Kaedah Menggayakan Soft Plastic Udang

Soft Plastic Udang

Bagaimana kaedah menggayakan soft plastic udang?

Dalam tulisan ini, saya akan menulis secara ringkas kaedah atau teknik menggayakan soft plastic udang secara efektif.

Tanpa buang masa, mari kita mulakan..

Pengenalan

Salah satu jenis soft plastic (SP) yang paling killer di kawasan muara dan pesisir lautan adalah SP berbentuk udang.

Mengapa soft plastic udang begitu berkesan?

Jawapannya adalah kerana udang adalah diet utama hampir semua jenis ikan.

Sebab itulah mengapa soft plastic berbentuk udang sangat laku dikalangan ikan muara.

SP jenis ini digigit bukanlah kerana ikan hendak mempertahankan kawasan wilayahnya semata-mata, sebaliknya mereka memang berhajat mahu memakan SP tersebut!

Tetapi SP jenis udang ini tidak mempunyai aksi sendiri. Ia kaku apabila dikarau lurus.

Oleh itu, bagaimana menggayakan SP ini secara efektif?

Prinsip Asas Dalam Menggayakan Soft Plastic Udang

soft plastic udang

Jadi bagaimana cara menggayakan SP ini?

Tidak seperti SP berekor dayung (paddle tail) atau kerinting (curly tail), SP udang amat bergantung kepada kreativiti pemancing itu sendiri.

Kunci utama dalam menggayakan SP udang adalah “perlahan”.

Ya, perlahankan permainan anda.

Inilah fundamental utama dalam permainan SP udang, ia perlu dipersembahkan secara  super slow 

Cuba bayangkan bagaimana udang bergerak dalam air.

Udang adalah makhluk yang bergerak secara merangkak perlahan-lahan di dalam air.

Udang akan turun meluncur secara perlahan-lahan ke dasar sungai.

Adalah amat tidak natural jika SP udang digayakan dengan laju, agresif atau tenggelam terlalu cepat ke dasar.

Oleh itu, pemilihan berat jighead yang sesuai amat mustahak.

Teknik Menggayakan Soft Plastic Udang

Ok kita sudah faham tentang kunci utama permainan SP udang, tetapi bagaimana pula kaedah persembahannya?

Dua kaedah yang selalu saya gunakan adalah:

1. Kaedah Lift & Drop

menggayakan gewang soft plastics

Lift & Drop kalau diterjemahkan bermaksud angkat dan jatuhkan.

Biasanya saya menggunakan kaedah ini untuk menduga ikan yang berada di dasaran pada air yang dalam, kerana ia seolah-seolah “mengetuk dasar” memanggil ikan.

Kerapu biasanya mudah terjerat dengan kaedah ini.

Bagaimana caranya?

Buat lontaran dan biarkan gewang soft plastic anda jatuh ke dasar.

Biarkan gewang berada di dasar selama 2-3 saat sebelum membuat henjutan lembut dengan hujung joran untuk mengangkat SP sejauh 5-6 inci dari dasar.

Kemudian turunkan joran sambil reel anda menyimpan slack line.

Pada waktu ini, SP anda seharusnya dapat kembali mencecah dasar dalam jangka masa 1-2 saat.

Biarkan SP selama 2-3 saat di dasar dan ulangi langkah diatas.

Serangan biasanya berlaku bila gewang anda hendak meninggalkan dasar.


2. Flicking

soft plastic udang

Kaedah ini cukup efektif untuk menjerat siakap merah.

Makna Flick disini adalah “pergerakan kecil yang tiba-tiba”

Kaedah ini secara asasnya adalah untuk meniru pergerakan udang terkejut dan cuba melarikan diri.

Ianya seperti jerk (henjut) tapi dalam skala yang lebih kecil, menggunakan kekuatan pergelangan tangan sahaja.

Dimanakah sesuai untuk menggunakan kaedah ini?

Saya biasanya akan menggunakan kaedah ini bila menggempur reba-reba kayu di kawasan muara.

Selalunya air di kawasan ini tidaklah terlalu dalam.

Untuk teknik ini, soft plastic udang yang hendak digunakan mestilah:

  • Mempunyai pemberat yang ringan dan dapat tenggelam dengan kadar yang perlahan.
  • Dipasang secara weedless (kalis sangkut)

Caranya adalah; SP dilontar ke dalam reba / kayu yang menjadi banglo ikan, kemudian dibiarkan tenggelam perlahan-lahan.

Setelah SP tenggelam, maka kita sudah boleh mula memberikan aksi flick untuk menghidupkan udang tersebut.

Setelah 2-3 kali henjutan kecil dilakukan, maka biarkan SP itu tenggelam kembali.

Biasanya ikan tidak akan mengambil masa yang lama untuk memberi respons.

Oleh itu sentiasa bersedia untuk membuat sentapan.

Kelemahan Soft Plastic Udang

Soft plastic udang biasanya dipasangkan matakail secara weedless (kalis sangkut).

Memang sepatutnya begitu sebab permainan tempo perlahan SP udang meningkatkan lagi risiko sangkut jika matakail terbuka digunakan.

Namun pemasangan matakail sebegini ada kelemahannya.

Kelemahan paling utama adalah; ia juga sukar mencangkuk ikan secara kukuh (solid hookup) bila gewang disambar.

Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini dan meningkatkan lagi peluang solid hookup, maka pastikan mata kail benar-benar tajam.

Jangan malas asah matakail terutamanya dilapangan air masin.

(air masin dapat menumpulkan mata kail dalam tempoh yang singkat)

Bagaimana Jika Serangan Miss Atau Ikan Terlucut?

Skill penting dalam permainan SP adalah kebolehan membaca “ragutan ikan”

Namun kadang-kadang, belum sempat kita buat sentapan, ikan sudah terlepas.

Itu perkara normal bila menggunakan soft plastic udang kerana mata kail dipasang secara kalis sangkut.

Disinilah pentingnya ketenangan dan jangan gopoh.

Jika berlaku miss hook atau terlucut, hentikan karauan dan biarkan SP tersebut kembali tenggelam.

Berikan sedikit aksi pada SP tersebut.

InsyaaAllah, biasanya ikan akan mengutipnya kembali.

Penutup

Saya hanya berkongsi pengalaman saya dalam tulisan ini.

Seperti yang selalu saya jelaskan dalam artikel-artikel sebelum ini, tiada cara yang betul atau salah dalam menggunakan soft plastics.

Yang penting, apa yang kita lakukan itu boleh menarik perhatian ikan untuk menyerang.

Dalam menggayakan soft plastic udang, kuncinya adalah memperlahankan persembahan anda.

Oleh itu, perbanyakkan sabar dan kekal fokus.

Semoga bermanfaat!

guest
2 Comments
Inline Feedbacks
View all comments