Kenapa Ikan Pemangsa Suka Menyerang Dari Kawasan Teduh?

tempat teduh ikan kerapu

Jika kita sudah lama dalam bidang casting, pasti kita akan terperasan satu perkara:

— Ikan suka menyerang gewang dari tempat teduh.

Mengapa ikan suka berada di tempat teduh?

Ini adalah satu persoalan yang sering bermain di fikiran saya sejak sekian lama.

Sebenarnya tempat teduh adalah kawasan strategik untuk membuat serang hendap.

Ikan pemangsa tahu dan mereka sangat mahir menggunakan kawasan teduh ini sebagai gelanggang untuk ‘skodeng’ mangsa.

Sama ada bersembunyi di bawah bot atau dermaga, menyerang mangsa pada waktu subuh apabila keamatan cahaya rendah atau bersembunyi di belakang reba tenggelam di sungai — pemangsa kerap menggunakan teduhan untuk meningkatkan peluang kejayaan apabila mencari makan.

Mengapa Kawasan Teduh Begitu Strategik Buat Ikan?

kawasan teduh ikan

Untuk memahami nilai kawasan teduh sebagai daya penarik ikan, cuba fikirkan perkara ini:

Dalam permainan maut pemangsa dan mangsa, kepekaan awal untuk mengesan mangsa atau lawan akan memberi impak yang sangat besar.

Malah, perbezaan 1-2 saat pun akan menentukan jawapan diantara kematian atau terus hidup.

Banyak pemangsa menggunakan teduhan untuk mendapat kelebihan, kerana ikan di tempat teduh dapat melihat ikan yang berada dalam cahaya matahari kira-kira 2.5 kali lebih jauh.

Ini disebabkan kerana kepekaan mata ikan terhadap cahaya ditentukan oleh kecerahan persekitarannya.

Cahaya matahari yang memasuki air akan terpantul dengan zarah-zarah terapung dan bahan organik yang memberikan air warna.

Pantulan ini memantulkan cahaya ke segenap arah, ke atas, ke bawah dan ke tepi, dimana ia membuatkan air menjadi cerah di bawah sinar matahari.

Dalam keadaan cahaya yang terang, mata ikan akan disesuaikan dengan keadaan kecerahan sekeliling dengan mengurangkan tahap kepekaannya.

kawasan teduh persembunyian ikan

Sebaliknya, jika mata ikan di bawah kawasan teduh, ia akan disesuaikan pula dengan tahap cahaya yang lebih rendah dan seterusnya akan menjadi lebih sensitif terhadap sebarang pergerakan dari jarak jauh.

Untuk memahami fenomena ini, cuba bayangkan kita memasuki terowong gelap dari cahaya matahari yang cerah.

Apabila kita berdiri di bawah sinar matahari dan melihat ke dalam terowong gelap, kita hanya akan dapat melihat sangat sedikit cahaya di dalamnya.

kawasan teduh

Bagaimana pun, apabila kita telah memasuki kawasan gelap, dan memberi masa kepada mata kita untuk menyesuaikan diri – bukan sahaja kita dapat melihat persekitaran kita, tetapi  kita juga boleh melihat objek lain di bawah cahaya matahari.

Mata kita akan menjadi 20% lebih sensitif berbanding ketika berada di bawah sinar matahari.

Saya rasa anda sudah faham.

Kelebihan Tempat Teduh Kepada Pemancing

memancing siakap merah dan kerapu - Zerek
Ikan kerapu gemar melakukan serang disebalik kawasan teduh dan berstruktur

Tempat yang teduh akan menawarkan kelebihan yang besar terhadap pemangsa atau mangsa – bergantung kepada pihak yang mana mendapatkannya terlebih dahulu.

Inilah salah satu sebab mengapa kawasan struktur sangat penting untuk memancing.

Siakap merah di belakang tunggul, kerapu di dalam saluran atau ikan tamban di bawah unjam di lautan, semuanya menggunakan kelebihan teduhan bayang-bayang.

Malah siakap putih, yang bersembunyi di pinggiran parit kecil yang menyalurkan air keruh masuk ke dalam air muara yang bersih dan lebih cerah – juga turut mendapat kelebihan teduhan.

Kesan “Silau” yang membantu keberkesanan gewang

Walaupun ikan pemangsa ada kelebihan di tempat teduh, namun terdapat satu kesan sampingan yang perlu mereka hadapi.

Pemangsa yang melakukan serang hendap dari kedudukannya di tempat teduh akan “silau” buat sementara waktu apabila ia menerjah ke kawasan cerah di bawah sinar matahari untuk menelan mangsanya.

Cuba bayangkan ada orang menyuluh cahaya ke muka kita. Pasti kita berasa keliru bukan?

Jadi, bagaimana kesan ini akan memberi kelebihan kepada kita?

Kesan silau ini dapat membantu kita sebagai pemancing, kerana pada waktu ini ikan tidak dapat membezakan gewang dan makanan yang betul dalam saat-saat terakhir serangannya.

Walau bagaimanapun, disebabkan kesan silau ini (seperti berjalan keluar dari terowong), ikan hanya berani melalukan serangan dalam radius jarak yang dekat sahaja dari tempat persembunyiannya.

Penglihatannya tidak akan cukup jelas untuk membuat cubaan mengejar yang serius.

Jadi, jika ia rasa tidak dapat membuat “serangan maut” dari tempat persembunyiannya, ikan tersebut hanya akan menunggu peluang lain datang.

Satu perkara penting yang perlu anda ingat ialah tabiat buruan bagi pemangsa.

Kebanyakan ikan pemangsa lebih suka dengan kerja mudah – macam manusia juga.

Fenomena ini boleh diterangkan dari hubungkait antara penggunaan tenaga dan tenaga yang bakal diperolehi.

Jika penggunaan tenaga lebih besar diperlukan untuk mendapatkan makanan itu berbanding tenaga yang bakal diperolehi, ikan terutama ikan besar tidak akan mengejar mangsanya dengan serius.

Ikan pemangsa jarang menyerang ikan kecil yang telah mengesan kehadirannya, atau ikan kecil yang mengekalkan jarak tertentu dari pemangsa.

Pemburuan di habitat semulajadi bukanlah mudah, kebarangkalian untuk terlepas sia-sia adalah tinggi dan membazirkan banyak tenaga.

Oleh itu, ia tidak berbaloi dengan pelaburan tenaga yang bakal dilakukan.

Tabiat ikan ini menjelaskan kepada kita mengapa perlunya lontaran yang tepat.

Ikan yang sedang diburu selalunya akan berasa takut untuk menghampiri kawasan teduh dan menganggap ia kawasan bahaya.

Kadangkala, ikan kecil tidak mempunyai peluang yang besar untuk mengelakkan risiko bahaya.

Ini terutamanya apabila mereka terpaksa melalui saluran air yang sempit dan kebanyakkan tempat disepanjang saluran itu dipayungi oleh bayangan (contohnya pokok-pokok di kiri dan kanan saluran itu)

Sekiranya anda menjumpai tempat sebegini, cuba meluangkan sedikit masa melontar gewang kerana selalunya ada pemangsa bersembunyi di sana.

Sebarau suka menggunakan kawasan teduh sebagai kelebihan kepada mereka dan sering bersembunyi di bawah teduhan batu dan pokok disepanjang tebing sungai.

Pemangsa yang bersembunyi di sini, mereka mempunyai kelebihan untuk memintas mangsa yang bergerak ke hilir sungai.

Penutup: Sasarkan Kawasan Sebegini..

Kesimpulannya kita perlu aktif mencari kawasan teduh dan menyasarkan kawasan itu.

Dan juga kita perlu ingat, ikan kecil adalah takut pada bayangan dari atas atau luar air.

Mengapa?

Sebab burung juga sering menyasarkan ikan sebagai dietnya. Jadi ikan akan sentiasa berwaspada terhadap ancaman sebegini.

Jadi cuba untuk elakkan bayangan kita dari air sepanjang masa.

Jika terdapat kesalahan fakta atau teknikal, mohon perbetulkan saya agar sama-sama kita dapat menimba ilmu dalam dunia memancing.

Akhir kata, kumpau itu indah! ????

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

3 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
En. Bezita
En. Bezita
4 tahun yang lalu

Terima kasih tuan atas perkongsian.

Wan79
Wan79
6 tahun yang lalu

Terbaekkk…!!!????????