Mengapa Umat Islam Lemah, Mundur & Tidak Produktif Di Dunia Pada Zaman Ini?

Umat IslamKita semua mungkin tertanya-tanya:

Jika benar Islam mempunyai segala nilai dan kaedah untuk merangsang produktiviti kehidupan, jadi mengapa umat Islam adalah diantara umat yang paling lemah, mundur & tidak produktif di dunia pada hari ini?

Ini adalah satu persoalan yang sukar untuk dijawab.

Selalunya kita senang untuk menyalahkan “faktor dan pihak lain” sebagai alasan kepada keadaan umat kita.

Namun, kita lupa untuk melihat kepada diri sendiri dan bertanya, “Mengapa?”

  • Mengapa kita mempunyai tahap buta huruf tertinggi di dunia walaupun kita ummah yang diarahkan untuk membaca (iqra)?
  • Mengapa kita mempunyai tahap pengangguran tertinggi di dunia walaupun kita ummah bekerja (i’malou)?
  • Mengapa kita mempunyai jumlah pemenang Anugerah Nobel paling sedikit jika kita umat berfikir (tafakur)?

 

Kita Perlu Tahu Bahawa Umat Islam Pada Waktu Dahulu Bukanlah Begini

Malah kita umat yang mempunyai sejarah yang gemilang.

Tamadun Islam telah memerintah dunia hampir 900 tahun.

Umat Islam terdahulu sangat berusaha, produktif dan telah membuat penorakaan terhadap penemuan baharu dalam pelbagai bidang sains dan budaya..

.. yang akhirnya tersebar ke seluruh dunia!

Namun sepanjang perjalanan ini, umat Islam telah menjadi begitu mundur.

Bukan kerana penjajahan atau faktor luaran yang selalu kita salahkan

— tetapi sebenarnya disebabkan oleh salah faham yang telah masuk ke dalam minda umat Islam itu sendiri, tanpa sedar!

Saya mula menyedari tentang salah faham ini dan impaknya kepada ketiadaan produktiviti umat selepas membaca buku The Productive Muslim, Tulisan Mohammed Faris

Dia mendedahkan bahaya sesetengah salah faham ini yang telah memberikan kesan kepada pembangunan umat.

Di sini saya nyatakan lima salah faham yang beliau huraikan:

1# Menganggap Dunia Adalah Tidak Penting

Mengapa umat Islam mundur dan lemah?

Kerap kali kita dengar bahawa kita harus menjauhi dunia untuk mengelakkan daripada terjatuh ke dalam perangkap-perangkapnya yang jahat.

Ayat ini sering diperkatakan oleh individu-individu yang ‘konservatif‘.

Mari kita rujuk kembali ayat-ayat al-Quran tentang dunia. Kita akan menjumpai perkara yang menarik.

Kita akan menyedari bahawa tiada satu ayat pun meminta kita secara spesifik untuk menjauhi dunia atau membencinya.

Tiada langsung.

Tunggu!

Apakah penjelasan bagi ayat-ayat di bawah ini?


Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah permainan dan kelalaian, dan sesungguhnya negeri akhirat itulah sebaik-baiknya bagi orang yang bertakwa.

Surah Al-An'aam ayat 32

Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia ini sebagai ganti kehidupan kamu di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit

Surah At-Taubah ayat 38

Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sesekali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu

Surah Faathir ayat 5

Baca sekali lagi ayat-ayat di atas tersebut.

Apa yang ia perkatakan?

Ayat-ayat di atas memperkatakan tentang membenci “kehidupan dunia”, bukan dunia itu sendiri.

Ya, al-Quran menyatakan perbezaan yang jelas tentang kedua-duanya.

Apabila dunia disebut secara sendiri di dalam al-Quran, ia selalunya dalam konotasi yang positif.

Tetapi bila hayatul-dunia (kehidupan dunia) disebut, ia dalam konotasi negatif seperti dalam contoh di atas.

Disini saya lampirkan ayat-ayat al-Quran yang bercakap tentang dunia dalam perspektif positif:


Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.

Surah al-Baqarah ayat 201

Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Surah an-Nisaa ayat 134

Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.

Surah al-Imraan ayat 148

Jika dunia ini sangat jahat dan kita sepatutnya mengabaikannya terus, jadi mengapa Allah bercakap tentang dunia dengan begitu positif di sini?

Maka kita perlu menjelaskan perbezaan ini dan menerangkan kembali mesej Allah ini.

Tiada salahnya hidup di dunia ini serta menjadikannya lebih baik untuk masyarakat dan kemanusiaan.

Islam hanya datang untuk membuang kecintaan melampau terhadap nikmat dunia sehingga meletakkan kecintaan tersebut lebih tinggi berbanding mencari keredhaan Allah.

Malang sekali, kita hidup di dunia di mana Muslim (malah muslim yang mempraktikkan agama) menggunakan slogan “membenci dunia” sebagai alasan untuk tidak produktif.

Bila kita memberitahu mereka tentang masyarakat lain yang sedang maju dan bertanya mengapa kita tidak mendahului dalam banyak bidang, mereka hanya menjawab, “Oh, biarlah mereka mendapat dunia, kita akan mendapat akhirat.”

Seolah-olah kedua-duanya tiada kaitan langsung!

Padahal dunia adalah ladang kepada akhirat.

Di sinilah kita menanam perbuatan baik dan membaiki masyarakat dengan harapan mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat.

Kedua-dua dunia dan akhirat ini saling berkait rapat.

Bayangkan jika para sahabat Nabi Muhamad SAW dan tabiin mempunyai salah faham yang sama.

Bayangkan jika mereka abaikan dunia dan berpegang kepada “Biarkan orang bukan Islam mendapat dunia, kita akan mendapat akhirat”.

Anda rasa adakah Islam akan mencapai zaman kegemilangan? Saya meraguinya.

Maka, mari kita buang salah satu salah faham ini dan tidak menjadikannya sebagai ‘kambing hitam’ kepada nasib malang dan keadaan kita yang lemah.

Dengan membetulkannya, kita boleh melahirkan generasi muda Muslim yang mempunyai keyakinan untuk mengejar dunia demi kebaikan akhirat..

.. serta menjadi masyarakat dan manusia yang lebih baik.

 

2# Bergantung kepada Doa Semata-mata

Berdoa

Salah faham kedua yang sering memberi kesan terhadap produktiviti kita adalah berkaitan perkara ini.

Apabila seseorang berdepan dengan cabaran, dia akan disuruh berdoa.

Tiada pekerjaan? Berdoa.

Tiada pasangan? Berdoa.

Bisnes sedang jatuh? Berdoa.

Seolah-olah kita memberikan harapan palsu bahawa keajaiban akan berlaku.

Jika tiada apa yang berlaku, kita akan memberitahu “Mungkin sesuatu yang lebih baik akan berlaku kepada kamu, bersabar sahajalah”.

Untuk penjelasan:

— Saya bukan mahu merendah-rendahkan kekuatan doa.

Tetapi apa yang ingin saya tekankan disini adalah kebergantungan hanya kepada doa untuk mengubah keadaan tanpa berusaha untuk mendapatkan apa yang dihajati.

  • Jika kita sedang mencari pasangan, jaga diri kita. Perbaiki tingkahlaku, penampilan, berhubung dengan orang yang mungkin boleh memperkenalkan dengan bakal pasangan, lakukan taaruf. DAN berdoa.
  • Jika bisnes kita sedang merudum, cari puncanya, ubah model bisnes, perbaiki skill pengurusan kita, DAN berdoa.
  • Jika kita akan menghadapi peperiksaan minggu depan, kita perlu belajar, ulang kaji, DAN berdoa.

Adakah anda nampak apa yang ingin saya sampaikan?

Doa bukannya suatu topang spiritual. Ia tidak mengganti usaha dan produktiviti kita.

— Ia berfungsi sebagai perangsang spiritual yang membawa kepada hasil berdasarkan usaha yang dilakukan.

Inilah maksud doa yang difahami oleh Rasulullah SAW dan nabi-nabi sebelum baginda, yang berdoa setelah mereka melakukan semua pilihan yang ada.

Di sini ada beberapa contoh:

  1. Nabi Nuh a.s berdoa selepas menyeru umatnya selama 950 tahun.
  2. Nabi Ibrahim a.s berdoa selepas membawa keluarganya ke tanah gersang dan setelah membina Kaabah.
  3. Nabi Musa a.s berdoa selepas berjaya melepaskan diri daripada Firaun.
  4. Nabi Muhammad SAW berdoa sebelum Perang Badar selepas membuat segala keputusan ketenteraan dan semua langkah berjaga-jaga untuk memastikan kemenangan ke atas tentera Quraisy.

Inilah di mana kuasa doa berada pada puncaknya.

Bukannya hanya duduk di rumah, berasa kasihan terhadap diri sendiri akibat kesusahan hidup lalu berdoa mengharapkan keajaiban.

Keajaiban berlaku kepada mereka yang berusaha keras dan berdoa.

Jadilah seperti peladang; yang melaksanakan tugas membajak tanah, menanam benih, menyiram tumbuhan DAN berdoa kepada Allah agar dihantar hujan serta cuaca yang baik untuk musim penuaian.

Jangan menjadi peladang yang hanya duduk di anjung rumah setiap hari sambil berdoa untuk hujan tetapi tanah pun tidak disiapkan!

 

3# Bersabar Yang Tidak Kena Tempat

Satu lagi salah faham yang membunuh produktiviti adalah pemahaman di mana apabila berlaku sesuatu yang buruk kita patut bersabar.

Memang kita perlu bersabar dan tabah, tetapi selalunya kita tersilap faham sehingga menjadi pasif.

Hanya duduk dan menunggu supaya keadaan buruk bertukar baik.

Ia jauh daripada maksud yang dikehendaki daripada konsep sabr (kesabaran).

Islam adalah sabar seperti kaktus

Maksud sabar yang sebenar boleh dipelajari daripada pokok sabbar (kaktus) yang berupaya hidup di padang pasir yang ekstrem, dan masih berbuah!

Ia melakukan dengan menyerakkan akarnya, menyerap kelembapan dari tanah dan udara serta menyimpannya buat masa yang lama.

Beginilah bagaimana kita patut bersabar — bukan hanya menunggu dengan pasif, tetapi kita perlu berusaha gigih demi kelangsungan hidup dan mendapat hasilnya.

Jika Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya mempraktikkan kesabaran sebagaimana kita bersabar pada hari ini, mereka tidak akan meninggalkan Mekah.

Mereka hanya akan menunggu sehingga orang Mekah dengan ajaibnya bertukar menjadi lembut terhadap mereka.

Tapi ini bukan cara mereka diajar bersabar, sebagaimana Allah berfirman dalam al-Quran:

Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati daripada rasul-rasul telah bersabar.

Surah al-Ashqaaf ayat 35

Allah sedang mengingatkan Rasul-Nya tentang ketabahan rasul-rasul terdahulu demi menyampaikan risalah kepada ummah.

Kita sangat memerlukan kesabaran dalam menjalani kehidupan peribadi kita dan sebagai satu ummah.

Bukan hanya sabar pasif, tetapi sabar aktif yang menggunakan semua cara yang diperlukan untuk memperbaiki keadaan kita, untuk menjadi lebih produktif dan mendapat hasil yang positif.

 

4# Soleh Hanya Dikaitkan Dengan Ibadah

Apabila kita cuba membayangkan seseorang yang soleh, apa yang pertama sekali terlintas di fikiran kita?

Mungkin perkara yang mula-mula terlintas dalam kepala kita adalah seorang yang tidak pernah gagal solat lima kali sehari, berpuasa sekali dua seminggu, sentiasa bersedekah untuk kebaikan dan wajib membaca al-Quran setiap hari.

Kita telah mengaitkan kesolehan seseorang dengan perbuatan melakukan ibadah sahaja dan tiada selainnya.

Namun ini adalah kefahaman yang sangat sempit untuk memahami konsep soleh.

Pemahaman yang lebih luas tentang kesolehan adalah seseorang manusia yang melakukan apa jua kebaikan dengan ikhlas kerana Allah, yang mempunyai natijah positif untuk dirinya dan orang lain.

Pemahaman ini digambarkan dalam hadis daripada Anas bin Malik RA:

Sekiranya mana-mana orang Islam menanam sebuah pokok dan seorang manusia atau seekor haiwan memakan daripadanya, dia akan diberikan ganjaran seperti dia telah memberikan sebanyak itu kepada kebajikan.

— Bukhari

Untuk menjadi hamba yang soleh, kita perlu menjadi hamba yang produktif.

Bukan sahaja daripada soal spiritual, bahkan juga fizikal dan sosial.

Apabila kita telah meletakkan batasan kepada pemahaman kita berkenaan kesolehan kepada perbuatan ibadah semata-mata, kita telah mengurangkan atau membatalkan aspek kesolehan yang berada di luar sempadan diri kita.

Tambahan pula, kita telah mengabaikan peranan sebenar seorang yang soleh seperti firman Allah:

Dan sesungguhnya, telah Kami tulis di dalam (kitab) Zabur, sesudah (sesudah Kami tulis dalam) lohmahfuz, bahawanya bumi ini diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.

Surah Al-Anbiyaa’ ayat 105

Apakah yang dimaksudkan dengan mewarisi bumi?

Ia bermaksud menjadi pemegang amanah Allah di bumi dan menjadikan tempat yang lebih baik untuk didiami.

Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

Sekiranya kiamat datang dan salah seorang daripada kamu memegang pucuk pokok kelapa, hendaklah dia mengambil kesempatan untuk menanamnya walaupun sesaat sebelum berlakunya Kiamat.

Kita mungkin akan terfikir bahawa perkara soleh yang patut dilakukan apabila berlakunya hari Kiamat adalah untuk mula solat atau bersedekah.

Tidak!

Rasulullah SAW mengajar bahawa kesolehan sebenar adalah:

Sekalipun dunia bakal berakhir, keutamaan pertama kita adalah menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik

— walaupun hanya dengan benih terakhir!

 

5# Semua Takdir Telah Tertulis dan Ditentukan

Silap faham yang terakhir ini mungkin adalah yang paling berbahaya.

Ia satu suntikan maut yang mampu membunuh apa jua motivasi dalam diri seseorang untuk menjadi produktif, jika dia mempercayainya.

Berserah kepada takdir

Silap faham ini mengatakan bahawa jika semuanya telah ditakdirkan, mengapa perlu sibuk-sibuk lagi?

Mengapa perlu berkerja keras?

Mengapa perlu bersusah-payah belajar?

Dan banyak lagi..

Saya tidak mahu menyentuh tentang perdebatan teologi berkenaan takdir dan kehendak sendiri (freewill) serta bagaimana kita mengurus kepercayaan (belief) kita.

Saya bukanlah ilmuwan yang layak dan berdebatan ini mungkin sukar ditangani.

Namun saya hanya mahu memberikan tiga perkara untuk membantu kita memahami takdir daripada tiga persepektif:

1. Sebagai muslim, kita percaya dengan teguh bahawa Allah mempunyai ilmu yang tiada tolok bandingnya berkenaan apa yang zahir dan batin; masa lepas, masa kini dan masa hadapan.

Tambahan lagi, kita percaya bahawa tiada apa pun yang berlaku dalam alam ini tanpa kehendak-Nya.


2. Keduanya, kita juga percaya bahawa Allah telah memberikan kebebasan (freewill) kepada manusia untuk memilih apa yang mahu dilakukan dalam hidup mereka; bahawa Dia telah menciptakan bumi sebagai tempat ujian untuk kita mempraktikkan kebebasan ini untuk melihat siapa yang akan berjaya dan siapa yang akan gagal.

Allah berfirman dalam al-Quran:

Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Dia Maha Kuasa atas setiap sesuatu; Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

Surah Al-Mulk ayat 1-2


3. Walaupun Allah telah memberikan kita kebebasan untuk memilih, Dia tidak meninggalkan kita sendirian untuk mencari jalan yang benar.

Sebaliknya, dengan rahmat-Nya, Dia telah menghantar Rasul dan Kitab-Kitab di sepanjang sejarah manusia untuk mengajar kita jalan yang benar supaya kita mampu membuat keputusan yang betul dalam hidup.

Bagaimana tiga perkara ini dapat memberikan kita kefahaman tentang takdir?

Pertamanya, kita harus mengakui bahawa keputusan yang kita buat boleh membawa kita ke jalan yang benar.

Kedua, sekiranya kita berkeputusan untuk menjadi warganegara yang produktif dan hamba yang soleh, maka kehendak kita akan selari dengan kehendak Tuhan.

Maka Allah akan cenderung untuk menolong kita mencapai cita-cita.

Takdir tidak seharusnya dijadikan hujah untuk berkata, “Apa gunanya? Semua sudah tertulis”.

Sebaliknya, ia sepatutnya menjadi suatu kekuatan dalaman yang berkata, “Jika pilihan aku selari dengan apa yang Allah mahukan, maka aku akan berjaya di dunia ini dan di akhirat!”

Buktinya di dalam al-Quran:

Dan (ingatlah) tatkala Rab (Tuhan) kamu memberi peringatan: ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya ditambahkan (nikmat) kepada kamu, dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih’. “

Surah Ibrahim ayat 7

Dia juga berfirman:

Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki dan perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan.”

Surah Al-Nahl ayat 97

Kadangkala takdir juga mempunyai beberapa cabaran yang boleh membantutkan produktiviti kita (seperti penyakit, atau kemalangan yang menjadikan kita atau orang kesayangan kita lumpuh).

Dalam situasi seperti ini, seseorang mungkin akan mengalah dan mengadu kepada Allah tentang kecelakaan yang dia hadapi, bahkan mungkin mempersoalkan kepercayaan dalam dirinya.

Tetapi inilah situasi di mana sabar diperlukan, supaya natijah yang produktif terhasil.

Allah berfirman dalam Al-Quran:

Dan sesungguhnya kami akan timpakan kepada kamu ujian (yang berupa) sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.

Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (iaitu) orang yang apabila dia ditimpa musibah mereka mengatakan; ‘inalillahiwainalhirajiun (sesungguhnya kami daripada Allah dan kepada-Nya jualah kami kembali)’.

Mereka akan dikurniakan keberkatan daripada Tuhan mereka dan rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.”

Surah al-Baqarah ayat 155-157

 


 

Penutup: Mari Membetulkan Kekeliruan Kita Tentang Produktiviti Dalam Islam

Saya mendoakan agar kita semua akan mendapat kefahaman yang lebih baik tentang Islam.

Dan dapat melihat agama ini sebagai agama yang benar-benar memberikan inspirasi untuk kita menjadi produktif dalam setiap aspek kehidupan.

Artikel ini diharapkan dapat menjernihkan minda kita daripada silap faham yang telah meresap ke dalam minda kita selama ini.

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

12 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Azlando
Azlando
3 tahun yang lalu

Sebenarnya disini ada salah faham dari awal pencerahan…tiada seorang hamba Allah yang menolak dunia melainkan berpada pada kpd dunia..jika dilihat dgn mata kasar hakikatnya manusia rakus dgn keduniaan.Mereka hanya memikirkan dunia dan sedikit untuk akhirat.atas dunia ada 2 kelompok 1 kelompok suka mengejar dunia berlebih lebihan,mahu senang kaya bagai..hakikatnya tempoh menuju kejayaan mengambil masa lama,belum tentu yang dikejar kita akan dapat sekiranya Allah tidak mengizinkan..ramai pandai cakap rezeki tak salah alamat,tapi masih percaya dgn usaha sendiri rezeki tu dtg..jika faham maksud rezeki tak salah alamat adalah Allah sudah tetapkan rezeki setiap hambanya,dunia ini tempat persinggahan sementara,akhirat kekal selamanya.anda mesti tak pernah membaca cerita tukang kapak dan ahli kongres kaya..ada sebuah kisah seorang kaya raya yang menulis surat wasiat. Surat itu berisi, barang siapa yang mau menemaninya selama 40 hari di dalam kubur setelah mati, akan diberi warisan separuh dari harta peninggalan yang dimilikinya.Konglomerat itu bertanya hal tersebut kepada anak-anaknya, apakah mereka sanggup menjaganya di dalam kubur nanti. Namun, anak- anaknya justru menjawab tidak sanggup. Sebab, ketika mati, ayahnya sudah menjadi mayat.
Lantas dia memanggil semua adik-adiknya dan kembali bertanya, “Adik-adikku, sanggupkah diantara kalian menemaniku di dalam kubur selama 40 hari setelah aku mati nanti? Aku akan memberi setengah dari hartaku!” Adik-adiknya pun menjawab, tidak mungkin ada orang yang sanggup bersama mayat selama itu di dalam tanah.
Dengan perasaan sedih konglomerat tadi memanggil ajudannya, untuk mengumumkan penawaran istimewanya itu ke seluruh negeri.Akhirnya, sampai juga pada hari di mana konglomerat tersebut kembali ke Rahmatullah. Kuburannya dihias megah laksana sebuah peristirahatan termewah dengan semua perlengkapannya.
Pada waktu yang hampir bersamaan, seorang tukang kayu yang sangat miskin mendengar pengumuman wasiat tersebut. Dengan tergesa-gesa dia segera datang ke rumah konglomerat tersebut untuk memberitahukan kepada ahli waris akan kesanggupannya.
Keesokan harinya jenazah sang konglomerat dikebumikanlah. Si tukang kayu pun ikut turun ke dalam liang lahat sambil membawa Kapaknya, harta satu-satunya yang dimiliki untuk mencari nafkah.Setelah tujuh langkah para pengantar jenazah meninggalkan area pemakaman, datanglah Malaikat Munkar dan Nakir ke dalam kubur tersebut. Menyadari siapa yang datang, ia segera agak menjauh dari mayat konglomerat. Di benaknya, sudah tiba saatnya si konglomerat akan diinterogasi oleh Malaikat Munkar dan Nakir.
Tapi yang terjadi malah sebaliknya, Malaikat Munkar-Nakir malah menuju ke arahnya dan bertanya, “Apa yang kau lakukan di sini?”Aku menemani mayat ini selama 40 hari untuk mendapatkan setengah dari harta warisannya,” jawab si tukang kayu.
“Apa saja harta yang kau miliki?”, tanya Mungkar-Nakir.
“Hartaku cuma kapak ini saja, untuk mencari rezeki”, jawabnya.Kemudian Mungkar-Nakir bertanya lagi, “Dari mana kau dapatkan Kapakmu ini?”
“Aku membelinya”, balasnya.
Besok di hari kedua, mereka datang lagi dan bertanya, “Apa saja yang kau lakukan dengan kapakmu?”
“Aku menebang pohon untuk dijadikan kayu bakar, lalu aku jual ke pasar”, jawab tukang kayu.
Di hari ketiga ditanya lagi, “Pohon siapa yang kau tebang dengan Kapakmu ini?”
“Pohon itu tumbuh di hutan belantara, jadi tak ada yang punya”, katanya.”Apa kau yakin?”, lanjut malaikat.
Datang lagi di hari ke empat, bertanya lagi “Adakah kau potong pohon-pohon tersebut dengan kapak ini sesuai ukurannya dan beratnya yang sama untuk dijual?””Aku potong dikira-kira saja, mana mungkin ukurannya bisa sama rata”, tegas tukang kayu.
Begitu terus yang dilakukan Malaikat Munkar-Nakir, datang dan pergi sampai tak terasa sudah 39 hari dia berada di alam kubur. Dan yang ditanyakan masih berkisar dengan kapak tersebut.
Di hari terakhir hari ke-40, datanglah Munkar dan Nakir sekali lagi bertemu dengan tukang kayu tersebut, dan berkata “Hari ini kami akan kembali bertanya soal kapakmu ini”.
Belum sempat Munkar-Nakir melanjutkan pertanyaannya, si tukang kayu tersebut segera melarikan diri ke atas dan membuka pintu kubur tersebut. Ternyata di luar sudah banyak orang yang menantikan kehadirannya untuk keluar dari kubur tersebut.Si tukang kayu dengan tergesa-gesa keluar dan lari meninggalkan mereka sambil berteriak, “Kalian ambil saja semua bagian harta warisan ini, karena aku sudah tidak menginginkannya lagi.”
Sesampai di rumah, dia berkata kepada istrinya, “Aku sudah tidak menginginkan separuh harta warisan dari mayat itu. Di dunia ini harta yang kumiliki padahal cuma satu kapak ini, tapi selama 40 hari yang ditanyakan dan dipersoalkan oleh Malaikat Munkar-Nakir masih saja seputar kapak ini. Bagaimana jadinya kalau hartaku begitu banyak? Entah berapa lama dan bagaimana aku menjawabnya.”
Dari Ibnu Mas’ud RA dari Nabi Muhammad SAW bahwa beliau bersabda, “Tidak akan bergerak tapak kaki anak Adam pada hari kiamat, hingga ia ditanya tentang 5 perkara, yaitu umurnya untuk apa dihabiskannya, masa mudanya kemana dipergunakannya, hartanya darimana ia memperolehnya dan kemana dibelanjakannya, ilmunya sejauh mana diamalkan?” (HR. Turmudzi). 

Masih adakah lagi keinginan kemajuan berlebihan di atas dunia.sekarang dunia kita di bawah sistem dajjal,kita tak boleh nak maju jauh mana pun.. dunia ni tempat persinggahan yang penuh tipu daya,dunia ni tempat kita banyak menangis bukan tempat gembira.walau kau kejar dunia hebat mcmana pun kalau dah tertulis rezeki kau hanya begitu takkan boleh ubah..melainkan kau kafirkan diri kau main no ekor tak sembahyang,makan riba,main forex..nabi ajar berniaga je jalan mendapatkan rezeki halal tapi bukan modal rm10 jual rm30 rm40 itu dah riba..haram jangan gunakan alasan ramai pengedar or pekerja kena letak harga mcm tu..kau nk jual tapi pemalas suruh org lain jual gaji kau dah ada kat situ..lagi kena soal teruk nanti..lebih baik usaha sendiri masing2 Allah dah tetapkan rezeki..last,org islam tak malas tapi ada 2 kelompok 1 mengejar dunia 1 mengejar akhirat..yg mana suruh jadi kaya itu mengejar dunia dan tidak percaya pada ketentuan Allah..tidak percaya Allah dah tetapkan rezeki..boleh jatuh fasik jahil musyrik kafir..Allahua’lam

Rezal
Rezal
Reply to  Azlando
2 tahun yang lalu

Terima kasih atas perkongsian

ina
ina
5 tahun yang lalu

Ya betul

Norman Azri
Norman Azri
5 tahun yang lalu

Izin copy paste

ainun
ainun
5 tahun yang lalu

terima kasih

Salena
Salena
6 tahun yang lalu

Alhamdulilah, perkongsian yang menarik, terima kasih