Ikan adalah makhluk yang mempunyai deria yang luar biasa. Ia membolehkan mereka bernavigasi dan memburu dalam persekitaran lautan yang luas dan kompleks.
Memahami bagaimana deria ikan ini berfungsi, terutamanya deria pendengaran dan penglihatan mereka, boleh memberikan kelebihan besar kepada kita sebagai pemancing.
Artikel ini akan berkongsi dengan lebih mendalam bagaimana ikan mendengar dan melihat, serta bagaimana pengetahuan ini boleh dimanfaatkan dalam teknik memancing seperti jigging.
Deria Pendengaran Ikan
Ikan mempunyai sistem pendengaran unik di sepanjang lateral line pada badan mereka.
Lateral line ini menjadikan mereka sangat peka terhadap sebarang bunyi. Ini kerana ikan sememangnya memburu dengan menggunakan gelombang bunyi.1
Manusia boleh mendengar bunyi antara 20Hz hingga 20,000Hz, manakala julat pendengaran ikan pula adalah diantara 5Hz hingga 2000Hz — ini bermaksud ikan lebih peka terhadap bunyi yang bernada rendah.2
Semasa memancing, kita perlu berhati-hati dengan bunyi yang dihasilkan oleh tali pancing. Pemancing yang menggunakan umpan tiruan cenderung untuk menggerakkan tali dengan aktif, seterusnya menghasilkan banyak gelombang bunyi dalam air.
Tali yang tebal sememangnya lebih kuat, tetapi tali yang lebih halus adalah lebih sensitif dan peka dengan pergerakan umpan termasuklah jig.
Fakta ini perlu diambil kira semasa memancing. Ketika kita menggunakan tali pancing yang tebal semasa jigging, ia seolah-olah seperti memancing dengan jig sepanjang 5 meter — menunjukkan betapa kuatnya bunyi yang terhasil.
Apa yang saya cuba sampaikan disini:
Menggunakan tali yang halus dan menggerakkan jig dengan perlahan boleh menghasilkan getaran yang lebih menyerupai pergerakan semulajadi dalam air, dan akan menarik perhatian ikan tanpa menakutkan mereka.
Oleh itu, mengetuk dasar laut untuk menghasilkan bunyi dianggap sangat berkesan semasa jigging. Gangguan kecil seperti ini akan menyerupai sesuatu haiwan yang sedang mencari makan dan akan ia menarik perhatian ikan pemangsa yang lain.3
Sebenarnya ikan hidup dalam dunia bunyi. Bunyi bergerak dalam air dengan lebih cepat dan lebih jauh berbanding di udara, manakala cahaya tidak bergerak dengan baik dalam air. Oleh itu, ikan tidak bergantung sepenuhnya kepada penglihatan seperti manusia.
Inilah sebabnya mengapa ikan lumba-lumba telah berevolusi dan mengembangkan sistem pendengaran canggih yang dikenali sebagai echo-location untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran bawah air.
Oleh itu, semasa memancing, penting untuk meminimalkan bunyi yang boleh menakutkan ikan. Apabila ikan melihat jig kita, mereka mungkin akan berada dalam situasi dilema sama ada untuk menerkamnya atau sebaliknya menjadi lebih berwaspada.
Teknik jigging memanfaatkan sensitiviti ikan terhadap bunyi dan getaran. Kita perlu memastikan jig kita kelihatan se-natural mungkin supaya ikan tidak merasa takut. Pergerakan tali pancing yang mendadak akan menghasilkan gelombang bunyi dalam air. Oleh itu, penting untuk mengangkat jig dengan lembut selepas setiap jatuhan dan memastikan pergerakan jig semulajadi yang mimik ikan mangsa yang sedang sakit.
Oleh sebab inilah teknik slow jig sangat berkesan kerana ia memberi masa kepada jig untuk berenang secara bebas.
Deria Penglihatan Ikan
Ikan mempunyai penglihatan yang sangat lemah.
Mereka tidak dapat melihat bentuk dengan jelas tetapi sangat peka terhadap pergerakan.
Ikan akan mengelak daripada apa-apa yang bergerak datang ke arah mereka, sama seperti kita yang menjauhi serangga yang terbang ke arah kita.
Mereka juga akan mengejar apa-apa yang lari daripada mereka.4 Apabila ikan pemangsa menyerang sekumpulan ikan kecil, mereka akan menyasarkan mangsa yang tidak dapat berenang dengan baik, kelihatan lemah atau cacat.5
Oleh itu, kita perlu fokus mencipta pergerakan jig yang kelihatan semulajadi tetapi juga berbeza. Inilah sebabnya kita seboleh-bolehnya membiarkan jig berenang sendiri dan memberi masa melayang (hangtime) yang lama dan sebanyak yang mungkin.
Ikan di kawasan pesisiran lebih peka terhadap warna, manakala ikan di lautan dalam pula lebih peka terhadap kontras.
Untuk teknik jigging, kontras adalah lebih penting kerana ikan lebih tertarik kepada pergerakan jig yang kelihatan berbeza dan turut menghasilkan bunyi.
Oleh itu, pergerakan umpan yang semulajadi tetapi berbeza sangat penting dalam menarik perhatian ikan.
Konsep Masa Dalam Dunia Ikan
Kita harus faham bahawa dalam dunia ikan, mereka lebih peka terhadap pergerakan berbanding melihat bentuk.
Oleh itu, teknik jigging yang meniru gerakan ikan yang cedera atau panik boleh sangat efektif.
Jenis pergerakan yang dicari oleh ikan pada mangsa mereka adalah:
- A — Gerakan yang tidak teratur atau terganggu, berpusing-pusing
- B — Terpisah daripada kumpulan, gerakan panik
- C — Tidak sedarkan diri, gerakan terampai seperti ikan sakit
Situasi C adalah keadaan yang paling disukai.
Inilah kelebihan utama teknik slow jigging kerana ia membolehkan jig bergerak dengan pergerakan mendatar kecil yang berterusan, menyerupai ikan yang lemah atau cedera, yang lebih menarik perhatian ikan pemangsa.
Jika anda juga seorang kaki mengilat (casting) dan pernah menggunakan gewang jerkbait, anda akan faham mengapa gewang tersebut sangat berkesan pada hari dimana gewang lain tidak dihiraukan oleh ikan. Ini kerana sifat jerkbait yang mengampai (suspending) seolah-olah menyerupai ikan sakit dan tidak sedarkan diri.
Konsep masa bagi ikan adalah 55 kali lebih cepat berbanding manusia. Ini bermakna mereka dapat melihat segala-galanya dalam gerakan slow-motion 55 kali ganda. 1 saat pergerakan bagi kita adalah ibarat seperti 1 minit pergerakan perlahan bagi mereka. Inilah bagaimana ikan dapat melihat objek yang bergerak pantas dengan tepat.6
Persepsi masa yang cepat ini adalah penting bagi ikan pemangsa untuk mengenal pasti dan mengejar mangsa yang lemah atau cedera.
Kajian menunjukkan bahawa ikan pemangsa sering menyasarkan mangsa yang lebih mudah ditangkap kerana mereka menunjukkan tanda-tanda kelemahan atau kecederaan, yang biasanya melibatkan pergerakan yang tidak teratur atau lambat.7
Di dalam persekitaran lautan, objek yang bergerak perlahan akan kelihatan seperti ia terampai (suspending) atau tergantung didalam air. Oleh itu, pergerakan slow jig memanfaatkan konsep masa ikan ini dengan sebaiknya.
Setiap pergerakan adalah gerakan perlahan bagi ikan. Ia adalah sesuatu yang baik untuk diketahui oleh para pemancing untuk diaplikasi semasa memancing.
Apa Yang Boleh Kita Ambil Daripada Sifat Ikan Ini?
Untuk memaksimumkan hasil memancing, adalah penting untuk memahami bagaimana ikan mendengar dan melihat persekitaran mereka.
Dengan memanfaatkan pengetahuan tentang bagaimana ikan mendengar dan melihat, kita boleh menyesuaikan teknik memancing kita untuk meningkatkan peluang mendapatkan tangkapan yang baik.
Apa yang penting adalah untuk sentiasa meminimalkan bunyi yang tidak perlu dan meniru pergerakan semulajadi ikan mangsa.
Dengan pengetahuan ini, insyaAllah peluang mendapatkan hasil akan lebih cerah dan terbuka.
Rujukan
- “The Lateral Line System in Fish: Structure, Function, and Role in Behavior” di laman web ResearchGate. ↩︎
- Dr. Mark Burdass, Understanding A Fish’s Hearing, AnglingTimes [pautan] ↩︎
- Mr Totos, What We Want To Know About Fish, Japanese Angler’s Secret [pautan] ↩︎
- Josie F. Turner, Fish Chasing Each Other – All Possible Reasons, AnimalWise [pautan] ↩︎
- Seth Horne, Fishing Stickbaits for Pelagic Heavyweights, In The Spread [pautan] ↩︎
- Candice GA, How Animals Perceive Time, Natural Habitat Advanture [pautan] ↩︎
- Prof Masanori Koda,First discovery of a fish that can see itself in a mirror, Osaka City University [pautan] ↩︎
Tinggalkan Komen Anda..