jarang melebihi saiz 1kg, maka penggunaan gewang yang kecil (tidak melebihi 7cm) adalah lebih praktikal.
Gewang yang berkilat selalunya lebih mudah menarik perhatian ikan ini.
Jika anda seorang pemancing fly, ia juga adalah satu teknik yang terbukti lebih efektif untuk menggoda ikan bulan.
Namun perkara yang paling penting adalah menggunakan mata kail yang tajam dan kuat.
Ini kerana ikan bulan mempunyai rahang yang keras, menyukarkan kita membuat solid hookup.
Selain itu, ia spesis yang gemar melompat.
Sejurus menyedari dirinya sudah terperangkap, ia akan melakukan lompatan akrobatik yang akan membuatkan gewang tercabut dari mulutnya sekelip mata.
Inilah yang menjadikan pemburuan ikan sangat thrill.
3. Peralatan yang seimbang dan sesuai untuk sang bulan
Oleh kerana penggunaan gewang yang kecil, maka kita perlu down size rod dan reel yang hendak digunakan.
Peralatan kelas ringan akan memudahkan persembahan gewang bersaiz kecil dengan lebih efektif.
Malah ia akan memberi kepuasan yang maksimum dalam melayan spesis ini.
Saya gemar menggunakan set ringan berkekuatan 4-10lb dengan tali utama 6lb. Penggunaan perambut fluorocarbon yang kecil sudah memadai.
Jangan risau, ikan bulan tidak gemar bermain kotor membawa tali ke celah reba. Lagi pun saiznya jarang mencapai saiz 2kg.
Apa yang menjadi senjata sulitnya adalah lompatan akrobatik yang kerap kali mengecewakan pemancing.
Yang penting adalah bertenang dan jangan gopoh.
Mari kita lihat video pemburuan spesis ini yang dirakamkan oleh sifu Ahmad Radhafizal
Menarik dan sangat racun bukan?
4. Masa yang sesuai untuk casting
Tarpon atau Bulan biasanya aktif pada waktu awal pagi (selepas subuh) sehinggalah matahari memancar terang sekitar jam 9.
Selain itu, ia juga aktif pada waktu petang sehingga maghrib, iaitu ketika waktu semakin redup.
Kita boleh mengesan keaktifan spesis ini melalui boiling yang dilakukan dipermukaan air.
Pada waktu tengah hari biasanya ikan bulan akan menghilangkan diri dan sukar untuk dikesan.
Game fish yang kurang popular di negara kita..
Ikan ini memang kurang popular dikalangan pemancing negara kita berbanding Siakap dan Toman.
Ini mungkin disebabkan oleh beberapa sebab.
Antaranya adalah:
- Bukan ikan yang sedap dan banyak tulang
- Saiznya yang kecil berbanding saudaranya di kawasan Amerika Utara
- Kita mempunyai waktu yang terhad untuk memburunya. Sama ada awal pagi mahupun lewat petang.
Jika anda masih belum ada lesen spesis bulan, maka sudah tiba masanya anda cuba menduganya.
Spesis ini mungkin tidak besar dari segi saiz, tapi kepakarannya melompat dan meloloskan diri akan memberi thrill kepada pemburunya.
Kick dia memang lain macam!
Jika terdapat sebarang kesilapan pada artikel ini, mohon nyatakan pada ruangan komen dibawah.
Majulah sukan memancing untuk negara!
Tinggalkan Komen Anda..
terbaik lah bossku.. sebelum saya try nak dapatkan lkan ni guna soft lure dan cara dia melepaskan diri memang betul2 thrill.. memang mencabar kesabran saya. terbaik boss
. teruskan usaha anda dalam membuat content yang senang dipahami
Terima kasih sudi singgah sini :-)
yaa betul, ikan bulan mudah di kesan pada waktu awal pagi dan lewat petang, pada tengah hari amat sukar untuk mencari, terbaik boss!
Ya, tengah hari baik kita fokus kepada ikan target yang lain.
Teruskan Content2 tuan, kami sgt menghargai usaha tuan.. terima kasih dan mohon halalkan ilmu nya
Sama-sama sifu.
Dekat 2 tahun dah saya tak update apa-apa kt blog ni.. ????
Saya saat ini lebih mendalami casting ikan tarpon ini.. Krn bagi saya ikan ini adalah ikan penari yg indah
Ya, ikan ini memang sangat menawan.
Pagi tadi, lepas beratus-ratus kali cast kat kolam BELLA VISTA (Langkawi) baru dapat. That is FIRST Bulan for me. Memang best. Dia punya gegaran dan kelenturan pada rod , lompatan akrobatiknya , kekuatan n kelajuannya dan keHANYIRANnya,,,fuhh. Best !!
Mantap kan… Pakai set UL lagi mengegar jiwa