Deria Bau Ikan: Bagaimana Ia Berfungsi?

Deria bau ikan

Adakah ikan mempunyai deria bau? Jika ada, bagaimana deria bau ikan berfungsi?

Adakah ikan tertarik dengan sesuatu bau perisa umpan atau ia hanya membuatkan mereka menjauhkan diri?

Dalam artikel ini, saya akan berkongsi apa yang pernah didedahkan oleh Dr. Mark Burdass1 berkaitan topik apa yang ikan boleh bau dan adakah perisa umpan sebenarnya berkesan atau tidak.

Kepentingan Bau Kepada Ikan

Di perairan sungai dan tasik di Malaysia yang sering keruh, ikan sangat bergantung kepada deria bau mereka.

Deria bau bukan sahaja membantu mereka mencari makanan, tetapi juga mengenal pasti pasangan dan mengesan kehadiran pemangsa, walaupun dalam keadaan penglihatan yang sangat terhad.2

Contohnya, ikan baung (Mystus Nemurus3), yang banyak terdapat di perairan Malaysia, menggunakan deria bau yang tajam untuk mengesan mangsa seperti serangga air, krustasea, dan bangkai. Keupayaan ini membolehkan ikan baung terus bertahan dan berkembang biak dalam persekitaran yang mencabar

Bagaimana Deria Bau Ikan Berfungsi?

Deria bau ikan sebenarnya sangat tajam kerana mereka mempunyai satu set lubang hidung yang terletak di muncungnya.

Lubang Hidung ikan

Deria bau ikan berfungsi melalui struktur yang dipanggil nares, atau lubang hidung, yang mengarahkan air ke dalam struktur lipatan kompleks yang dikenali sebagai rosette.

Rosette ini mempunyai ribuan sel deria yang boleh mengesan bahan kimia dalam air walaupun ia wujud pada kepekatan yang sangat rendah. Jumlah sel deria pada rosette ini boleh mencapai sebanyak 500,000 setiap milimeter persegi.

Lipatan tisu dalam rosette mencipta kawasan permukaan yang lebih besar, memberi lebih ruang untuk organ deria. Walaupun begitu, terdapat banyak variasi sensitiviti bau diantara spesies ikan yang berbeza.

Ikan seperti ikan Bawal Putih (Pampus Argenteus) yang juga ditemui di Malaysia, mempunyai struktur ini untuk membantu mereka dalam mencari makanan dan mengelakkan pemangsa

Apa Yang Ikan Boleh Hidu?

Anatomi Deria bau ikan

Ikan boleh mengesan pelbagai bahan kimia dalam air, terutamanya asid amino dan asid hempedu.

Asid amino adalah komponen penting yang berasal dari makanan semula jadi seperti cacing dan siput, yang membolehkan ikan mengikuti jejak bau ini.4

Di perairan Malaysia, ikan cyprinid seperti ikan Kelah (Tor tambroide) dan ikan Lampam Sungai (Barbonymus schwanenfeldii) sangat sensitif terhadap asid amino dan sering kali lebih cenderung untuk dirangsang oleh umpan yang mengandungi bahan ini​.

Asid hempedu pula dihasilkan oleh ikan selepas mereka mencerna makanan. Kehadiran asid hempedu menandakan terdapatnya aktiviti pemakanan di sesuatu kawasan, seterusnya akan menarik ikan lain juga untuk mencari makanan di situ.

Ini adalah salah satu sebab mengapa pemberian umpan atau disebut ‘merasuah ikan’ oleh pemancing secara berkala di kawasan tertentu boleh meningkatkan peluang untuk menangkap ikan.

Ikan juga boleh mengesan banyak bahan kimia yang kita tambahkan ke umpan untuk menjadikannya lebih menarik.

Jika makanan baru dengan bau unik diperkenalkan ke kawasan perikanan dan ikan telah belajar bahawa ia adalah makanan, mereka akan segera mencari bau itu untuk mencari makanan yang mereka kaitkan dengannya.5

Bagaimana Kita Boleh Aplikasikan Pengetahuan Ini Kedalam Aktiviti Memancing?

Di dalam kalangan pemancing Malaysia, penggunaan umpan yang berbau memang sudah lama dipraktikkan.

Contohnya adalah umpan ‘tapa’ yang sangat efektif menjerat ikan baung, iaitu sejenis umpan peram yang mengeluarkan bau yang sangat busuk dan kuat. Ia biasanya dibuat daripada campuran ikan, udang, atau bahan-bahan lain yang mudah diperam.

Umpan yang yang diperbuat atau ditambah bahan-bahan semula jadi ini lebih berkesan dalam menarik ikan, terutamanya cyprinid seperti ikan jelawat atau patin. Sebagai contoh, ikan baung dan keli yang sering ditemui di perairan umum air tawar di Malaysia menggunakan deria bau mereka untuk mengesan umpan yang mengandungi bahan-bahan ini​.

Walaupun Ikan mampu mengesan bahan perisa dan bau walaupun kuantitinya sedikit, namun kehadiran bahan-bahan ini dalam umpan anda tidak menjamin kejayaan. Terdapat perkara lain juga yang perlu dipertimbangkan.

Adakah bahan perisa daripada umpan kita benar-benar meresap keluar ke dalam air? Adakah terdapat jejak bau lain yang menyembunyikan bau umpan?

Ini adalah beberapa faktor yang harus dipertimbangkan:

  • Peresapan Bahan Perisa. Pastikan bahan perisa daripada umpan benar-benar meresap keluar. Umpan yang tidak melepaskan bahan kimia dengan baik tidak akan menarik perhatian ikan.
  • Bau Lain Menyembunyikan Bau Umpan. Bau lain dalam air boleh menyembunyikan bau umpan kita. Bau ini boleh datang dari sumber lain atau pencemaran.
  • Aliran Air. Aliran air boleh membawa jejak bau umpan ke kawasan yang lebih luas. Tanpa aliran air yang sesuai, bau umpan mungkin tidak sampai kepada ikan yang berada jauh.
  • Aktiviti Ikan. Adakah ikan cukup bergerak untuk mencari umpan? Ikan yang kurang aktif mungkin tidak menyedari kehadiran umpan kita.
  • Penggunaan Bau Yang Sama. Adakah bau ini telah digunakan banyak kali dalam kawasan perikanan tersebut? Ikan mungkin telah bijak dan mengabaikan bau yang sering digunakan kerana mereka telah belajar mengaitkannya dengan situasi bahaya.
  • Keutamaan Makanan. Ikan mungkin menumpukan perhatian kepada sumber makanan lain yang lebih menarik atau ruji bagi mereka, dan mengabaikan umpan yang dipersembahkan.

Adakah Perisa Tambahan Sebenarnya Berguna?

Perisa umpan semulajadi yang mengandungi asid amino dan asid hempedu adalah antara bahan kimia yang berkesan untuk meningkatkan keberkesanan umpan anda. Namun, menambahkan terlalu banyak perisa mungkin tidak memberi kesan yang diharapkan.

Spesies ikan seperti cyprinid sangat sensitif kepada bahan kimia. Oleh itu, penggunaan perisa sintetik yang terlalu tinggi boleh menyebabkan ikan menjauhkan diri, bukannya tertarik.

Oleh itu kita perlu berhati-hati dalam menambah perisa kepada umpan. Pastikan ia seimbang dan tidak berlebihan.

InsyaAllah, dengan memahami deria bau ikan boleh memberikan boleh memberikan sedikit sebanyak ilmu kepada kita.

Dengan pengetahuan ini, kita boleh mengoptimumkan strategi memancing terutamanya dalam hari-hari yang sukar.

Sumber Rujukan

  1. Dr. Mark Burdas, Understanding a fish’s sense of smell, Angling Times ↩︎
  2. Prof. Ester Desfilis, Why do fish have nostrils if they can’t smell in the water?, Metode Org ↩︎
  3. Gery Purnomo, Ikan Baung; Klasifikasi, Morfologi, Habitat Dan Lain-lain, Melek Perikanan
    ↩︎
  4. Dr. Sonnia Nzilani Musyoka, The red earthworm as an alternative protein source in aquafeeds, Global Seafood Alliance ↩︎
  5. René de Groot, Why do fishes have a nose when they breathe through gills?, Quora ↩︎

Discover more from Inchenaim

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments