Catatan Misi Memburu Tembaring Sri Ganda, Sabah.

Ikan kanai
Si raja muara, Tembaring / Blackbass

Jika ikan kelah adalah penghulu sungai pergunungan, maka ikan tembaring pula merupakan raja ikan di kawasan muara.

Kanai atau juga dikenali juga sebagai Tembaring dan Blackbass (Lutjanus Goldiei) merupakan spesis elusive di perairan negara kita.

Ikan ini sungguh esklusif kerana hanya dapat di temui di Papua New Gunea, Kalimantan dan Sabah sahaja.

Keistimewaan ikan ini bukan sahaja kerana kesukaran untuk menjumpainya, tetapi kekuatan luar biasanya turut menjadi igauan kaki pancing seluruh dunia sebagai lesen memancing terulung.

Misi memburu Tembaring Sri Ganda, Kinabatangan

Saya berkesempatan untuk mengikuti sahabat saya daripada Semporna untuk memburu spesis ini di Sri Ganda, Kinabatangan, Sabah.

Sri Ganda
Nipah menghiasi sepanjang delta sungai Sri Ganda, menjadi tempat permainan si Tembaring..

Perjalanan mengambil masa lebih dari 5 jam dari Semporna merentasi Kunak – Lahad Datu – Simpang Jeroco melalui ladang-ladang sawit yang sangat luas. Kami bertolak dari jam 2 pagi dan tiba pada jam 7 pagi.

Sesampainya kami di Kg. Sri Ganda, kami disambut mesra oleh ketua kampung, dan guide kami, Khairul Satria atau dikenali sebagai Ipeng nama panggilan mesranya.

Cuaca hari itu kelihatan sangat baik dan panas, membuatkan kami semua tidak sabar untuk turun beraksi.

Selepas selesai menjamu sedikit kuih dan memunggah barang ke dalam homestay, tanpa berlengah lagi kami terus turun ke jeti untuk menuju lubuk tembaring.

Pada hari pertama, saya berkesempatan casting dalam satu bot bersama Sipo Zaidy dan Ipeng. Saat terbaik untuk saya menuntut ilmu sebanyak mungkin kerana kedua-dua orang tersebut sungguh berpengalaman luas dalam arena casting.

Pada pengamatan saya, sungai Sri Ganda majoritinya ditumbuhi nipah disepanjang tebingnya dan mempunyai kurang kawasan bakau.

Bigfoot yang ditemui merayau-rayau di hutan bakau berhampiran.. wakaka!
Bigfoot yang ditemui merayau-rayau di hutan bakau berhampiran.. wakaka!

Malangnya pada hari pertama tiada tangkapan yang boleh dibanggakan melainkan seekor siakap merah bersaiz kasar yang sudi menyambar gewang Tiemco Mad Pepper sipo Zaidy.

Selepas melalui petang yang kumpau itu, kami pulang ke homestay untuk berehat dan menyediakan diri untuk hari berikutnya memandangkan tiada langsung kelibat tembaring pada hari tersebut.

Takpe2, besok ada lagi..

magrove jack on tiemco mad pepper
Zaidy berjaya menjinakkan siakap merah pada hari pertama dengan Tiemco Mad Pepper warna parrot.

Hari Kedua

Pada hari kedua, kami semua telah turun ke jeti seawal 6 pagi lagi. Pada hari tersebut, saya berpeluang casting bersama Jr dan dipandu oleh Ipeng.

Oleh kerana kuasa kuda bot kami agak kecil, kami terlebih dahulu memecut ke lokasi meninggalkan Zaidi dan Zakwan yang menaiki bot lebih berkuasa besar.

Jr bersama tekong kami, Ipeng.
Jr bersama tekong kami, Ipeng.

Pada pagi tersebut, kami menerima strike seawal cast pertama namun ikan yang sudi menonjolkan diri hanyalah ikan yang bukan target kami seperti sesumpit, alu-alu, kerapu dan siakap merah sahaja.

Ipeng pula berjaya menaikkan anak jenahak dan siakap merah.

Walaupun matahari semakin panas dan ikan semakin kurang galak, itu tidak melunturkan semangat kami untuk mengetuk setiap pangkal nipah disepanjang sungai itu.

Alang-alang sudah sampai, kami gempur habis-habisan.

gewang kerapu
Kerapu lewat pagi yang menghentam Mad Pepper Kuning Jr.

Akhirnya saat yang ditunggu saya sepanjang hidup ini muncul jua.

Tiemco Mad Pepper Magnum (warna oren aka tora) saya dikekah jua oleh Kanai yang diidam selama ini sewaktu enjin bot telah dihidupkan untuk berpindah ke lokasi lain. Sekali sentap, terus solid hookup!

Walaupun saiznya hanya sekitar 2kg, namun tentangan dan larian padu yang diberikan memang mendebarkan. Alhamdulillah ikan ini berjaya di daratkan dengan jayanya.

Apa yang lebih penting buat saya, ia adalah lesen pertama saya. Yahoo!

Kanai Sri Ganda
Lesen blackbass pertama ini membuatkan saya hilang kewarasan selama 10 minit..

Setelah mengambil gambar dua tiga keping ikan tersebut selamat dilepaskan ke habitat asal. Semoga ia membesar dan memberi tentangan sengit kepada caster seterusnya.

Selepas tangkapan tersebut, kami hanya berjaya menaikkan beberapa ekor ikan kerapu dan siakap merah sahaja sebelum pulang, menjadikan ikan tersebut adalah ikan blackbass tunggal yang berjaya dipancing.

sri ganda
siakap merah yang tergoda dengan tiemco mad pepper kaler firetiger hijau (tahyul)

Setelah petang sudah lewat, kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti kerana kami akan bertolak pulang pada malam itu juga ke Semporna.

Pastinya perjalanan yang sukar dan meletihkan.

Tiemco Mad Pepper Magnum – Gewang gemuk yang menyakitkan hati

gewang tembaring blackbass
Digunakan untuk satu tujuan, memperdaya si tembaring yang pemarah – Tiemco Mad Pepper Magnum

Gewang jepun ini dikhabarkan oleh caster-caster tegar Sabah, terutamanya Lahad Datu, sebagai umpan paling ‘dimarahi’ oleh si Tembaring.

Ini terbukti dengan tumpasnya Kanai tunggal dalam trip ini dengan Mad Pepper Magnum berwarna oren aka tora.

Profil umpan ini adalah sepanjang 80mm (8cm) dengan berat 24 gram, dan selaman mampu mencapai 5 meter. Apa yang menarik, bunyi bising ball bearing didalamnya sungguh kuat.

Mungkin faktor inilah yang membuatkan tembaring sangat marah.

Selain itu, bentuk gewang ini yang besar, gemuk dan mempunyai aksi yang kencang, ditambah dengan warna yang terang turut menjadi faktor untuk gewang ini mudah dikesan tembaring di dalam air yang keruh.

Oleh kerana gewang ini agak berat, maka aksi joran yang bersesuaian adalah mustahak.

Homestay Sri Ganda: Layanan yang memuaskan dari awal hingga akhir

Kami hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan.

Walaupun kami telah bertungkus-lumus membuat persiapan dari segi peralatan, masa dan fizikal, namun rezeki masih kurang memihak kepada kami.

Trip ini boleh disimpulkan kurang memberangsangkan, namun jutaan terima kasih kami ucapkan kepada pihak homestay Sri Ganda atas layanan yang amat baik diberikan. 5 bintang kami berikan atas hospitaliti yang disediakan.

Terima kasih juga diucapkan kepada Ipeng & ketua kampung yang bertungkus-lumus membawa kami casting selama 2 hari tersebut.

Semoga berjumpa lagi!

Ipeng / Khairul Satria boleh dihubungi pada talian 01126697279

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

2 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
helmy
helmy
1 tahun yang lalu

setup reel n rod macamana untuk main kanai ni.

Discover more from Inchenaim

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading