
Kadang-kadang, yang merosakkan keadaan bukan masalah itu sendiri. Yang merosakkannya ialah rasa tercabar dalam diri kita.
Kita mungkin sedang bercakap tentang perkara yang kecil sahaja. Cadangan kita ditegur dalam mesyuarat. Pasangan membetulkan cara kita bercerita. Kawan menolak pandangan kita dalam kumpulan WhatsApp.
Dari luar, semuanya nampak biasa. Tetapi di dalam diri, ia terasa lain. Seolah-olah ada sesuatu yang dicabar. Bukan isi perbincangan semata-mata, tetapi maruah, imej, dan kedudukan kita.[1]
Pada saat itu, kita tidak lagi benar-benar mencari apa yang paling baik. Kita mula mempertahankan diri. Kita mahu orang lain tahu bahawa kita tidak kalah, tidak lemah, dan tidak boleh dipandang rendah.
Di sinilah banyak masalah mula menjadi lebih besar daripada sepatutnya. Bukan kerana kita kurang cerdik, tetapi kerana pertimbangan kita sudah mula dikaburkan oleh satu reaksi yang lebih dalam.
Reaksi itu ialah ego.
Nota Penulis
Artikel ini ialah sebahagian daripada siri huraian buku Clear Thinking oleh Shane Parrish di Inchenaim. Jika tuan belum membaca pengenalan siri ini, boleh mulakan dengan halaman utama siri Clear Thinking untuk melihat gambaran besar buku ini.
Artikel ini juga menyambung perbincangan daripada bahagian kedua, Bila Emosi Mendahului Fikiran, dengan memberi tumpuan khusus kepada satu lagi reaksi automatik yang sering merosakkan pertimbangan kita: apabila ego mengambil alih ketika maruah, status, dan imej diri terasa tercabar.
Apa Yang Dimaksudkan Dengan Ego Default?
Ego default ialah kecenderungan kita untuk bertindak balas apabila rasa diri kita terasa terancam.[2]
Ancaman itu tidak semestinya besar. Kadang-kadang ia datang dalam bentuk teguran kecil, perbezaan pendapat, kurang penghargaan, atau situasi yang membuat kita rasa kedudukan kita menurun di mata orang lain.
Sebab itu ego bukan sekadar soal sombong. Kadang-kadang orang yang kelihatan pendiam pun boleh dikuasai ego.
Dia tidak menjerit, tetapi susah menerima pandangan orang lain. Dia tidak meninggikan suara, tetapi diam-diam menyimpan marah. Dia tidak nampak angkuh, tetapi sangat sukar mengaku silap.
Ego boleh hadir dalam bentuk yang kasar, dan boleh juga hadir dalam bentuk yang sangat halus.
Bila ego mengambil alih, fokus kita berubah. Kita tidak lagi bertanya, “Apa hasil terbaik di sini?” Kita mula bertanya, “Bagaimana aku boleh kekal nampak betul?” atau “Bagaimana aku boleh elak kelihatan lemah?”
Dari luar, kita masih bercakap tentang isu yang sama. Tetapi di dalam diri, permainan itu sudah berubah.
Dalam bahasa yang mudah, ego default membuat kita lebih sibuk melindungi imej diri daripada mencari jalan yang paling baik. Kita masih nampak seperti sedang menyelesaikan masalah. Padahal, yang sedang kita jaga sebenarnya ialah diri kita sendiri.
Bila Hasil Kalah Kepada Imej Diri
Ramai orang menyangka keputusan yang buruk lahir daripada niat yang buruk. Sebenarnya tidak semestinya begitu.
Ada keputusan yang rosak bukan kerana seseorang itu jahat, tetapi kerana dia terlalu mahu mempertahankan cara dia melihat dirinya sendiri.
Kita mahu dilihat bijak. Kita mahu dilihat penting. Kita mahu orang lain mengakui bahawa kita berpengaruh, berpengalaman, atau lebih tahu. Semua ini sangat manusiawi.
Tetapi apabila keinginan itu menjadi terlalu kuat, kita mula menolak maklumat yang sebenarnya boleh menyelamatkan keadaan.
Kita boleh lihat hal ini dalam banyak suasana. Ada ketua yang tidak mahu menerima teguran kerana dia rasa teguran itu mengurangkan wibawanya. Ada pekerja yang enggan menyokong cadangan yang lebih baik kerana cadangan itu datang daripada orang lain. Ada suami atau isteri yang terus memanjangkan pertengkaran hanya kerana tidak sanggup menjadi orang pertama yang mengalah.
Yang ironinya, tindakan seperti ini selalunya lahir daripada keinginan untuk kelihatan kuat. Tetapi hasil akhirnya sering menunjukkan yang sebaliknya. Kita hilang kepercayaan orang.
Kita menutup pintu kepada maklum balas yang jujur. Kita menjadikan suasana lebih keras. Dan dalam jangka panjang, kita sebenarnya merosakkan posisi kita sendiri.
Ada satu sisi ego yang sangat halus tetapi sangat penting. Ego tidak hanya mahu kita betul. Ego mahu kita nampak betul.[3]
Kadang-kadang dua perkara ini tidak sama. Sesuatu keputusan mungkin membawa hasil terbaik, tetapi tidak memberi kita kredit. Ego lebih suka keputusan yang menaikkan imej kita, walaupun hasilnya lebih lemah. Di sinilah ramai orang mula tersalah pilih.
Dalam sejarah pun, luka pada harga diri kadang-kadang mendorong manusia membuat keputusan yang akhirnya menghancurkan nama dan masa depan mereka sendiri.[4]
Bagaimana ia Muncul Dalam Hidup Seharian?
Dalam dunia kerja, ego sering muncul apabila idea kita ditegur di hadapan orang lain.
Mesyuarat yang asalnya tentang mencari jalan terbaik tiba-tiba berubah menjadi gelanggang mempertahankan kedudukan.
Kita berhujah lebih keras bukan kerana hujah kita semakin kuat, tetapi kerana kita semakin malu untuk berundur. Kadang-kadang kita menolak cadangan yang baik hanya kerana kita tidak suka orang lain nampak lebih tepat.
Dalam rumah tangga, ego lebih halus dan lebih menyakitkan. Kita tidak mahu sekadar difahami. Kita mahu kemenangan kecil dalam perbualan. Kita mahu pasangan akui bahawa dia yang salah. Kita mahu ayat terakhir datang daripada kita.
Akibatnya, perbincangan yang sepatutnya menyelesaikan masalah bertukar menjadi pertandingan menjaga maruah. Malam itu mungkin kita rasa puas. Tetapi hubungan esok hari menjadi lebih jauh.
Di media sosial, ego bergerak dengan lebih laju. Satu komen yang menyindir terasa seperti penghinaan terbuka. Satu pembetulan kecil terasa seperti cubaan menjatuhkan kita. Kita pun membalas segera.
Bukan kerana balasan itu perlu, tetapi kerana kita takut diam itu akan kelihatan seperti kalah. Padahal banyak kali, yang menjaga maruah kita bukan balasan yang paling tajam, tetapi kemampuan untuk tidak melayan sesuatu yang tidak berbaloi.
Ada juga bentuk ego yang lebih senyap. Seseorang rasa dirinya tidak dihargai di tempat kerja, lalu dia mula menarik balik usaha. Dia masih datang kerja, masih buat yang asas, tetapi tidak lagi memberi yang terbaik.
Dari sudut hati, dia mungkin berkata, “Kalau mereka tidak nampak nilai aku, kenapa aku perlu beri lebih?” Reaksi ini boleh difahami. Tetapi jika dilihat dengan jernih, ia tetap satu bentuk ego yang akhirnya merosakkan masa depan sendiri. Orang lain mungkin tidak berubah, tetapi posisi kita semakin lemah.
Ego Juga Suka Kepastian Yang Terlalu Cepat
Satu lagi perangkap ego ialah apabila sedikit pengetahuan membuat kita terlalu cepat berasa yakin.[5]
Kita baca sedikit, dengar sedikit, lalu rasa sudah nampak gambaran penuh. Masalah yang besar tiba-tiba kelihatan mudah. Kita mula bercakap dengan yakin tentang perkara yang sebenarnya belum cukup kita fahami.
Ini berbahaya bukan hanya kerana kita boleh silap, tetapi kerana kita berhenti belajar terlalu awal. Ego suka kepastian yang cepat kerana kepastian itu membuat kita rasa besar.
Sedangkan orang yang benar-benar mendalam biasanya lebih berhati-hati. Mereka sedar ada banyak perkara yang belum mereka nampak.
Ego Bukan Keyakinan Diri
Ini bahagian yang sangat penting. Ego dan keyakinan diri bukan benda yang sama.[6]
Ego mahu kelihatan kuat. Keyakinan diri tidak takut mengaku lemah. Ego mahu sentiasa nampak betul. Keyakinan diri sanggup berubah fikiran apabila kebenaran menuntut begitu. Ego perlukan pengesahan luar untuk terus rasa bernilai. Keyakinan diri lebih tenang kerana ia berdiri di atas kemampuan sebenar, kejujuran terhadap diri, dan kesediaan untuk belajar.
Sebab itu orang yang benar-benar yakin biasanya tidak terlalu sibuk mahu menang setiap kali bercakap. Mereka boleh berkata, “Ya, itu poin yang baik.” Mereka boleh mengaku, “Bahagian ini aku tak pasti.” Mereka boleh menerima bahawa orang lain mungkin melihat sesuatu yang mereka terlepas pandang.
Orang yang benar-benar yakin tidak merasa dirinya runtuh hanya kerana dia didapati silap. Dia tidak melihat pembetulan sebagai penghinaan. Dia melihatnya sebagai bantuan untuk melihat dengan lebih jelas. Ini berbeza sekali dengan ego, yang cepat menafsir teguran sebagai ancaman kepada harga diri.
Kadang-kadang kita tersilap menyangka orang yang keras mempertahankan diri itu lebih kuat. Sebenarnya boleh jadi dia lebih rapuh. Sebab orang yang benar-benar kuat tidak perlu mempertahankan dirinya pada setiap saat. Dia cukup stabil untuk memilih hasil yang baik walaupun itu bermaksud dia tidak kelihatan paling hebat di dalam bilik.
Bila Kita Mahu Rasa Betul, Kita Gagal Menjadi Betul
Ada satu perangkap yang sangat halus dalam hidup. Kita terlalu mahu rasa betul, sampai hilang kemampuan untuk menjadi betul.[7]
Kita mula memilih fakta yang menyebelahi kita. Kita menolak maklumat yang tidak selesa. Kita memperlahankan pengakuan bahawa jalan orang lain lebih baik. Kita pertahankan idea sendiri lebih lama daripada yang sepatutnya, walaupun jauh di sudut hati kita sudah nampak kelemahannya.
Ini berlaku kerana kita sudah mencampurkan nilai diri dengan kemenangan idea sendiri. Bila idea kita kalah, kita rasa seperti diri kita yang kalah. Sebab itu kita menjadi terlalu defensif. Bukan semata-mata kerana isu itu besar, tetapi kerana kita telah menjadikan isu itu cermin kepada maruah kita.
Padahal banyak keputusan terbaik dalam hidup hanya muncul apabila kita sanggup melepaskan keinginan untuk jadi orang yang paling betul.[8]
Kadang-kadang kematangan bermula pada satu ayat yang ringkas tetapi berat: “Ya, cadangan itu lebih baik walaupun bukan daripada aku.”
Ayat seperti ini kecil, tetapi kesannya besar. Ia memulihkan fokus. Kita kembali melihat hasil. Kita kembali berpihak kepada apa yang lebih benar, bukan kepada apa yang membuat kita nampak lebih hebat.
Apa Yang Boleh Kita Ambil Daripadanya?
Kita tidak boleh membuang ego sepenuhnya. Selagi kita manusia, kita tetap mahu dihormati, diiktiraf, dan dilihat bernilai. Masalahnya bermula apabila rasa-rasa itu mengambil alih stereng pertimbangan kita.
Sebab itu pelajaran utamanya bukan menjadi manusia yang kosong daripada ego. Pelajaran utamanya ialah belajar mengenali saat apabila ego mula mengambil alih. Saat kita terasa sukar menerima teguran. Saat kita terlalu mahu menjelaskan diri. Saat kita lebih sibuk memikirkan bagaimana kita dilihat daripada apa yang sebenarnya perlu dilakukan.
Dalam saat-saat itu, kita perlukan sedikit jarak. Kita perlu bertanya soalan yang lebih jernih. Apa hasil terbaik di sini? Apa yang akan memudahkan masa depan, bukan sekadar memuaskan hati aku sekarang? Adakah aku sedang mempertahankan kebenaran, atau cuma mempertahankan imej diri?
Soalan-soalan ini nampak mudah. Tetapi dalam banyak saat biasa, inilah yang membezakan antara hidup yang semakin lapang dengan hidup yang semakin sempit. Ego jarang merosakkan hidup melalui satu letupan besar. Ia lebih kerap melakukannya melalui reaksi kecil yang kita sangka wajar.
Dan walaupun kita berjaya menenangkan ego sendiri, hidup kita masih belum bebas sepenuhnya. Masih ada dua kuasa lain yang sangat kuat dalam keputusan harian kita: tekanan untuk ikut orang, dan tarikan untuk kekal dengan cara lama. Itulah dua perkara yang perlu kita lihat selepas ini.
Nota kaki
Nota kaki berikut menghuraikan latar konsep dan rujukan yang menjadi asas kepada perbincangan dalam artikel ini, untuk pembaca yang ingin mendalami lebih lanjut.
- Dalam bahagian ego default, Parrish menunjukkan bahawa manusia sering bertindak balas bukan hanya apabila kepentingan mereka terancam, tetapi apabila imej diri dan tempat mereka dalam hierarki terasa dicabar. Sebab itu ego bukan sekadar soal bangga diri, tetapi berkait rapat dengan rasa identiti, status, dan keperluan untuk dilihat bernilai. Parrish, Clear Thinking, hlm. 26. ↩︎
- Ego default merujuk kepada kecenderungan manusia untuk segera mempertahankan gambaran diri mereka apabila terasa tercabar. Dalam konteks buku ini, masalahnya bukan sekadar rasa tersinggung, tetapi hakikat bahawa pertahanan spontan itu sering menolak seseorang daripada pertimbangan yang jernih kepada reaksi yang sempit dan defensif. Perbezaan ini penting kerana ramai orang menyangka mereka sedang mempertahankan kebenaran, padahal mereka sebenarnya sedang mempertahankan diri. Shane Parrish, Clear Thinking: Turning Ordinary Moments into Extraordinary Results (New York: Portfolio/Penguin, 2023), hlm. 26. ↩︎
- Satu lagi sisi penting yang dibincangkan ialah kecenderungan manusia untuk lebih sibuk kelihatan hebat daripada benar-benar menjadi hebat. Keinginan untuk dilihat penting, diperlukan, atau lebih tinggi daripada orang lain boleh menjadikan seseorang tawanan kepada imej yang dibinanya sendiri. Dari luar ia kelihatan seperti kuasa, tetapi dari dalam ia sering cuma bentuk keletihan yang dipelihara oleh ego. Ibid., hlm. 27–28. ↩︎
- Kisah Benedict Arnold dalam bahagian ini digunakan untuk menunjukkan bahawa luka pada harga diri boleh mendorong seseorang membuat keputusan yang menghancurkan masa depannya sendiri. Yang sedang dipertahankan bukan semestinya kebenaran, tetapi cara dia mahu dilihat oleh dunia. Ini menjelaskan bagaimana ego boleh menolak seseorang keluar daripada pertimbangan yang sihat tanpa dia sendiri sedar. Ibid., hlm. 28–29. ↩︎
- Parrish juga menekankan bahawa ego boleh menukar sedikit pengetahuan menjadi keyakinan yang melulu. Seseorang tahu sedikit, lalu berasa tahu semuanya. Di sinilah risiko mula dipandang ringan, masalah besar kelihatan terlalu mudah, dan keputusan mula dibuat dengan keyakinan yang tidak sepadan dengan kefahaman sebenar. Ibid., hlm. 26–27. ↩︎
- Untuk membezakan ego daripada keyakinan diri yang sihat, Parrish kemudian menjelaskan bahawa self-confidence bukan tentang menolak kelemahan, tetapi tentang cukup stabil untuk mengakuinya. Orang yang benar-benar yakin tidak perlu sentiasa nampak hebat. Mereka boleh menerima kekurangan diri, meminta bantuan, dan mengubah pendapat tanpa merasa maruah mereka hancur. Ibid., hlm. 63. ↩︎
- Antara simpulan paling penting dalam bahagian ini ialah beza antara mahu “rasa betul” dan mahu “menjadi betul”. Parrish menunjukkan bahawa ramai orang gagal kerana terlalu fokus mempertahankan pandangan mereka sendiri, sedangkan kebenaran kadang-kadang menuntut mereka menarik balik pandangan itu. Dalam banyak keputusan penting, keberanian untuk berubah fikiran lebih berharga daripada kepuasan menang hujah. Ibid., hlm. 29. ↩︎
- Dalam huraian lanjut tentang self-confidence, Parrish menegaskan bahawa orang yang paling bernilai sering bukan yang mempunyai idea pertama yang paling baik, tetapi yang paling sanggup meninggalkan idea sendiri demi hasil yang lebih baik. Inilah inti besar artikel ini: pertimbangan yang jernih menuntut kita memilih hasil berbanding ego. Ibid., hlm. 67–69. ↩︎
